Awak kad mana?

Daripada 35 karya cerpen yang dipertandingkan dalam peringkat akhir peraduan Mencari Kristal, lapan terpilih oleh panel juri untuk disiarkan dalam akhbar ini bagi memberi peluang pembaca mengundi pemenang. Cerpen berikut merupakan antara lapan yang terpilih. Mencari Kristal anjuran akhbar ini dengan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bertujuan membangun bakat penulis kreatif di Singapura.

Pilih cerpen terbaik 'Mencari Kristal'!
Undi!

"BREAKING news! Jom, cepat!" Kepala Baharuddin yang tadi terjenguk dari sebalik pintu terbuka bilik suntingan sudah tiada. Kedengaran tapak-tapak kaki berlari-lari di luar bilik itu. Dua orang jurugambar bergegas dengan peralatan mereka.

Eysha, pereka grafik akhbar tabloid itu, terpaksa membantutkan hasrat menghabiskan laporannya mengenai bekalan elektrik yang terputus di kawasan timur negara. Mejanya dibiarkan tidak terkemas: lakaran-lakaran draf berselerak antara alat-alat tulis dan buku Wordplay penulisan John Langdon. Dia segera mencapai jaket Zara yang tergantung di kerusi dan tag namanya. Telefon bimbitnya tertinggal. Bukan kali pertama.


Platform Stesen EW2 kekecohan. Pengumuman dari bilik kawalan berulang-ulang mengingatkan orang ramai untuk tidak ke bahagian hujung platform. Beberapa orang pegawai stesen mula mengarah orang ramai ke ruang hadapan.

Berpakaian segak - berseluar kelabu dipadankan dengan kemeja putih berlengan panjang - ASP Muhammad Amran menunjukkan kad identitinya kepada ketua stesen MRT Tampines: 'CID Special Investigation Section, Major Crime Division' tertera di bawah namanya.

Ramai kini sudah berhimpun di luar kawasan yang dikepung, gigih memetik gambar atau merakamkan video. Ramai tertanya-tanya apa yang telah berlaku. Tiada sesiapa yang tahu jawapannya; mereka semuanya sibuk dengan telefon bimbit masing-masing apabila kejadian itu berlaku. Dua orang pegawai polis berseragam sudah hampir menaikkan khemah biru dengan perkataan 'POLICE' untuk menutup tubuh gempal tidak bernyawa itu. Merah membasahi sebahagian lantai platform.

"Kami memerlukan kesemua rakaman kamera litar tertutup stesen ini," Amran memberitahu ketua stesen, seorang lelaki Cina berambut nipis dan berkaca mata tebal.

"Tapi Tuan, kamera-kamera kami tidak berfungsi," ketua stesen itu menjelaskan, "sejak terputusnya bekalan elektrik semalam." Amran melihat orang ramai yang riuh- rendah di sekelilingnya, dan mengeluh kecil. Bimbang. Di antara mereka adalah seorang pembunuh. Atau mungkin dalam kekecohan tadi, dia telah berjaya meloloskan dirinya dari stesen ini.

Di luar stesen, van Toyota Hiace tabloid Buletin Metro berhenti. Baharuddin turun dahulu, diikuti dua orang jurugambarnya. Semenjak Encik Michael Anderson mengambil cuti panjang, Baharuddinlah yang mengambil alih tugas Ketua Editornya itu. Eysha, anggun dengan rambut lurusnya dilepaskan begitu, menyusuli mereka.

Suasana di platform sudah mulai reda kekecohannya. Ramai yang sudah menaiki MRT meneruskan urusan harian masing- masing.

Amran masuk ke dalam khemah biru, dan melutut di sebelah mangsa. Dia menyarungkan sarung tangan latexnya dan membelek-belek tubuh mangsa. Dapatan punca kematian: tikaman dalam ke solar plexus yang mengoyakkan abdominal aorta. Mangsa mati dalam masa sepuluh minit.

"Apa yang mak cik nampak?"

"Mak cik tak nampak apa-apa, Nak. Mak cik bukan kepo nak tengok-tengok orang semua. Macam orang lain, mak cik tengok handphone mak cik, main game, buat hal sendiri. Alih-alih, ada orang minta tolong pasal nampak orang pengsan. Kemudian, ada pegawai MRT naik. Dan baru mak cik nampak darah."

Baharuddin mengangguk ke arah Eysha, isyaratnya yang menandakan mereka sudah dapat sound bite yang sesuai.

"Terima kasih, Mak cik."

Eysha ke sebelah Baharuddin, sambil menunggu jurugambar-jurugambar mengambil gambar untuk laporan mereka. "Ambil gambar-gambar close-up. Ini tajuk berita depan kita!" Baharuddin mengingatkan kedua-dua jurugambarnya. Dia menoleh ke wajah ayu Eysha, "Laporan semalam, you dah siapkan grafiknya?"

"Belum lagi, Din. I tengah fikirkan the best layout," suaranya serak-serak basah.

