Aku ingin menjadi
pendengar yang setia
tidak kira siapa yang bercerita
sekalipun kerikil di jalanan
atau pasir-pasir di tepian pantai
jika dapat berkata-kata
dengan bahasa tersendiri
kerana masing-masing ada keluh-kesah
untuk diadukan menolak resah
di tengah-tengah gelombang kehidupan
ketika ghairah menganyam cita-cita
menjaring impian berulit harapan
dihimpit takdir dan keadaan
didakap kenakalan
yang tidak pernah direlakan.
Ya, belilah cerita
daripada sesiapa
yang sudi menjual
dengan harga pendengaran penuh peka
kerana kita perlukan
orang yang berfikiran panjang
bukan pendek akal
tergeliat lidah
dan genjot minda
agar disuntik kebijaksanaan
bukan pengaduk kemusnahan.