CERPEN

Aishah

PAPAN tanda "Muslim Cemetery" jelas kelihatan terperuk di antara susunan tiang-tiang lampu yang berderet sepanjang jalan raya.

Ia merupakan mercu tanda yang sentiasa menyambut kehadiranku semakin aku menghampiri destinasi mingguan itu. Sebenarnya, aku tidak perlu menunggang motosikal berpandukan papan tanda itu lagi. Setiap minggu aku akan melalui jalan raya yang sama menghala ke Pusara Abadi di Lim Chu Kang.

Lawatan ke tanah perkuburan ini telah menjadi satu rutin semenjak lapan tahun dahulu ketika Allahyarham Zahid meninggal dunia akibat kemalangan motosikal. Persahabatan yang kami jalin sepanjang sepuluh tahun telah terputus secara tiba-tiba dan sehingga kini, aku masih merindui kehadiran seorang sahabat yang telah banyak memperbaiki cara kehidupanku.

Dia adalah rakan pertama yang mengajakku kembali ke pangkal jalan yang sebenar. Disebabkan dorongan dirinya, aku sedikit sebanyak berjaya meyakinkan diriku untuk terus percaya kepada Tuhan, untuk terus melaksanakan amal ibadat yang diwajibkan ke atas umatNya.

Penjual-penjual bunga di sepanjang jalan masuk utama melambai-lambai memanggilku untuk melanggani gerai mereka setelah mendengar bunyi ekzos motosikal sedang aku membelok masuk.

Pada awalnya aku sentiasa membeli bunga untuk diletakkan ke atas tiga pusara yang biasanya aku ziarahi, namun disebabkan bapa arwah Zahid yang mengatakan bahawa ada baiknya wang yang digunakan untuk membeli bunga diletakkan sahaja ke dalam tabung masjid.

Katanya, bukan suruhan agama untuk meletakkan bunga ke atas pusara namun ia hanyalah satu kebudayaan manusia yang terpengaruh akan perilaku satu sama lain. Aku akur sahaja dengan kata-kata Pak Uthman, bapa arwahnya Zaid. Beliau merupakan aktivis masjid Ar-Rabiah di estet perumahan kami. Jika sesuatu itu diperkatakan oleh seseorang yang sering berada di masjid, ada baiknya aku turutkan sahaja.

Setibanya aku di perkarangan pusara arwah datuk yang biasa aku lawati, aku mematikan enjin motosikal dan kawasan tanah perkuburan itu kembali tenang setelah ketibaanku bersama motosikal dua lejang ini merobek suasana keamanan tempat persemadian terakhir setiap insan yang akan menemui Tuhannya.

Aku meninggalkan sahaja topi keledar di atas tempat duduk motosikal kerana aku percaya tiada sesiapa yang akan berani mencuri tempat yang murni sebegini.

Kubur datuk masih lagi terurus berbanding pusara-pusara di sekelilingnya yang seolah-olah dilupakan oleh sanak saudara dan sahabat handai mereka. Semangat dua minit yang sering dipraktikkan oleh orang- orang yang sebangsa dan seagama denganku jelas terpampang oleh rumput dan rumpai yang menyelimuti kubur-kubur yang tidak dijaga.

Aku merehatkan punggungku di atas dapur-dapur kubur dan mula meragut anak-anak rumput dan rumpai yang mula merayap keluar untuk meloloskan diri ke arah permukaan tanah. Sedang aku menarik rumput dan rumpai menggunakan jari jemari, aku teringat akan waktu-waktu aku menziarahi datuk dan nenek di Terengganu semasa cuti sekolah dahulu. Aku akan menolong datuk membersihkan halaman rumah yang telah memenangi hadiah Pertandingan Rumah Paling Cantik di kawasan Dungun selama tiga tahun berturut-turut.

Setiap kali aku menolongnya, nenek akan sibuk mengemas rumah dan menyediakan kopi untuk kami minum pada tengah hari nanti.

"Kau ni Zam, kalau tarik rumput tu biarlah tarik sampai ke akarnya," datuk akan berkata kepadaku, "tak guna kau membersihkan permukaan sahaja sedangkan rumput itu akan mudah tumbuh kembali."

"Baik Kapten!" usik aku selamba kepada kapten kapal yang telah 20 tahun bersara itu.

"Budak ni! Aku beri nasihat, dia melawak pula!"

"Alah Tok, Zam tahu lah rumah ni champion, buat apa nak menang setiap tahun Tok, nanti orang dengki khianat kerana mereka cemburu! Mata merah!"

"Tapi cantik kan rumah Atok ni, kawasan halaman pasir putih sama seperti pantai di depan tu!" seloroh datuk, melencong dari topik yang ingin aku bangkitkan.

Setiap kali aku berjalan meninggalkan pusara datuk, aku akan mengenang kembali peristiwa seperti itu dan akan mula merasai rindu kepada kampung. Aku akan mula memikirkan nenek yang tinggal seorang diri setelah Pak Usu berpindah ke Dubai untuk mencari kehidupan yang lebih mewah. Setiap kali aku berjanji kepada diri sendiri untuk bercuti ke Terengganu tetapi ada sahaja kerja yang harus diselesaikan. Sudah hampir empat tahun aku tidak menjejakkan kaki di bumi Terengganu.

