Bangun jatuh sastera watan

Pasang surut persuratan Melayu di Singapura, terutama selepas perpisahan dengan Malaysia, merupakan inti kertas kerja Prof Madya Dr Hadijah Rahmat pada sidang di Pulau Pinang, baru-baru ini. MOHD RAMAN DAUD (raman@sph.com.sg) menyusur isi makalahnya. Bahagian pertama.

SEKITAR 15 tahun sesudah perpisahan dengan Malaysia pada 1965, persuratan Melayu di Singapura telah bangkit kembali dengan bertenaga.

Kebangkitan itu berlaku selepas melalui trauma perpisahan dan mengatasi rasa pesimisme.

Demikian menurut Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, 56 tahun, ketua Unit Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Kebangsaan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam makalah terpanjang (42 halaman) pada Persidangan Serantau Kesusasteraan Melayu Malaysia-Singapura Dalam Dimensi Pasca 1965.

Makalahnya merupakan ucap utama kedua pada sidang sehari 11 Disember lalu di Universiti Sains Malaysia (USM). Kesemuanya 17 makalah dibentang termasuk dua ucap utama.

"Rasa kehilangan adalah kesan psikologi yang ditimbulkan oleh perkembangan politik ini, yang telah mempengaruhi isi, corak dan nada penulisan yang dihasilkan selepas titik bersejarah 9 Ogos 1965," katanya dalam pembentangan pandang dengar yang menarik di Dewan Persidangan USM.

NGAUM SINGA

Sebelum perpisahan dengan Malaysia, kata Dr Hadijah, Singapura atau kota Singa melalui lima tahap perkembangan:

  • Zaman klasik (abad ke-13 sehingga ke-14 Masihi);
  • Zaman penjajahan British (1819-1900);
  • Zaman sebelum Perang Dunia II (1900-1942);
  • Zaman selepas Perang Dunia II (1945 sehingga kini); dan
  • Zaman kemerdekaan.

Dari segi zaman klasik, Dr Hadijah menyatakan berdasarkan dapatan almarhum Dr Teuku Iskandar (ketua pasukan penyusun Kamus Dewan), Singapura pernah menjadi pusat tamadun di Alam Melayu, termasuk kegiatan sastera.

Raja kelima Singapura, Parameswara, melarikan diri selepas Singapura diserang tentera Majapahit, dan telah membangun Melaka sebagai kesultanan baru dalam abad ke-15.

Namun Singapura masih penting sebagai antara wilayah empayar Melaka, menurut Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Sesudah Melaka tewas di tangan Portugis, nama Singapura terus lenyap dan hanya timbul semula 400 tahun kemudian - apabila Kompeni Hindia Timur British cuba mencari tempat sesuai untuk dijadikan pelabuhan demi menyaingi kuasa Belanda di Nusantara.

Dalam zaman British, Singapura muncul kembali sebagai pusat percetakan bagi Nusantara. Ini bermula dengan usaha rintisan dan kegigihan Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir yang disifatkan oleh Dr Hadijah sebagai 'perakam sejarah' dan penyumbang penting kepada pemodenan persuratan Melayu.

Kehadiran cendekiawan Melayu telah mendorong Singapura menjadi pusat penerbitan akhbar sehingga membawa kepada industri perfileman dan muzik.

Menurut sarjana Australia, mendiang Dr Ian Proudfoot, Singapura merupakan pusat penerbitan Islam Asia Tenggara terutama antara 1860 sehingga 1920 kerana pulau ini merupakan pusat utama pentadbiran British, pelabuhan bebas, pusat persinggahan jemaah haji dan mempunyai dasar politik yang longgar. Namun Singapura menghadapi persaingan buku import dari Bombay, Makkah, Kahirah dan Istanbul.

Akhbar Jawi Peranakan (1876), antara akhbar Melayu terawal di dunia, telah terbit di Singapura. Antara 1876 sehingga 1941, terdapat 147 akhbar.

Para penerbit akhbar terdiri daripada India Peranakan dan Arab serta Baba Peranakan yang menerbitkan akhbar, seperti akhbar Bintang Timor di Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat. Kebanyakan akhbar tertumpu di Singapura (68 buah) dan Pulau Pinang (36 buah).

Singapura telah melahirkan 'Bapa Kewartawanan Melayu' iaitu Mohd Eunos Abdullah, yang mengasuh akhbar Utusan Melayu pada 1907.

Eunos merupakan pemimpin masyarakat, tokoh Melayu pertama dalam Dewan Perundangan Singapura dan pengasas serta ketua Kesatuan Melayu Singapura yang ditubuhkan pada 1926.

AKHBAR JIWA MELAYU

Namun impian untuk melahirkan akhbar dengan suara Melayu yang tulen bermula apabila Onn bin Jaafar (pengasas Umno) menjadi editor Warta Melayu (1930-1941).

Akhbar ini kemudian diambil alih para anggota Kesatuan Melayu Singapura dan dinamakan Utusan Melayu pada 1939 (sempena akhbar Melayu yang diasuh Mohd Eunos Abdullah). Utusan pernah diuruskan Yusof Ishak yang kemudian menjadi Yang Dipertuan Negara dan Presiden pertama Singapura.

Ketika zaman Pendudukan Jepun (Perang Dunia II, 1942-45), Malaya dan Sumatera disatukan tentera Jepun di bawah satu pentadbiran. Maka terbentuk Berita Malai (hasil gabungan Warta Malaya dan Utusan Melayu).

Semangat kebangsaan Melayu meningkat meskipun dalam zaman kekejaman Jepun. Ketika ini, sajak Melayu dirintis Masuri SN lewat karyanya 'Bunga Sakura' dan 'Rosku Puja'.

Sesudah British kembali, kegigihan meraih kemerdekaan berterusan. Asas '50 ditubuhkan, menurut Dr Hadijah, yang meniupkan semangat kesedaran luar biasa menerusi bahasa dan persuratan.

Malaya merdeka menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan diikuti dengan gagasan Malaysia. Bahasa Melayu menjadi kian penting dalam dasar pemerintah sendiri Singapura pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk menyertai Malaysia. Ini menjadi kenyataan tetapi dalam tempoh singkat 1963-65.

Dr Hadijah menampilkan semangat Malaysia dalam lagu 'Malaysia Baru' gubahan Kassim Masdor dengan lirik Omar Rojik serta didendangkan Aziz Jaafar dalam filem Kasih Tanpa Sayang (1963).

Namun segala harapan untuk percantuman tadi berkecai bak terpapar dalam lagu 'Sumbangsih' gubahan Zainal S Abbas yang dicipta khas untuk drama karya Rahman B dengan nama yang sama.

Arahan Bani Buang, drama ini dipentaskan di Panggung Victoria beberapa bulan selepas perpisahan (akhir 1965).

Bahagian kedua minggu depan: Tekad kebangkitan sastera Melayu Singapura

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.