Mencari Kristal - Karya 2/8

Bantal Pak Akub

Pilih cerpen terbaik 'Mencari Kristal'!
Undi!

Oleh Djohan A Rahman

“LEMBUT sangat.”

Matanya melilau ke sana sini. Setiap ceruk diteliti dengan telaten. Di sebalik ketenangan itu, terselindung jiwa yang berkecamuk. Dan setiap nafas yang dihela akan bersulam bisa yang merobek dan memamah dirinya dari dalam. Pak Akub membelek-belek lagi bantal-bantal yang menggunung itu. Kabu-kabu. Bulu itik. Span. Getah magik. Satu-persatu Pak Akub timbang di neraca hati.

“Yang ini kurang besar.”

Semuanya tak kena. Hatta akal pun bersuara. Apakah bantal itu benar-benar tidak sesuai atau ketidaksesuaian itu berputik daripada gundah di lubuk hati yang hadir berjurai-jurai…

“Anisah! Anisah!” 

Pintu masuk rumah jenis ‘L’ itu dibukanya dengan cepat.

“Anisah! Abah balik, Sayang!”

Dari dapur, Anisah muncul. 

“Babah! Babah! … Nisa ek-ek… Totor..”

“Tak apa, tak apa. Abah yang salah. Abah balik lambat. Anisah lapar ‘kan?”

Gadis berusia 14 tahun itu tersengih sambil ternganga; matanya tertumpu pada kawasan lantai dapur itu.

“Sini, Sayang. Baik-baik.. Jangan pijak. Sini Abah bersihkan. Lepas kita salin baju, kita makan, ya?”

Segeluk minyak ditatang, setitik tiada terlepas pandang. 

Bungkusan nasi yang berisi sawi masak bening dan telur dadar sepotong itu dibuka untuk Anisah. Lalu Pak Akub membersihkan kawasan lantai dapur itu. Najis yang tercalit di situ dikaup dengan menggunakan kain buruk yang lembab. Pak Akub lebih rela membersihkan lantai dapur itu.

Dia tidak mahu Anisah menggunakan tandas dapur itu lagi jika dia tiada di rumah. Pernah Anisah dibiarkan menggunakan tandas sendirian.

Bersepah juga jadinya. Dulu waktu Anisah dihantar ke sekolah, pernah sekali kaki Anisah terpelecok masuk ke dalam lubang jamban. Sampai seminggu bengkak tak turun. Jadi Pak Akub serik. Tunggulah Pak Akub ada di rumah baru Anisah boleh gunakan tandas. Dan selalunya Pak Akub akan pulang ke rumah jauh lebih awal. Cuma pada hari itu dia perlu bekerja lembur. Encik Liew yang suruh. Azmi datang lambat. Tak ada siapa yang boleh ganti.

“Encik mahu cari bantal apa? Yang Encik pegang itu bagus. Mahal sikit, tapi ada kualiti. Dia guna getah sintetik. Berat. Tidur pun sedap.”

Pak Akub tersedar dari lamunan. Realiti kembali bertakhta. Dia memicit-micit sedikit kawasan tengah bantal itu. Empuk. Padat. Mampat. 

“Bolehlah. Satu aja.”

Bantal baru yang masih lagi dalam bungkusan plastik itu Pak Akub bawa pulang. Dia merentasi kolong blok tempat Anisah pernah bermain sewaktu anak sulungnya itu masih kecil. Anisah akan berlari ke sana sini. Khayal dalam dunianya yang tersendiri. Pak Akub tak peduli jika anak-anak kecil yang lain tidak mahu bermain dengan Anisah. Mungkin sebab rambut Anisah jarang-jarang.

Mungkin sebab mulut Anisah selalu menganga. Mungkin juga sebab terkadang Anisah lupa menelan liur. Pak Akub tidak peduli semua itu.

Yang penting, setiap kali Pak Akub memanggil nama anak kecil itu, Anisah akan membalas panggilannya dengan tawa kecil yang ikhlas, dan akan meluru ke arahnya. Comel. Anisahlah racun. Anisahlah penawar. 

Pak Akub melintas pula kawasan meletak kereta bersebelahan flatnya. Di situlah Anisah hampir-hampir dilanggar van mayat yang sedang mengundur masuk ke petak letak kereta. Anisah sedang khusyuk bermain. Sibuk menguis daun semalu yang ada di situ. Langsung tidak sedar bahawa van itu bakal berpenghunikan ibunya. Biarlah. Kecil lagi. Tak tahu apa-apa. 

Di depan pintu lif, perut Pak Akub semakin menjadi-jadi berdenyut. Pedihnya melampau-lampau. Bagai ditoreh segenap inci ruang hatinya. Bagai dicurah asid pada luka yang bernanah. Ibarat dicarik lading lalu diramas-pulas tanpa belas. Sakitnya bukan kepalang…

“Babah.. Babah.. Akit..”