Sekali lagi aku menghidupkan enjin motosikal, kali ini untuk menuju ke arah pusara arwah Zahid. Burung-burung yang sedang berehat di dahan-dahan pokok tempat motosikalku berteduh mula terbang bertempiaran seakan tersentak dengan bunyi ekzos. Aku memulas pemecut motosikal untuk memastikan enjin tidak mati sebelum memasukkan gear untuk bergerak.

Sekali lagi keheningan tanah perkuburan dipecahkan oleh mesin yang dikendalikan oleh seorang lelaki yang kali ini malas untuk mengenakan topi keledarnya.

Setibanya di kawasan arwah Zahid dikebumikan, aku mula merasai rindu terhadapnya dan segala perkara tentang kampung hilang secara serta merta. Aku membacakan doa dan menyedekahkan Al-Fatihah kepada almarhum. Tidak ada perlunya aku membersihkan kawasan kuburnya kerana pada setiap hari Khamis, ibu dan bapanya akan datang menziarahinya.

"Kamu tak mahu ikut mak dengan bapak pergi melawat arwahnya ke Zam?" tanya Mak cik Nora, ibu kepada Zahid dan juga ibu angkatku.

"Tak apalah mak, nanti Zam nak pergi seorang diri sahaja. Lain kali Zam ikut mak dengan bapak ya."

Telah beberapa kali aku menolak undangan mereka untuk bersama melawat anak lelaki kesayangan mereka. Aku tidak sanggup menyaksikan wajah seorang ibu yang telah melihat anaknya pergi sebelum dirinya. Aku masih lagi boleh menziarahi mereka di rumah tetapi, di tanah perkuburan, aku tidak sanggup melihat Mak cik Nora menangis.

Sedang aku mula melangkah pergi meninggalkan Zahid, telefon bimbit aku mula bergetar di dalam poket. Aku mengeluarkannya dan mendapati bahawa ada satu mesej pesanan ringkas yang dihantar oleh seseorang yang telah lama tidak aku hubungi sebagaimana dia tidak menghubungi aku.

Zam, I do not know how to break this to you, but I am getting married next month.

Tersentak aku membaca mesej tersebut. Dia akan berkahwin pada lewat bulan hadapan. Pelbagai emosi mula memuncak bagaikan gelora dan bermacam-macam fikiran bermain di dalam kepala.

Segala kenangan bersama si dia mula bermain di minda seolah-olah aku menghidupkan sebuah projektor dan segala rakaman kejadian dipancarkan di tembok kenangan. Aku merasakan seolah-olah kepalaku semakin ringan dan dada semakin berat. Pernafasanku semakin laju dan tangan yang mengenggam telefon bimbit terasa lembik sekali.

Aku tidak tahu apa yang ingin dikatakan dan aku tidak membalas mesej tersebut. Aku menyimpan sahaja telefon bimbit ke rumah asalnya dan mesej tersebut juga memasuki jurang kegelapan poket seluarku itu.

Sedang aku tiba di pusara ketiga dan terakhir bagi lawatan yang terpaksa aku percepatkan, langit telah mula bertukar gelap, seolah-olah menyesuaikan diri dengan kemelut perasaan yang aku sedang lalui. Aku mengeluarkan sebilah gunting dan beberapa helai kain yang sentiasa aku simpan dalam kompartmen peralatan motosikal dan berjalan menuju ke arah kubur yang tak pernah aku gagal singgah meskipun penghuninya tidak mengenali diriku.

Perjalanan mendaki tangga ke kawasan tanah perkuburan seolah-olah mendaki sebuah gunung kehampaan. Berat rasanya untuk mengorak langkah demi langkah menuju ke destinasi terakhir itu.

Aku memilih langkah dengan berhati- hati kerana kawasan perkuburan bayi ini ada banyak pusara yang tidak terjaga dan batu nisan telah disembunyikan lalang.

Setelah berjaya mengatasi lautan lalang yang liar, aku mula menghampiri sebuah pusara yang dapur-dapurnya berwarna putih, seperti penghuninya yang tidak pernah berpeluang menjamah setitik dosa di dunia yang kejam ini.

"Uncle datang ni," kataku bersendirian seolah-olah sang penghuni tahu akan kehadiran orang yang tidak dikenali.

Aku menggunakan gunting kecil tadi untuk mencantas rumput-rumput halus yang menghiasi permukaan pusara itu. Sambil melakukan sedemikian, aku menyalakan sebatang rokok untuk menenangkan fikiran. Kepulan-kepulan asap yang aku hembuskan dibawa pergi oleh angin yang semakin kencang bertiup membelai kulitku.

Pipi mula merasa dingin kerana angin yang sama turut berusaha mengeringkan air mata yang mula mengalir tanpa aku sedari.

Aishah akan berkahwin lagi.


BIODATA PENULIS

Ini merupakan sumbangan cerpen pertama oleh Izwan Kamaruddin. Beliau bekerja bebas dan banyak meluangkan masa menunggang motosikal secara jarak jauh untuk menimba pengalaman dan inspirasi.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 32
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.