Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Bangkitkan azam penulis muda

Pada bahagian pertama yang disiarkan sebelumnya, sasterawan mapan Hj Suratman Markasan meninta syarat meningkatkan mutu sastera. Pada bahagian akhir ini, beliau menilai penulis sezamannya dan cara memupuk penulis muda nusa. Laporan MOHD RAMAN DAUD
Jan 14, 2014 | 02:00 PM



ZAMAN penulis lama yang penuh disiplin dan ghairah memperjuangkan isu masyarakat sudah berlalu di Singapura.


Kini zaman gerakan penulis muda pula perlu berwawasan jagat.


Begitulah pandangan sasterawan mapan Hj Suratman Markasan, 83 tahun.


Baru-baru ini, empat jilid + 1 karyanya berupa puisi, cerpen, esei dan ucapan serta wawancara dilancarkan dalam sebuah majlis gemilang yang diserikan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim.


"Mungkin suasana Singapura yang serba makmur ini mengurangkan kepekaan dan jiwa penulis muda untuk mengarah kepada sesuatu matlamat berbanding dengan penulis sezaman dengan saya," katanya dalam wawancara di rumahnya di Woodlands.


Pupuk pelapis


Dalam satu forum anjuran Kumpulan Penulis Muda Singapura (Kamus) pada awal 1990-an yang mengupas tema 'ke mana arah sastera Melayu Singapura', beliau menegaskan bahawa sasterawan muda perlu punya visi atau wawasan, berjiwa progresif tanpa terikat dengan tema tertentu dalam mengutarakan karya kreatif mereka.


"Zaman saya mula menulis ialah zaman penjajahan British, Jepun dan British lagi. Kami gunakan pena kami untuk membangkitkan semangat menentang penjajahan.


"Saya ungkapkan permasalahan masyarakat Melayu dari zaman menuntut merdeka sehingga zaman mengisi kemerdekaan.


"Tetapi kemudian saya berubah haluan selepas kematian isteri saya, Saerah Taris, pada 1987. Saya kembali kepada menulis sebagai ibadah kerana Allah demi mencari keadilan dan keredaan-Nya," katanya.


Baginya, sastera perlu membangun ummah dan juga kemanusiaan sejagat.


"Jadi, saya kira destinasi sastera kita bersifat universal.


"Penulisan sastera bukan sekadar suka-suka sendiri saja. Ia suatu kritik sosial dalam bahasa yang indah dan beradab. Itulah yang cuba saya paparkan dan diharap dapat jadi contoh kepada para penulis pelapis," katanya.


Beliau bangga akan pencapaian Isa Kamari dan Johar Buang sebagai penulis pelapis yang kukuh. Beliau berharap kalangan penulis muda menuruti jejak Isa untuk menterjemahkan karya mereka ke bahasa Inggeris agar mendapat pasaran pembaca yang lebih luas.


Johar Buang yang kian dikenali sebagai penyair sufi serantau juga mempunyai karya puisi terjemahan ke dalam bahasa Inggeris yang dipasarkan di Amerika Syarikat.


"Pokoknya karya mereka perlu kental dari segi mesej dan olahannya serta tentulah bahasa yang indah untuk mengangkat mutu persuratan Melayu kita," katanya.


Kritik sosial


Hj Suratman menekankan peri penting sastera dijadikan kritikan sosial.


"Sastera lebih mengenai hubungan manusia sesama manusia. Sebagai penulis, kita melihat kekurangan diri sendiri dan masyarakat untuk maju dengan bermakna. Manusia, tidak kira agama atau kepercayaan, dijadikan untuk menjadi khalifah atau pemimpin sekurangkurangnya bagi dirinya sendiri," tambahnya.


Sebagai seorang pendidik, beliau mengakui karyanya bersifat memberikan pendidikan kepada masyarakat agar dapat berfikir dan melihat ketidakadilan atau kekurangan.


"Sudah ditakdirkan saya dilahirkan dalam kaum Melayu. Tapi saya juga boleh menulis untuk seluruh insan dunia. Jadi, penulisan kita hendaklah ada tujuan. Mentelah kita tidak boleh berdusta kerana Tuhan melihat segala amalan kita, yang baik dan buruk," katanya.


Sebagai kritik sosial, beliau berharap para penulis muda dapat menjadi 'mata dan telinga' masyarakat.


"Kita perlu menulis dengan jujur bukan dengan ideologi tertentu atau niat serong. Jadi, dengan ini kita betulkan masyarakat kita," tambahnya.


Perlu pengkritik


Hj Suratman berasa jika penulis tidak mahu menulis lagi, wajarlah dia menjadi pengkritik pula.


"Namun, jadilah pengkritik yang jujur dan berilmu. Sebabnya, kita amat kekurangan insan sedemikian yang dapat memajukan sastera kita.


"Apa yang terdapat di ruangan sastera sekarang bukanlah kritikan, tetapi lebih sekadar ulasan saja. Kritikan yang halus dapat meluaskan pandangan pembaca mengenai karya yang diterbitkan," terangnya.


Beliau memang pernah diminta menjadi pengkritik.


"Namun selagi saya hendak menulis, masa untuk menjadi pengkritik menjadi terbatas. Itupun saya sudah banyak kali diundang untuk menyampaikan kertas kerja atau ceramah yang saya gunakan untuk membuat kritik sosial," katanya.


Antara kritik sosial Hj Suratman yang pernah menimbulkan tengkarah ialah makalahnya yang disampaikan dalam satu pertemuan sastera di Johor Bahru dalam 1990-an mengenai peri laku orang Melayu Singapura yang 'berpura-pura' termasuk dalam ehwal naik haji dan umrah.


Beliau pernah dibandingkan dengan Bo Yang atau nama sebenarnya Encik Guo Yidong (1920-2008), seorang penulis Taiwan yang kontroversial yang dilahirkan di Kaifeng, Henan, China dan kemudian berpindah ke Taiwan pada akhir 1940-an.


Bo Yang menulis esei yang mendedahkan masalah sosial Taiwan dan peri laku orang Cina yang sumbang.


Bagi Hj Suratman, kritikan yang jujur bertanggungjawab dan berilmu akan diterima masyarakat. Selain di akhbar, kini terdapat media sosial yang boleh digunakan untuk berbuat demikian.


"Tapi utamakan adab kita. Jangan kritik dengan marah-marah sehingga maki hamun kerana ini bukanlah cara Melayu. Lakukanlah secara halus," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >