Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

‘Perpaduan S’pura lebih kukuh sebahagian besar kerana masyarakat Melayu/Islam’

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

‘Perpaduan S’pura lebih kukuh sebahagian besar kerana masyarakat Melayu/Islam’

May 10, 2024 | 06:00 PM



Perpaduan yang dikecapi Singapura hari ini lebih kukuh sebahagian besarnya kerana masyarakat Melayu/Islam telah memainkan peranannya serta membantu masyarakat secara am merapatkan hubungan sesama sendiri.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata demikian ketika menyentuh hal masyarakat Melayu/Islam dalam temu bual terakhirnya dengan pihak media sebelum melepaskan jawatan Perdana Menteri.

“Perpaduan negara, perpaduan sosial kita, perpaduan kita hari ini lebih kukuh sebahagian besarnya kerana masyarakat Melayu telah memainkan peranannya dan membantu kita mengurus pelbagai isu dan merapatkan hubungan sesama kita dan bukan menjarakkan lagi (hubungan),” kata Encik Lee.

Encik Lee turut mengatakan bahawa masyarakat Melayu telah menunjukkan banyak kemajuan sepanjang 20 tahun lalu dan beliau yakin ia hanya akan menjadi semakin baik dengan setiap generasi.

“Jika dilihat kemajuan dalam petunjuk tradisional iaitu peratusan mereka yang berjaya ke pendidikan posmenengah, kini sebanyak 80 peratus pelajar Melayu berjaya melanjutkan pelajaran ke pendidikan posmenengah.

“Jika anda melihat penyertaan universiti bagi dewasa muda, iaitu, mereka dalam lingkungan usia 20-an hingga 30-an tahun, sekitar 20 peratus daripada kohort tersebut berjaya menamatkan pengajian universiti.

“Banyak kemajuan dicapai sepanjang 20 tahun lalu. Saya fikir ia akan menjadi semakin baik kerana dengan setiap generasi, anda telah mendapatkan pendidikan sekolah, anda telah menamatkan pengajian politeknik, anda tahu cara membuat perjalanan ini dan anda lebih berupaya menjaga anak-anak anda dan menggalak anak-anak anda melakukan perkara sama seperti anda, dan mencapai lebih baik daripada anda.

“Jadi saya menjangka ini akan bertambah baik, dan anda boleh melihatnya dalam tenaga pekerja,” ujar beliau.

Memberi contoh, beliau mengatakan kadar golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) Melayu telah meningkat.

Malah, sudah menjadi “perkara biasa” untuk melihat jurutera, peguam atau doktor Melayu.

“Saya fikir ini adalah kejayaan yang berlaku secara senyap, tahun demi tahun, sedikit demi sedikit, dan anda mungkin tidak menyedarinya tetapi saya fikir kita harus berbangga dengannya,” tambahnya.

Bahkan, beliau senang terdapat ramai karyawan Melayu yang berjaya dan bersedia menyumbang semula kepada masyarakat termasuk melalui program yang dianjurkan badan Melayu/Islam seperti Yayasan Mendaki dan AMP Singapura.

Namun, Encik Lee akur terdapat beberapa perkara yang masih menjadi beban masyarakat misalnya, kadar pemenjaraan, penagihan dadah dan masalah keluarga pincang dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Ini cuba diatasi dengan bantuan ComLink dan pelbagai program Mendaki, kata Encik Lee.

Menyentuh isu terkini berkaitan perang di Gaza pula, Encik Lee berkata beliau “benar-benar memahami bagaimana masyarakat Islam di Singapura berasa amat sedih dengan apa sedang berlaku di Gaza”.

“Ia tidak wajar berlaku, tidak berperikemanusiaan dan apakah yang boleh anda lakukan mengenainya? Anda menaruh simpati, kerana pertama anda juga manusia seperti orang lain.

“Tetapi terdapat juga unsur agama kepada perasaan ini kerana konflik Palestin-Israel sekalipun bukan mengenai agama, ia mempunyai unsur agama. Maksud saya, anda bercakap mengenai Masjid Al-Aqsa, Baitulmakdis yang mempunyai ciri agama. Jadi pada umumnya, masyarakat Islam mempunyai perasaan lebih kuat mengenai isu ini berbanding masyarakat bukan Islam di Singapura,” ujar beliau.

Perasaan sedemikian perlu diterima, dihormati dan difahami, kata Encik Lee sambil menambah bahawa orang ramai mesti bekerjasama untuk melihat apa yang boleh dilakukan untuk menerima bahawa perasaan ini wujud, tetapi pada masa yang sama, “melakukan apa yang praktikal dan bukan sekadar satu pertunjukan”.

“Saya boleh berkata ini dan itu, mengadakan demonstrasi, membakar bendera... tetapi adakah ia membantu orang yang memerlukan bantuan? Apa yang akan membantu?

“Anda mengumpul derma, saya fikir itu membawa perbezaan,” katanya.

Selain derma, Singapura juga telah menggugurkan bekalan bantuan dari udara bagi penduduk Gaza, mengambil pendirian di peringkat antarabangsa di mana negara ini telah mengundi untuk menyokong ketetapan bagi gencatan senjata di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami juga tidak bersetuju dengan apa yang berlaku sekarang, dan kami menolak tindakan yang sedang diambil di Gaza (yang menyebabkan) kesusahan dan kesengsaraan, serta kemusnahan dan kematian begitu ramai orang awam yang tidak bersalah.

“Saya rasa Israel berhak bertindak balas, melindungi diri mereka dan menyerang Hamas, tetapi tahap kerosakan dan kemusnahan, bilangan orang awam yang terkorban dan cedera, dan kadar kerosakan, saya fikir walau apa pun hal perundangan, dari sudut kemanusiaan, ia mesti dihentikan dan kami memberi pandangan itu dengan jelas.

“Saya berharap rakyat Singapura, sama ada Muslim atau bukan Muslim, akan memahaminya dan juga memahami perlunya kita kekal bersatu dan melihatnya dari sudut Singapura, sebagai pendirian nasional yang perlu diambil oleh pemerintah, walaupun kita masing-masing akan mempunyai sikap peribadi yang berbeza,” jelas Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >