Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Alibi

Daripada 35 karya cerpen yang dipertandingkan dalam peringkat akhir peraduan Mencari Kristal, lapan terpilih oleh panel juri untuk disiarkan dalam akhbar ini bagi memberi peluang pembaca mengundi pemenang. Cerpen berikut merupakan antara lapan yang terpilih. Mencari Kristal anjuran akhbar ini dengan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bertujuan membangun bakat penulis kreatif di Singapura.
Nov 21, 2016 | 05:30 AM



"PERMAINAN yang licik!" Inspektor Don menyindir sambil merenung tepat ke arah Amar.



"Tuan cuba libatkan kami berdua? Ada bukti?" cabar Amar sambil tersenyum.



Inspektor Don mendekati Amar dan membisik ke telinganya, "Aku tahu kamu berdua bersubahat. Orang kaya dan berpengaruh seperti kau bukanlah Tuhan."



Amar membidas lembut, "Asyai'ullazi laisa haqquna sayazilu bilhaq! (Sesuatu yang bukan hak kita, akan dilenyapkan oleh yang hak!)."



Terik mentari di luar rumah banglo mewah itu seakan berpakat mencakar keegoan Inspektor Don. Tekad untuk mendapat bukti semakin membara.



26 Mac 2016, 1.45 dinihari



Awan merah berarak sedih seakan menari longlai bersama di malam yang tragis. Damia terkulai layu di ruang tamu yang luas itu. Rambut kusut dan baju berlumuran lumpur tidak dihiraukan. Kegelisahan hati mencakup keamanan diri. Tiada apa di benak fikiran kecuali menanti kepulangan suaminya, Amar. Damia terasa diri terkurung di banglo mewahnya.



Ting... tong...!



Damia tersentak. Dia menerjah ke pintu untuk memastikan suaminya berada di luar rumah. Sejurus Amar masuk ke rumah dan pintu ditutup, Damia memeluk erat. Seerat bekas kedap udara.



"Kenapa ni, Sayang?" tanya Amar lembut. Menyaksikan keadaan Damia yang tidak terurus, dia yakin ada sesuatu yang berlaku. Damia memeluk tubuh genitnya. Dedaun resah mula menyelubungi. Walaupun Amar resah, dia mampu menyembunyikan di balik wajah yang tenang.



"Kenapa ni Sayang, cuba cerita perlahan-lahan" pujuk Amar lagi.



"S... Sy... Syed datang malam tadi," jawab Damia terketar-ketar.



"Dia ugut Mia, Kalau..." suara Mia tersekat.



"Kalau apa?" soal Amar ringkas.



Amar seorang ahli perniagaan berhijrah ke Kahirah bersama isterinya. Sejurus selepas bernikah. Di Kahirah, Damia menjadi muaddib di sebuah kolej terkemuka. Di sana, Damia mengenali rakan sekerjanya, Syed. Syed jejaka yang bergaya, bertubuh sasa dan segak menjadi kegilaan ramai. Namun, Syed lebih tertarik pada Damia. Walaupun Damia sudah berumah tangga. Suara hatinya bergejolak inginkan Damia. Kulit yang mulus, rambut yang ikal, gigi putih tersusun rapi dan mempunyai bentuk badan yang menggiurkan. Kejelitaan Damia bak semberani. Cukup membuat Syed terpukau. Malangnya, Syed hanya bertepuk sebelah tangan kerana hati Damia milik Amar.



"Dia ada apa-apakan Mia ke?" tanya Amar dengan nada yang serius. Damia yang berada di sisi berjalan gontai menuju ke meja makan berdekatan dengan air mata bergenangan.



Hampir 10 bulan memendam perasaan. Akhirnya Damia mendedahkan segalanya. Syed bertindak di luar kawalan. Kehormatan Damia diragut. Dua bulan selepas Damia berkahwin. Syed mengambil kesempatan ketika mengikuti perkhemahan anjuran kolej. Ketakutan disulami kekecewaan. Hatinya remuk, begitu juga jiwanya. Terasa diri tidak berguna. Berdiam diri, itulah pilihannya. Ia mengakibatkan Damia mengalami tekanan Bipolar. Barulah Amar mengerti mengapa kemurungan melanda ke atas isterinya. Hatta, mengalami tekanan perasaan. Pil penenang Fluoxetine harus diambil. Untuk membuat dirinya stabil.



"Argggh!!! Mana dia sekarang? Mana?" soal Amar mengawal emosi. Matanya merah menahan marah. Mahu saja dia membelasah Syed.



Amar kebingungan apabila Damia terketar-ketar menuding jari telunjuk ke arah halaman rumah mewahnya. Mata Amar mengekori gerakan jari Damia. Seingatnya, tiada siapa yang kelihatan di luar rumah ketika dia memandu masuk kereta Bentley birunya melalui pagar utama banglo tersebut.



"Mia sudah timbus dia!"



"APA!"



Berderau jantung Amar mendengar pengakuan isterinya. Pengakuan yang menggerunkan. Amar seperti terperangkap. Kesejukan malam menyelinap ke seluruh sendi. Amar sedar pembunuhan telah berlaku. Ia satu kesalahan. Namun, di hujung lubuk hati, dia juga akur bahawa isterinya telah bertindak wajar untuk mempertahankan diri. Terutama terhadap syaitan bertopengkan manusia seperti Syed.



Pada malam kejadian, pergelutan berlaku. Damia meronta sekuat tenaga. Tidak rela diri menjadi mangsa untuk kali kedua. Segala kekuatan digunakan dan hanya mampu mencapai apa sahaja yang berdekatan untuk dijadikan senjata. Akhirnya raket tenis terkena sasaran.Tepat ke tempurung kepala. Syed tewas. Rebah.



"Abang, biar Mia serah diri ke balai polis."



"Tidak Mia! Orang macam Syed memang patut mampus!"



"Tapi Mia sudah membunuh...!"



"Bukan salah awak, Mia!"



"Kalau Mia tidak dihukum di dunia, Mia tetap akan dihukum di sana!"



"Abang tidak mahu apa-apa terjadi pada Mia. Segala bukti harus dilenyapkan. Syed ada kereta?" soalan Amar persis penyiasat jenayah.



"Kereta Volkswagen warna hitam. Mungkin itu kunci keretanya" jawab Damia sambil menunjuk ke arah lantai.



Amar mengambil kunci itu dan terus keluar mencari kereta. Kereta Syed mudah dijumpai. Ia terdampar di tapak pembinaan berdekatan. Dengan pantas, Amar memandu keluar dari kawasan rumah mewahnya. Dibawa jauh. Jauh dari kawasan perumahannya. Ditinggalkan kereta tersebut di hujung jalan. Sirna dari pandangan ramai. Kunci keretanya pula, dibalut dengan kain buruk yang dituang cuka sebelumnya. Lalu dilontarkan ke dalam lori muatan yang kebetulan berada di situ. Telefon bimbit yang berkecai disatukan dengan batu-batu kecil di dalam plastik. Dicampak ke dalam tasik. Ia tenggelam. Hilang dari pandangan. Raket tenis pula diletakkan di tepi jalanan.



Sementara di rumah, Damia diarah untuk menghapuskan segala bukti akan kehadiran Syed di rumah. Setiap sudut diteliti. Otak bercelaru, jiwa terbelenggu. Tiada percikan darah kelihatan. Itu petanda Syed mati akibat pendarahan dalaman. Pintu, meja dan apa sahaja barang yang ada di ruang tamu dibersihkan dengan menggunakan ubat gigi, cuka dan tepung jagung. Bukti kehadiran Syed harus dihapuskan.



Sesampai Amar di rumah, Damia disuruh untuk mengemas pakaian kerana menurutnya, mereka akan bercuti buat beberapa hari. Sebenarnya, secara kebetulan, Amar telah menempah bilik hotel sehari sebelum kejadian. Hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama.



Semasa dalam perjalanan, Amar memesan, "Sayang, lupakan segala yang telah berlaku. Syed dan Mia kawan kerja dan hanya berjumpa di tempat kerja. Titik! Anggap Syed tidak pernah menjejakkan kaki di rumah kita. Abang sayang Mia!" Kata Amar sambil memegang tangan Damia.



28 Mac 2016, 4.40 petang



Damia dan Amar pulang ke rumah. Seperti merpati dua sejoli yang baru pulang dari berbulan madu. Mereka menghabiskan masa bersama. Membeli-belah, makan di restoran mewah dan menonton wayang. Resit-resit pembelian disimpan Amar sebagai alibi. Alibi perlu ada untuk membuktikan mereka tidak ada di tempat kejadian.



"Sayang, seperkara lagi, jangan menggelabah. Andai ada pihak polis datang menyoal, jawablah dengan tenang. Jangan sesekali membongkar apa yang telah berlaku. Abang sayang Mia!"



Namun, Damia tidak dapat melenyapkan memori pahit yang berlaku ke atas dirinya. Hampa, marah dan kecewa antara emosi yang sedang memberontak meminta pembelaan.



22 April 2016, 2.30 petang



Hari demi hari berlalu. Tiga minggu semenjak kejadian. Damia sudah mula menjalankan tugasan kolej seperti biasa. Walaupun berita kehilangan Syed menjadi bahan perbualan di kolej, Damia hanya berpura-pura tidak tahu. Rasa takut ke tali gantung lebih mencengkam batin daripada rasa bersalah kerana membunuh. Damia cuba berkelakuan seperti biasa apabila ramai yang mempertikaikan dan menyoalkan ke mana perginya Syed tanpa berita. Pihak kolej cuba menghubunginya tetapi gagal.



