Mencari Kristal - Karya 1/8

Bulan Jingga

Pilih cerpen terbaik 'Mencari Kristal'!
Undi!

Oleh Mohammad Farihan Bahron

NAFAS awak tercungap-cungap, dada awak turun-naik kencang bagai dipacu kuasa kuda liar. Sel-sel otak gigih menghantar isyarat supaya kelenjar merembeskan adrenalin and epinefrin, menelusuri urat-terowong, menyebabkan jantung awak terkembang, terkempis, terkuncup. Tempo detik karotid gugup berdegap-degup. Awak digelombangi arus takikardia. Awak lencun dalam kuyup.

Kaki-kaki awak masih berlari. Pantas memintas lorong-lorong tengik. Melompat, meloncat, mengelak lopak-lubang lumpur dan lumut. Sekali-sekala anak mata mengerling ke belakang. Masihkah mereka mengejarku, awak bertanya sendirian. Butir-butir keringat hanyir membanjiri dahi. Awak berhenti sejenak untuk mengesat peluh dengan belakang tapak tangan. Pekat dan melekit. Celaka! Darah rupanya. Mungkin kesan hentakan daripada botol bir tadi.  

Awak pun keluarkan tuala muka berwarna putih daripada beg kamera. Awak tekapkan tekanan ke atas benjolan di kepala. Kemudian awak melilau cari sudut selindung di sebalik timbunan sampah, cuba redakan nafas yang masih berombak-ombak.
Dalam saat genting ini, fikiran awak melayang sebulan lepas. Waktu di ibu pejabat Utusan Selat. Awak beriya-iya sangat. Kononnya mahu jadi adiwira. Awak masih ingat lagi panahan kata-kata Tuan Ketua Editor.

"Jingga, aku mahu kau terbang ke Kota Mutiara Timur esok. Rakamkan gambar-gambar jalanan. Aku mahu siarkan berita exposisi - 'Perang Dengan Dadah, Siapa Jadi Mangsa'."

Awak langsung teruja. Inilah peluang awak rebut takhta - jurufoto kelas dunia. Awak idamkan pingat Pulitzer. Anugerah National Geographic, awak yang empunya. Awak dambakan nama Jingga disebut-sebut dan diseru-seru satu hari kelak.  

Namun, sekarang awak kesal. Sangkaan awak jauh disangkal. Awak fikir, awak kebal. Biarpun dalam sedar awak dikerahkan ke medan pertempuran. Dengan hanya bersenjatakan kamera Nikon D800E, tiga keping kad memori dan dua bateri simpanan, awak terus meluru ke barisan depan, menghadapi puak kanan dan puak kiri, berperisaikan diplomatic immunity. 

Segala-galanya berubah tatkala awak memetik gambar si Bulan. Wanita muda yang sedang melutut, meraung, meratapi kehilangan sang suami setelah ditembak mati oleh Skuad Harimau Anti-Narkotik. Deraian air mata Bulan membasahi tubuh yang terkujur kaku di dalam dakapan. Bulan mengusung duka, merawat hiba. 

Dari celahan jendela di aras atas, seperti sniper awak mengintai. Kemudian awak membingkai. Latar depan dan latar belakang dikarang. Awak memutar lensa, menyasar Bulan selaku potret utama, mematuhi aturan sepertiga. Awak tunggu bayangan mentari berlalu, awak periksa apertur, awak semak kelajuan pengatup. Semuanya selari. Inilah masa emas. Lalu, awak mengacu...

Klik! 
Klik! 
Klik! 

Awak tidak bersalah. Awak hanya bekukan sejarah. Awak cuma merakam emosi. Citra si mangsa dalam peperangan, manusia menentang dadah. Awak menembak tetapi tidak menarik picu senapang. Bukannya awak yang digelar Malak al Mawt.

Kerana inilah tuntutan media arus perdana. Inilah kehendak pembaca, inilah nafsu dunia pertama yang ketagihkan paparan berita dari dunia ketiga. Mereka mahu lihat kehancuran, mereka mahu saksikan kemusnahan. Pura-pura mereka kasihan. Api komentar meluap-luap dipantulkan daripada cahaya layar komputer, di dalam ruang berhawa dingin. Sibuk mengecam. Sibuk menghakim dan menghukum. Sibuk menuding jari telunjuk ke arah komplot konspirasi. Usah gusar, seminit kemudian mereka akan kembali ke petala lumba masing-masing.

Esoknya, foto petikan awak jadi hangat. Kemudian membara. Suhunya menggelegak ibarat lahar belerang percikan gunung merapi Pinatubo. Karya awak terpampang di dada akhbar, mengiringi ulasan penulis, kemudian dikongsi di ruangan sosial dan media cetak. Awak jadi bangga. Inilah hasil air tangan awak. 

Ketua Editor juga terkinja-kinja gembira. "Bagus Jingga! Aku mahukan lebih gambar sebegini. Kau jangan berani pulang dahulu. Aku masih perlukan kau di sana."