“Anisah! Apa dah jadi?”

“Babah, akit..”

Pak Akub meluru ke arah anaknya yang lesu berdiri di depan pintu; tangan Anisah menggenggam jeriji besi agar tidak hilang imbangan. Mata Anisah bokop. Lebam. Rambutnya tak terurus. Darah kering yang berkerak melekat di tepi bibir. Bahagian punggung baju putih Anisah berlumuran darah. Seluar panjang dan seluar dalamnya dibiarkan saja melorot di pergelangan kaki. 

“Babah, akit..”

Jiwa Pak Akub menggelodak. Tergamak orang melakukan anaknya sebegitu. Apa salah Anisah? Apa? Hati Pak Akub remuk. Biarpun jirannya yang tinggal di tingkat sembilan itu sudah ditangkap, hati Pak Akub masih bengkak. Kesucian anaknya sudah dijarah. Kepedihan yang dirasakan itu jauh lebih dahsyat berbanding dengan bisa di perut yang ditanggungnya saban hari. 

Pak Akub berasa dirinya gagal. Gagal dalam hidup. Gagal memberi kehidupan yang baik kepada Anisah. Gagal menyediakan pendidikan yang sempurna untuk Anisah. Dan yang lebih penting lagi, gagal menjaga keselamatan Anisah sebagaimana yang diamanahkan oleh isterinya sebelum beliau berpulang.

Selepas musibah itu, Pak Akub menanam tekad. Masa depan Anisah perlu dijaga. Jika sebelum ini Pak Akub rasa dirinya gagal, dia bersumpah untuk memastikan yang tiada siapa yang akan mengganggu anaknya itu lagi. Sentuh secuit pun tak boleh. Cukup. Cukuplah sekali. Tiada siapa yang akan berdiri di antara dirinya dan Anisah selagi Pak Akub masih hidup. 

“Apa aku cakap, aku akan buat. Kalau tak, jangan panggil aku Pak Akub.” 

“Pak Akub. Pak Akub.”

Suara kecil itu menyentak Pak Akub. Realiti kembali menjengah.

“Dah tingkat enam.”

Pak Akub tersenyum lemah. Sambil tangan kiri menekap perut, Pak Akub menuju ke arah rumahnya. Daun pintu usang dibuka perlahan. Mata Pak Akub pantas mencari Anisah. Di satu sudut, Anisah sedang tidur di atas sebuah tilam lipat yang dibeli di pasar malam. Pak Akub melihat keadaan rumahnya. Kedaifannya menyerlah. Di sudut yang bertentangan, terdapat surat-surat yang telah dibaca yang berhamburan di lantai.

Pak Akub pergi mengutip surat-surat itu. Satu-persatu dibacanya sepintas lalu.

“Encik Akub, kami telah menilai borang permohonan dana yang Encik Akub telah hantar. Malangnya, ..

“Encik Akub, kami tidak dapat memberi sebarang bantuan kewangan kerana Encik Akub sudahpun mendapat subsidi daripada pejabat perumahan ...”

“Encik Akub, rekod kami ada menyatakan bahawa sudah tiga bulan Encik Akub tidak menjalani rawatan. Kami mohon agar Encik Akub pergi mendapatkan rawatan pada masa yang terdekat. Encik Akub juga perlu membayar bil yang tertunggak yang berjumlah …”

“Encik Akub, kami tidak boleh menerima pendaftaran anda untuk pelan insurans kami ... memandangkan rekod kami menunjukkan bahawa Encik Akub sedang menghidap salah satu penyakit daripada senarai penyakit kronik yang sedia ada (hepatocellular carcinoma – stage four). Juga, melihat pada usia Encik Akub, kami tidak dapat ...”

“Encik Akub, kami telah menerima aduan bahawa Encik Akub sedang menghadapi masalah menjaga Anisah. Pihak kementerian memandang serius tentang hal ini. Oleh yang sedemikian, pihak kami akan melawat rumah Encik Akub untuk membuat penilaian pada hujung bulan ini.

Sekiranya terbukti benar, kami telah diberi kuasa dan kebenaran untuk meletakkan Anisah di bawah jagaan keluarga angkat yang mampu menjaga Anisah dengan lebih sempurna. Oleh itu, kami akan …”

Surat-surat itu kemudian disusunnya dengan cermat di atas meja makan agar kelihatan bersih dan kemas. Pak Akub menoleh ke arah Anisah yang masih tidur. Entah apa yang dimimpikannya. Pak Akub melihat bantal baru yang ada di genggamannya. Sarung plastik bantal itu mula dikoyak perlahan. Bau bantal baru yang pertama kali membebaskan diri dari cengkaman plastik menyelinap masuk ke corong hidung. Bau kedai. 

Pak Akub melihat lagi ke arah anaknya. Soalan demi soalan hadir bertalu-talu mengetuk kotak fikir. Pak Akub merasakan dirinya menerawang merentasi angkasa raya ke sepelusuk ceruk untuk mencari jawapan. Bagaimana kelak? Siapa yang boleh? Apa yang akan terjadi? Namun segala macam jawapan seolah-olah merajuk menyembunyikan diri dan tidak mahu bersemuka.

Pak Akub melangkah ke arah Anisah. Dia tidak mahu Anisah terjaga. Pak Akub melihat roman anaknya yang sedang nyenyak tidur itu. Tenang.

Tenang setenang-tenangnya. Namun, dalam ketenangan itu, jantung Pak Akub mula berdegup pantas. 

Pak Akub terbayang akan wajah isterinya yang sayu tika kali pertama mendukung bayinya yang baru lahir itu. Akhirnya Anisah datang. Akhirnya lengkaplah keluarga Pak Akub. Akhirnya. Setelah sekian lama mencuba. Terlintas pula akan jari-jari kejam yang menuding ke arah Anisah.

Tergambar juga mata pilu Anisah mengharap ikhsan agar dihentikan segala tohmah kata nista yang menyiat hati. Anisah ingin hidup! Anisah berhak hidup! Jantung Pak Akub semakin rancak berdetak. 

Anisah masih asyik terlelap. Pak Akub mengambil bantal baru itu dan menutup bahagian muka Anisah. Lalu ditekapnya sekuat mungkin.

Anisah tersedar dan mula meronta. 

“Babah! Tolon Nisa!”

Tangan Anisah menggapai-gapai meminta agar dibebaskan dari cengkaman maut itu. Namun Pak Akub terlalu kuat. Kecekalan tekad mengatasi segala-galanya. 

“Babah! Tolon Nisa, Babah!”

Tangan-tangan yang tidak berdosa itu masih lagi menggapai angin. Pak Akub menutup matanya. Jantungnya berdegup pantas. Semakin Anisah cuba melepaskan dirinya, semakin kuat Pak Akub menekap bantal itu. Peluh yang muncul dari dahi menitis pilu menghempas bantal, berteman butiran air mata yang turut sama mengalir lalu jatuh ke petak basah itu. 

“Babah…. Ba..”

Dan bantal itu dibenam terus.

Sejenak kemudian, tiada lagi tangan-tangan yang menggapai. Tiada lagi kaki-kaki yang meronta. Tiada lagi suara serak mengemis ikhsan. Bantal itu diangkat perlahan. Raut wajah Anisah kelihatan aman. Aman dan bersinar. Ibarat bayi yang didodoi mimpi indah. Laksana nyenyak dibuai lena berteman pari-pari dari kayangan.

Pak Akub meraung sekuat hati. Dia bergerak ke ruang dapur; berjalan terhoyong-hayang tak tentu arah macam ular kena pukul. Di satu sudut, Pak Akub jatuh terjelepok. Air mata yang berjejeran tidak mampu memadam kemelut api yang sedang marak sebegitu galak di lubuk hatinya. 

Masa merangkak terlalu perlahan. Dan suasana sekeliling seperti memahami hiba yang menyelubungi hati Pak Akub. Tiada siulan burung yang mempelawa masuk hadirnya Sang Senja. Tiada angin semilir yang beralun membelai manja mengeringkan keringat di dahi. Tiada semua itu.

Segalanya menyepi. 

Tika azan Subuh sayup-sayup kedengaran dari masjid yang berdekatan, Pak Akub masih lagi terduduk di sudut dapur sambil menekap perutnya.

Bisa yang menyelinap di segenap urat sarafnya bakal memenuhi matlamatnya. Rodan yang semakin memuncak bakal terhenti. Azab bakal bertemu titik noktah.

Dan pada detik itu, hati kecil Pak Akub berbisik, “Ya Rabb Azza Wa Jalla, ambillah aku. Aku sudah bersedia.”

oooOOOooo

“Kasihan…”

“Apa jadi?”

“Kau baca ni.”

Dua mayat ditemui di dalam flat

Para pegawai sosial yang mengunjungi sebuah rumah sewa pagi semalam berasa curiga apabila mendapati bau busuk yang keluar dari rumah itu.

Pihak polis yang berjaya membuka pintu masuk rumah itu terjumpa dua mayat yang sudah mula reput. Jiran-jiran yang ditemui …

 

Pilih cerpen terbaik 'Mencari Kristal'!
Undi!

Waktu Solat

Subuh
5:54
Syuruk
7:15
Zuhur
1:18
Asar
4:41
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
3 HR PSI: 18
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,011.080 +2.860