Sedang Damia asyik menyemak slaid tugasan di bilik darjah, seorang anak murid memanggilnya, "Cikgu Damia! Pengetua hendak jumpa cikgu. Ada beberapa polis sedang menunggu." Mendengar kenyataan anak muridnya, jantung Damia mula berdegup kencang. Namun Damia melawan rasa gementar. Diambilnya Fluoxetine untuk menenangkan diri.



Pintu bilik diketuk. Ternyata tiga pasang mata mengekori Damia memasuki bilik itu. Tanpa berlengah, Inspektor Don bangkit dari kerusi dan memperkenalkan diri.



"Puan tahu di mana Syed sekarang?" nada tegas Inspektor Don jelas kedengaran.



"Ramai sedang mencarinya," jawab Damia.



"Puan rapat dengannya?"



"Hanya di kolej. Secara profesional. Tidak lebih dari itu."



Inspektor Don menyambung, "kami menjumpai keretanya terdampar di tepi tasik tetapi Cikgu Syed tidak dapat dihubungi. Puan ada menghubunginya?"



"Hanya waktu bekerja. Selebihnya saya tidak tahu," jelas Damia dengan tenang.



"Di manakah Puan berada di antara 25 Mac 2016 pukul 11 malam hingga 26 Mac 2016?" cungkil inspektor itu lagi.



Secara yakin Damia menjawab: "Ohhh... saya dan suami tiada di rumah. Kami berada di hotel."



"Hotel? Bagaimana Puan begitu pasti dan ingat pada tarikh dan waktu tersebut?" Inspektor Don cuba mencungkil.



Damia senyum sebelum menjawab "Ohhh, begini tuan, tarikh tersebut adalah hari ulang tahun perkahwinan saya. Maka suami saya memberi kejutan dengan menempah bilik hotel." Jawapan Damia begitu bersahaja.



"Terima kasih puan. Seandainya puan ada maklumat tentang Cikgu Syed, sila hubungi kami." Inspektor menghulurkan kad tertera nombor taliannya.



Damia berasa lega apabila pihak polis tidak menanyakan seribu macam persoalan. Berpeluh juga dibuatnya. Fikiran Damia melayang jauh.



"Sudah tentu tali gantung menanti!" bisik hati Damia.



Namun, tanpa disedari, Inspektor Don sudah mengesyaki bahawa Damia ada kaitan dengan kes ini. Dia hanya menunggu bukti yang kukuh untuk bertindak. Inspektor menyusun strategi. Dia yakin Damia akan tertangkap.



26 April 2016, 8.35 malam



Loceng rumah berbunyi ketika Amar dan Damia sedang menikmati makan malam bersama di rumah. Pintu dibuka. Ternyata berdiri tiga anggota polis kemas berseragam dan juga Inspektor Don. Ya! Inspektor Don yang mengetuai kes kehilangan Syed.



Inspektor menunjukkan waran untuk menggeledah kawasan rumah banglo tersebut. Damia menjadi takut. Bercelaru. Digenggam lengan Amar dengan erat.



Inspektor bersuara, "Pihak kami ada menerima maklumat bahawa kali terakhir signal telefon Cikgu Syed di kesan di daerah kawasan rumah kamu."



Damia dan Amar saling berpandangan.



"Dan ada saksi yang melihat kamu mencangkul tanah." Jelas inspektor dengan tegas.



Amar dan Damia hanya mampu berdiam dan membenarkan siasatan dijalankan. Ketika polis menggeledah rumah, tiada apa yang mencurigakan. Hanya apabila proses pengorekan tanah, degupan jantung semakin kencang. Damia hanya mampu menangis.



"Abang, maafkan Mia bang!" tersekat suara Damia menahan sebak. Amar hanya memberi isyarat untuk bertenang.



Setelah mengorek sedalam beberapa meter, pihak polis menjumpai bungkusan guni yang besar dan busuk. Ketika ini, mereka yang berada di situ menutup hidung. Suara ramai mula memecah kesunyian. Inspektor Don menjeling ke arah tertuduh sambil tersenyum sinis. Dia hampir yakin si tertuduh akan tertangkap dengan adanya bukti yang ada.



"Iftahul akyas!", perintah inspektor.



Pegawai polis yang bertugas mengikut arahan inspektor. Dibuka guni itu secara hati-hati. Kesemua orang yang berada di situ terkejut, terpana dan ternganga. Damia juga begitu. Hakikatnya, apa yang mereka jumpai hanyalah... seekor bangkai anjing!



29 April 2016, 8.10 pagi



Tajuk berita di muka depan surat khabar membuat Amar teruja untuk terus membaca kandungannya.



"TIADA PENEMUAN DIJUMPAI. POLIS MENYIFATKAN KES KEHILANGAN CIKGU SYED SEBAGAI MISTERI."



Dia meletakkan akhbar itu di atas meja dan menghirup kopi panas. Damia yang berada bersamanya menyoal "Abang alihkan ke mana?"



"Sayang, rahsia alam ada pada malam. Rahsia kita berdua, biar Abang jaga hingga hujung nyawa."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >