BENDAHARA tidak pasti di mana dia berada sebenarnya. Apa yang pasti, dia sedar dia dan isterinya yang tersayang telah tercampak kaku dan sepi sejak beberapa ratus tahun dahulu di sebatang parit berdekatan sebatang sungai. Juga masih berada di bumi Singapura dalam keadaan diam tetapi tidak diam. Diamnya diriuhkan suasana hangat. Ada sekumpulan pelajar menyertai salah satu aktiviti menulis pantun. Pantun yang terbaik akan diberi hadiah oleh guru sekolah yang menganjurkan lawatan sambil belajar ke sebatang sungai itu.
Ada seorang pelajar telah berbincang dengan pasangannya untuk menulis pantun empat kerat. Tidak lain tentang dirinya di zaman silam. Tersentak dia dibuatnya. Seolah-olah dikejutkan daripada tidurnya yang amat panjang dan menjenuhkan.