Dalam tiada, kau ada
dekat tidak terasa
jarak tidak terangka
khuatirku nyah sekelip mata
lalu kesendirianku tidak lagi bertakhta
Kau ada
dalam setiap duka dan lara
setiap gurisan dan hirisan rasa
setiap helaan dan hembusan nafas
Kau pujuk hati yang cemas
Kau rayu jantung gelora
Kau belai jeritan jiwa
Dalam ghaib
Kau wujud
dalam kalbu
dalam minda
dalam gulita
dalam kerdipan bintang kejora
Dalam kesendirianku
Kau ada
RATINAH