"You okay, Eysha? You sound awful. Kena jaga diri. Kita perlukan you."

Baharuddin lihat lirik mata coklat Eysha menusuk terus ke kalbunya. Senyuman Eysha memberitahunya tiada apa yang perlu dikhuatiri. Pandangan Baharuddin beralih ke khemah biru.

Tiba-tiba, Eysha melangkah pergi. Baharuddin memerhatikan rakan sekerjanya ke sebuah bangku batu marmar. Berumur 25 tahun, Eysha sememangnya wanita yang tiada kurang peminatnya. Dengan budi pekertinya yang halus, dan sikap profesionalnya apabila bertugas, ramai yang senang akan dirinya. Termasuk Baharuddin sendiri.

Eysha membongkok dan mengutip sesuatu dari tepi bangku itu: sekeping kad kuning. Baharuddin tidak terperasan kad itu tadi apabila dia ke sana. Dari jauh, kelihatan kening lebat Eysha dikerut: dia musykil. Eysha kemudian ke arah khemah biru. Dua pegawai polis bertanyakan sesuatu kepadanya sebelum salah seorang daripada mereka menjenguk ke dalam khemah. Amran muncul.

Kad kuning itu bertukar tangan. Amran melihat tulisan seperti cakaran itu: 'Tampines'. Ada setitik darah kering di satu sudut kad tersebut: milik pembunuh? Amran memasukkan kad itu ke dalam sekeping sampul plastik untuk dikaji di makmal nanti. Dia merenung ke dalam mata Eysha, "Ini kad saya sekiranya ada maklumat baharu."


Di mejanya, Eysha sedang menghabiskan infografik untuk menunjukkan fasa-fasa projek menaiktarafkan sistem grid elektrik negara. Selepas kegenjotan di sektor timur, syarikat ElectroGrid digesa pemerintah untuk mengemaskinikan kesemua sistemnya untuk mengelakkan kejadian serupa berulang. Fasa pertama akan meliputi sistem grid di sektor pusat bandar, diikuti dengan sektor-sektor timur, selatan, utara dan barat negara.

Fikirannya cuba mengajaknya mengelamun tentang pertemuan ringkas dengan pegawai polis tadi tetapi otaknya tidak membenarkannya. Sebaliknya, dia diheret ke satu ruang terpencil di mindanya di mana wujud kegelapan yang ingin sahaja dilupakannya.

Rahsia yang dikongsinya baru-baru ini dengan Baharuddin. Jejaka tampan yang pandai mengambil hatinya dengan hadiah-hadiah kecil dan kata-kata manis, yang serius bertugas dan santai apabila diajak berbual. Malangnya, Eysha belum bersedia; untuk masa ini, dia lebih tertumpu kepada kerjayanya.


"Yes, Sir."

ASP Amran mencapai pistol Heckler & Koch USP-nya. Dia dikerahkan ke Stesen MRT Serangoon. Kes pembunuhan. Yang ketiga dalam masa dua minggu.

Setibanya di sana, satu deja vu menjemput Amran. Seperti pembunuhan di Newton - dan di Tampines sebelumnya - tiada rakaman yang dapat digunakan untuk siasatan. Tiada saksi yang menampilkan diri; orang ramai dikhayalkan peralatan canggih masing-masing. Tiada suspek atau cap jari yang dapat membantu memberkas suspek. Yang ada hanyalah sekeping kad kuning, dengan cakaran nama stesen tempat kejadian.

Modus operandi sama. Singapura diancam seorang pembunuh bersiri!

Tidak jauh dari dirinya, Amran terasa seakan-akan pernah melihat wanita berjaket itu. Rambutnya yang panjang tidak terikat berlenggok-lenggok mengikut gerakan pinggulnya. Dia melihat wanita itu segera masuk ke dalam van di tepi jalan.


Sudah masuk dua jam Amran di makmal, melakukan ujian-ujian ke atas tiga keping kad kuning misteri dari tempat-tempat pembunuhan. Tiada cap jari mahupun kesan DNA yang dapat diperolehi daripada spesimen-spesimen ini. Amran bertemu jalan mati.

"Sir," lapor Inspektor Hidhir sebaik sahaja melangkah masuk ke makmal, "Kami telah berjaya kaitkan ketiga- tiga mangsa." Satu berita baik bagi Amran; dia hampir buntu dalam penyiasatan kes ini. "Mereka dari sekolah menengah yang sama."

"Terima kasih, Inspektor."

Hidhir terpandang tiga keping kad kuning yang tersusun di atas meja. "Nama- nama mangsa?"

"Huh? Bukan. Nama-nama stesen MRT: Serangoon, Newton, Tampines."

"Noorazhar, Norman, Faridzuan," Hidhir membaca. Amran hairan; memang tepat itu nama-nama mangsa. Dia memusingkan kad-kad itu. Bebola matanya membesar: "Apa...?"


"Tengkuk peta! Globe head!" Cemuhan-cemuhan itu diikuti dengan ketawa terbahak-bahak tiga lelaki yang mengelilinginya.

Hatinya dirobek-robek hari itu. Dia tahu dia tidak seperti teman-temannya yang lain: dia pemalu, bertubuh gempal, berambut keriting kusut dan mempunyai tanda lahir yang besar di tengkuknya. Tetapi, untuk dihina sebegitu - dan oleh teman lelakinya lagi! - di kantin sekolah, di hadapan hampir semua rakan sekolah menengahnya yang lain, sudah tentu hari hitam dalam sejarah hidupnya.

Aisyah tidak akan lupa perbuatan pengecut Faridzuan bersama Noorazhar dan Norman. Zaman persekolahannya - kehidupannya - berubah selepas hari itu.


Amran membaca SMS itu lagi: 'Jumpa di Stesen Marina Bay - Eysha'.

Seperti di tempat-tempat lain di Singapura, tabloid Buletin Metro kini menjadi sumber berita pilihan ramai. Ramai yang mendahagakan laporan, maklumat terperinci dan gambar-gambar bermutu bersangkutan pembunuhan bersiri yang berlaku baru-baru ini.

Pelancong lampai itu kelihatan terpinga-pinga, dahi luasnya disalut air peluh. Dia menggaru rambutnya yang separuh tertutup topi Quiksilvernya. Di tangannya dipegang beberapa lipatan peta kota Singapura dan segulung Buletin Metro. Dia melangkah ke arah Amran, dan tersenyum. Amran membalas senyumannya.

"Excuse me," dia bertanya, "Could you kindly show…" Pelancong itu menghulurkan petanya dan… sekeping kad kuning. 'Marina Bay' tercakar di kad itu!

Biji mata Amran terbeliak. Otaknya sudah memahami apa yang dilihatnya tetapi belum sempat maklumat ini disampaikan ke otot-otot tangannya, Amran sudah terasa satu keperitan tajam perlahan-lahan ditusuk ke dalam perutnya. Dunia Amran menjadi serba hitam, gelap. Buta.

Michael dengan tenang melangkah masuk pintu MRT yang sudah lama ternganga.


Satu laungan menyayat hati membelah suasana pagi di stesen MRT Yishun.

Tubuh itu bagai patung yang ditinggalkan tercampak di lantai aras satu; tidak lagi bergerak, kecederaan parah ketara pada tempurung kepalanya. Darah berlumuran daripada kecederaan itu.

Seorang tukang pembersih wanita - yang jeritannya memecah keheningan pagi beberapa detik sebelum itu - terduduk bersimpuh menutup mukanya sambil menangis teresak-esak. Jikalau langkahnya cepat sedikit, sudah tentu dia akan dihempap tubuh yang jatuh dari aras dua.

Gambar halaman depan Buletin Metro paling jelas: tubuh seorang wanita yang rambut panjang bersalut merah menutup sebahagian mukanya. Di belakang leher jinjangnya kelihatan setompok tanda lahir besar. Sekeping kad kuning kelihatan separuh tersemat di kocek depan jaket Zara: 'Yishun MRT' dicakar dakwat hitam.

Tajuk berita penuh sensasi: 'PEMBUNUH BERSIRI MEMBUNUH DIRI'.

Hari itu, ramai yang akan memusingkan halaman depan tabloid Buletin Metro untuk melihat sendiri pengakuan pembunuh bersiri:

'I am Aisyah'. Nama Eysha sebelum dia berusia 21 tahun.


Inspektor Hidhir memfailkan laporannya. Kes pembunuh bersiri sudah selesai. Motif pembunuhan ialah untuk membalas dendam pengalaman traumatik yang tidak dapat dilupakan. ASP Amran dibunuh kerana dia semakin hampir mengetahui identiti sebenar pembunuh. Suspek akhirnya membunuh dirinya sendiri. Hidhir menatap gambar Eysha, sebelum menutup fail itu.


Dua bulan sebelumnya:

"Mike, aku ada cara supaya akhbar kita lebih laris dijual."

Michael tidak berkata apa-apa pagi itu, mendengar dengan teliti rancangan rakan kongsinya sambil mengangguk-angguk. Sesekali dia mengerut dahinya, kemudian tersenyum kecil. Dengan adanya persaingan sengit dalam bidang teknologi maklumat - bertambah pula dengan pengaruh meluas media sosial - Michael rela membuat apa sahaja untuk menaikkan lagi nama akhbar yang baru ditubuhkannya itu.


Epilog:

Baharuddin mengemas meja Eysha. Dia menyimpan buku-buku ambigram John Langdon dan Nikita Prokhorov yang dihadiahkannya kepada wanita idamannya dahulu.

"Semua ini tidak akan berlaku kalau kau terima lamaranku, Sayang. Kalau aku tidak memiliki kau, tiada lain yang akan memiliki kau."

Pilih cerpen terbaik 'Mencari Kristal'!
Undi!

Waktu Solat

Subuh
5:45
Syuruk
7:04
Zuhur
1:09
Asar
4:25
Maghrib
7:13
Isyak
8:23
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.