Awak kian sedar. Gambar itu pencetus kesedaran penghuni dunia. Dari timur ke barat, dari utara ke selatan. Dunia dikerat dua. Separuh menuntut keadilan hak asasi manusia, separuh lagi kata, "Haah, padan muka!".

Yang jadi mengkal, marah berpipi merah, melaungkan cogan kata, "Hormati semua nyawa! Walau penjenayah dadah, mereka berhak diadili dengan tuntutan mahkamah!".

Manakala, separuh lagi pertikaikan hujah. "Mereka bangkai bernyawa, tidak perlu bazirkan udara bersih untuk mereka."

Tuan Rodi, Gabenor Kota Mutiara Timur turut lancang pertahankan tindak-tanduknya, "Ah persetan kamu semua! Jangan cuba campuri urusan kami. Ini kota kami, kami berhak lakukan yang terbaik untuk anak-anak generasi muda."

Awak mengimbas lembaran sejarah dari kurun yang lampau. Awak tahu dadah pernah jadi punca pertikaian. Semasa tahun 1839, Maharaja Daoguang berjaya merampas 20,000 peti candu daripada pedagang Inggeris dan kemudian memusnahkan kesemuanya di pesisiran pantai dekat Guangzhou. Inggeris jadi marah kerana kehilangan aset bernilai 2.66 juta pound. Lalu membalas dengan menenggelami jong-jong Cina dengan kapal api mereka, Nemesis. Situlah titikmula Perang Candu Pertama. 

Sepertimana tingkah Maharaja Daoguang mahu memelihara rakyatnya daripada dibuai keasyikan masyuk, Gabenor Rodi juga mahu selamatkan kota tumpah darahnya daripada dianai-anaikan gejala syabu, ganja dan heroin. 

Awak akur dengan strategi Tuan Rodi. Awak sokong caranya. Lalu awak rancakkan lagi petikan gambar di sekitar sarang-sarang penagih. Foto-foto itu kemudian diserahkan kepada Komander Skuad Harimau. Mudahlah bagi mereka merisik dan mengenalpasti dalang-dalang yang bermaharajalela. Akibatnya, angka mayat-mayat di tepi jalanan semakin bertindih. Awak tetap yakin diri awak berpihak kepada puak yang saksama.

Malangnya, awak kini sudah terdedah. Ketua, kemudi dan kapitan geng-geng narkoba juga dalam sulit memantau pergerakan awak. Mereka memerincikan tabiat awak. Mereka menuntut tengkorak awak, sehinggakan mereka sanggup hadiahkan ganjaran $10,000 dolar Amerika kepada sesiapa sahaja yang tangkas mengelar leher awak.

Hari ini, awak masih sembunyi di sebalik timbunan sampah-sarap. Kepala awak luka dek dirembat dengan botol bir dan kemudian dihambat dengan kuncu-kuncu berlembingkan parang dan paip besi karat. 

Tuala putih sudah pun berubah merah. Awak banyak kehilangan darah. Pandangan awak berpusar. Suara-suara gerombolan perusuh yang menjerit, "Mana Jingga! Mana Jingga!" dengan deruman gendang bertalu-talu hampir beransur pudar. Mereka sudah jauh agaknya. 

Namun, awak tidak boleh berkubang di sini selamanya. Awak tidak mampu menongkah arus pulang ke hotel. Mereka sudah kepung sekitaran tempat tidur awak. Nak ke hospital, berbatu lagi. Awak catur langkah seterusnya. Mahu sahaja dipanggil penyelamat Harimau. Awak cuba berdiri, namun daya kurang teguh. Vertigo. Awak pitam, terus rebah dan hilang sedar. 

Mata awak perlahan-lahan dicelikkan. Awak kurang sedar perjalanan masa. Entah sudah sehari dua, entah seminggu lebih agaknya. Kepala awak berbalut. Baju awak digantikan dengan pakaian bersih dan kering. Awak cuba bangkit dari tempat baring. 

"Usah bangun dulu, cedera belum sembuh," tiba-tiba suara seorang wanita bergema dari ruang sebelah. Wanita itu kemudian masuk kamar membawa segelas air dan semangkuk bubur. "Makan," arahnya ringkas.

"Mana kameraku?" Awak tiba-tiba teringat senjata awak, perisai yang kurang gunanya lagi. 

"Kamera kau selamat di ujung sinun. Tiada yang pecah. Atau retak pun." Wanita itu menenangkan debarannya. 

Awak menatapi raut wajah wanita itu. Awak kenal sungguh dengan rupa itu. Paras yang sudah menjadi ikon Perang Dadah Kota Mutiara Timur. 

"Err... ini... Bulan, bukan?"

"Ya, akulah Bulan. Aku juga tahu siapa dirimu. Jingga. Tapi ada orang yang gelarkan kau, Bangsat." 

Awak terkejut kerana dilabel Bangsat. Selama ini, awak ingat awaklah adiwira, penyelamat anak-anak muda. Awak meneguk sedikit air membasahi kekalutan di saluran tekak.

"Kenapa kau selamatkan aku, Bulan?"

"Aku tak sampai hati. Lagipun aku punyai kewajipan sebagai missy. Aku lihat kepalamu koyak. Lalu kujahit dan kububuh antiseptik. Aku mahu hantar ke hospital, tapi ramai ahli geng berkeliaran di situ. Jadi aku dan kawan-kawan lain heretmu pulang ke rumahku."

"Oh, engkau jururawat, rupanya."

"Iya, dan juga suamiku bukan penagih. Dia pemandu trak, syarikat farmaseutikal. Kerjanya mengedar ubat. Bukan mengedar dadah. Mungkin salah informasi, mungkin sebab dengki, suamiku jadi suspek lalu ditembak mati. Persis anjingan liar."

Awak kesan kesugulan di sebalik suara lembut si Bulan. Awak merenung mukanya. Bulat bagaikan purnama. Aura melankolia masih terpancar di kelopak mata. 

"Maafkan aku. Atas pemergian suamimu."

"Tak perlu kemaafan. Bukan kau yang menarik picu." 

Awak diam dan mengangguk. Menghirup sedikit lagi air. 

"Tapi kau harus berjanji, Jingga, ceritakan perkara yang sebenar. Itulah sebab utama aku selamatkan kau daripada dibaham samseng dadah." 

"Baik, aku janji."

Awak menatang mangkuk bubur tadi dan melahap laju dek kelaparan. 

Sudah lima hari awak berteduh di bawah bumbung Bulan. Biarpun pangsanya kecil dan sederhana, namun jelas nyaman dan selesa. Bulan biarkan awak memakai baju-baju suaminya. Tidak lari ukurannya. Awak pun mengacah-acah senda, cuba sinari hatinya yang lara.

Sedikit demi sedikit, cedera awak semakin sembuh. Bulan menjaga luka jahitan dengan kemas. Tiap hari, dibersihkan, kemudian dibalut semula.

Bulan juga menyimpan sisa-baki ubat. Awak digesa makan antibiotik agar elakkan jangkitan berpanjangan. 

"Bulan, mari ikutku pulang ke Pulau Bintang Lima. Biar aku pula yang menjagamu. Di sana aku punyai tempat untuk kita berdua. Tinggalkan sahaja gundah-gulana di sini," awak mula menanam bibit-bibit kasih dengan Bulan. 

Bulan tersipu. "Boleh, tapi tunggu sehari dua, aku tarik keluar jahitanmu. Lagipun samseng dadah masih berlingkaran di bawah. Inikan sarang penagih. Belum selamat bagimu."

Awak girang lamaran awak diterima. Awak bayangkan cara melolosi benteng-benteng di bawah nanti. Awak akan dapatkan bantuan dari pejabat berita dan Skuad Harimau nanti. 

Esoknya, awak berkemas ringkas sementara menantikan Bulan pulang dari kedai. Kemudian awak buat panggilan jarak jauh.

"Hello, Tuan Editor? Tolong belikan dua tiket penerbangan pulang petang ini? Saya harus keluar segera... nyawa saya diancam bahaya... ya... saya akan kembali dengan seorang teman... namanya Bulan." 

Beres.

Tiba-tiba, awak terdengar rentetan das tembakan di bawah. Bunyi senapang automatik. Ada suara-suara yang berteriak. "Lari! Lari!" 

Awak bercelaru. Mana fikirkan Bulan belum pulang. Mana fikirkan jalan keluar ke lapangan terbang nanti. 

"Jingga, sembunyi! Sembunyi!" Bulan akhirnya muncul di muka pintu. Pucat-lesi. "Cepat sembunyi! Skuad Harimau dengan geng dadah bertempur di bawah!" Bulan juga tampak cemas. 

Sebelum sempat awak dan Bulan mencari kubu pelindung, ledakan roket berpandu tiba-tiba menggegarkan bangunan pangsa itu. 

Booooom!

Habis berkecai tembok-tembok batu. Langsung berterbangan serpihan puing-puing menjadi peluru hidup menerobosi dinding tubuh, memecahkan kulit dan mengalirkan darah penghuni-penghuni di dalam bangunan sarang penagih itu. 

Selang beberapa jam kemudian, sekumpulan penyiasat sibuk merakam dan memeriksa aksi kemusnahan. Operasi Terjah Sarang - sukses. Lepas satu-satu sarang penagih kelak dihancurkan. 

Klik! 
Klik! 
Klik!

Dan senja itu, saat matahari hampir berlabuh sauh, menyambut kehadiran sang purnama, gambar dua tubuh terkujur kaku dirakam dalam dakapan masing-masing. Jingga, awak dan Bulan akhirnya bertemu, sayangnya, tidak mungkin bersatu

 

Pilih cerpen terbaik 'Mencari Kristal'!
Undi!

Waktu Solat

Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:08
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
3 HR PSI: 78
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.