Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Walau ekonomi berubah, peluang tetap ada bagi golongan muda, warga emas di S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Walau ekonomi berubah, peluang tetap ada bagi golongan muda, warga emas di S’pura

May 10, 2024 | 06:00 PM



Beliau cemburu dengan golongan muda yang menikmati pelbagai kelebihan dan peluang yang tidak pernah wujud sebelum ini.

Malah, jika diberi peluang, mahu sahaja beliau pilih dilahirkan lebih lewat disebabkan begitu banyak peluang dan manfaat yang tersedia.

“Sebagai seorang warga emas, saya cemburu dengan golongan muda kerana anda menikmati kelebihan dan peluang yang tidak pernah wujud dalam generasi saya,” ujar Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, kepada wartawan semasa temu bual terakhirnya sebagai Perdana Menteri dengan pihak media.

Encik Lee, yang lahir pada 10 Februari 1952 dan berusia 72 tahun kini telah ditanya tentang bagaimana orang muda di Singapura dapat merasa yakin bahawa mereka sebenarnya melakukan lebih baik daripada generasi sebelumnya.

“Kami telah membangunkan Singapura, kami telah membangunkan sistem pendidikan, kami telah mendidik anda, kami telah beri anda perspektif tentang dunia dan peluang untuk ke luar negara.

“Sekitar 40 peratus, hampir 50 peratus warga Singapura kini pergi ke universiti berautonomi kami. Dalam generasi saya, hanya sekitar 3 atau 4 peratus yang belajar hingga ke universiti di Singapura,” katanya.

Bahkan, dengan teknologi dan pendedahan awal kepadanya, golongan muda di sini dapat belajar berhubung dengan dunia, menjadi lebih produktif dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan yang tidak pernah didengar sebelum ini.

“Pelatih e-sukan – awak boleh buat duit! Awak duduk di sana bermain dengan jejari dan tetikus, dalam kerusi sangat istimewa dan skrin besar dan awak boleh buat duit. Jadi adakah ini kehidupan lebih buruk daripada generasi sebelumnya? Saya tidak fikir begitu.”

Membuat perbandingan generasi dahulu dan sekarang, Encik Lee berkata generasi sebelum ini “mula dari dunia ketiga dan maju ke dunia pertama”.

Mereka bermula miskin dan bertambah baik tahun demi tahun.

Mutu kehidupan juga jauh lebih baik sekarang berbanding dahulu. Jika dahulu ramai yang tinggal dalam keadaan sehingga 10 orang dalam sebuah flat sewa, hari ini perkara sedemikian jarang didengar.

Ramai daripada generasi sebelum ini bermula dengan flat tiga bilik dan berakhir dengan apartmen eksekutif atau mungkin juga telah naik taraf kepada rumah privet.

“Generasi ini, anda mempunyai flat empat bilik atau mungkin lima bilik, mungkin juga kondo. Anda tidak bermula pada peringkat sangat rendah yang sama tetapi anda bermula pada peringkat yang lebih tinggi dan dengan mutu perumahan serta kehidupan yang lebih tinggi.

“Bolehkah anda mencapai lebih tinggi? Jawapannya ialah iya... Anda hanya akan naik dari sini... lebih perlahan... tetapi jika kita berusaha, kita boleh terus naik ke atas,” kata Encik Lee.

Oleh itu, beliau menambah bahawa golongan muda di Singapura seharusnya berasa optimis tentang peluang mereka dalam hidup dan boleh terus bergerak ke atas sedang mereka bermula pada tahap yang tinggi berbanding generasi sebelumnya.

“Saya akan berasa sangat kecewa jika seorang anak muda pesimis tentang peluangnya dalam hidup dan berharap dia dilahirkan lebih awal. Saya harap saya dilahirkan lebih lewat,” ujar beliau.

Membina ekonomi Singapura dari tahap dunia ketiga kepada dunia pertama bukanlah suatu yang mudah dan adalah satu keperluan untuk memastikan ekonomi negara ini terus berkembang.

Untuk melakukan hal tersebut, Singapura memerlukan bakat untuk membangunkan perkara baru “untuk menonjol di dunia”.

Encik Lee berkata membawa masuk orang luar adalah perlu kerana “terdapat pekerjaan yang tidak ada warga Singapura mahu lakukan, seperti pembinaan”.

Selain itu, terdapat juga pekerjaan lain di mana terdapat warga Singapura melakukannya tetapi jumlahnya tidak cukup dan lebih banyak lagi diperlukan.

Namun, tidak seperti negara lain, Singapura membawa masuk bakat dengan cara terkawal.

Jelas Encik Lee:

“Jika anda lihat negara seperti UAE (Amiriah Arab Bersatu), jawapan mereka adalah – saya bawa masuk seberapa banyak yang saya mahu... tetapi Singapura tidak boleh seperti itu.

“Jadi kita perlu terus membawa masuk bakat... tetapi dengan cara terkawal, yang baik untuk ekonomi kita, yang melengkapi pekerja dan profesional Singapura dan bukannya merampas pekerjaan mereka.

“Pada masa yang sama, tidak mengubah norma sosial dan adat istiadat kita dan cara Singapura bekerja, serta menyebabkan pergeseran dan konflik dalam Singapura.”

Dalam pada itu, Encik Lee turut menekankan bahawa pekerja Singapura tetap dihargai, bahkan pekerja lebih tua harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau menambah bahawa pekerja perlu dilatih agar mereka dapat terus melakukan tugas yang ada apabila mereka semakin menua.

“Mereka mungkin perlu tukar kerjaya kerana industri sudah pesat berubah dan pekerjaan lama tidak wujud lagi dan mereka perlu melakukan kerja yang disesuaikan semula atau menukar industri,” tambahnya.

Meskipun akur terdapat ramai warga emas yang bimbang mengenai peluang pekerjaan mereka sedang umur mereka terus meningkat, Encik Lee berkata:

“Secara statistik, peluang anda untuk bekerja sebagai warga emas di Singapura adalah sangat baik kerana jika anda lihat kadar pekerjaan mengikut umur, pekerja yang lebih tua dalam lingkungan 50-an, 60-an, dan juga pada akhir 60-an tahun adalah tinggi, semakin meningkat dan sebenarnya baik berbanding dengan ekonomi maju yang lain.

“Ramai orang bekerja sehingga 60-an tahun sekarang dan kadang-kadang 70-an tahun, seperti saya. Dan sebenarnya gembira mempunyai pekerjaan itu kerana ia memberi anda sesuatu untuk dilakukan.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >