Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Ibu

Jan 14, 2014 | 01:19 PM



MOHD Khair sedang membelekbelek buku Dahsyatnya Doa Ibu apabila Ustaz Maarof menghampirinya. Ustaz Maarof senang dengan kehadiran Mohd Khair, walaupun kehadirannya di masjid yang berkubah biri itu hanya pada hari Ahad. Itu pun sekiranya Mohd Khair tiada jemputan kahwin. Beliau perhatikan Mohd Khair selalu membaca buku yang sama, buku yang diletakkan di rak-rak buku masjid. Sebelum pulang, Mohd Khair akan meletakkan buku itu baik-baik pada tempat asalnya.


Melihat Ustaz Maarof menghampirinya, Mohd Khair bangun lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Pembacaannya terhenti. Tangannya disambut erat Ustaz Maarof. Ustaz Maarof mengajaknya duduk di anak tangga di hadapan dewan solat masjid itu. Mohd Khair mengikutinya dengan buku dalam genggaman.


Setelah duduk, Ustaz Maarof memulakan bicara. "Awak pasti tiada jemputan hari ini, betul?"


"Betul, ustaz. Semalam, ada. Banyak orang buat jemputan kahwin hari Sabtu sekarang. Semalam saya ke majlis perkahwinan anak perempuan Cikgu Supki di Lagun Sari. Ustaz pasti kenal beliau. Cikgu Supki tidak jemput ustaz?"


"Kenal, mungkin dia terlupa."


Beberapa jemaah lelaki berjalan di hadapan mereka, menuju tempat wuduk yang cantik, setelah diubah elok dengan belanja yang agak besar.


Waktu zuhur masih ada. Ustaz Maarof tidak lagi dalam pakaian jubahnya. Zuhur tadi beliau memimpin solat berjemaah. Bilal Mohd Nor sudah tidak kelihatan, mungkin sudah pulang ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari masjid itu.


"Ustaz, ada sesuatu yang ingin saya tanya ustaz."


"Silakan, saya lihat ada tanda-tanda kemurungan pada wajah Khair. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?"


"Tentang... tentang hubungan saya dengan ibu saya, ustaz."


Ustaz Maarof mengenali Mohd Khair sejak lapan tahun lalu. Sebelum berpindah ke Pasir Ris, Mohd Khair tinggal di Tampines. Walaupun dahulu dia tinggal di Tampines, dia bersolat tarawih di Masjid Al-Istighfar, di Pasir Ris.


Dengar cerita, dia lebih mudah ke masjid di Pasir Ris itu dengan menaiki bas nombor 3 dari rumahnya di Tampines. Sekali-sekala, pada hujung minggu, dia datang ke masjid dalam bulan Ramadan, membantu menyediakan hidangan bubur dan sajian berbuka puasa.


"Bila kali terakhir awak menghubungi ibu awak?" tanya Ustaz Maarof, membetulkan letak duduk songkok hitamnya.


Khair tunduk malu. Dia diam sejenak sebelum membalas. "Kira-kira tiga bulan yang lalu, ustaz."


"Lama sungguh itu. Kalau awak tidak rindu kepada ibu awak, saya yakin ibu awak rindukan awak," sambung Ustaz Maarof, sambil menggeleng-geleng kepalanya.


Ibu Ustaz Maarof kembali kepada Tuhannya kira-kira dua tahun yang lalu.


"Mungkin, ustaz..."


"... jadi, mengapa awak tidak menghubungi ibu awak? Apakah ada sesuatu yang berlaku?"


"Ada sedikit perselisihan faham, ustaz."


"Dengan ibu awak? Dia ibu awak, orang yang melahir dan membesarkan awak. Seperti seni kata lagu Sudirman, tanpa ayah dan ibu kita tidak boleh melihat bulan dan matahari."


"Kata Khalil Gibran pula, kita bukan datang daripada ibu kita, tetapi melalui ibu kita."


"Itu benar, ibu kita sebagai perantaraan. Kita semua datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya. Ini pula tidak bermakna kita tidak harus menghormati ibu kita, apatah lagi mengabaikan mereka. Kita jangan sekali-kali lupakan tanggungjawab kita kepada ibu bapa kita, walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak."


Seorang lelaki berkopiah putih berjalan ke arah di mereka.


"Assalamualaikum."


"Waalaikum salam."


"Fadzil!"


"Ya, ustaz."


Fadzil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Ustaz Maarof dan Mohd Khair. Salamnya disambut mesra.


"Fadzil, ibu awak tidak tinggal bersama awak bukan?"


"Benar ustaz. Ibu saya tinggal bersama kakak saya di Telok Blangah."


"Dan, awak selalu sibuk dengan kerja awak, betul?"


"Benar, ustaz. Ada masanya saya bertugas di Jakarta. Cari makan, ikut perintah bos."


"Sesibuk-sibuk awak, berapa kali awak telefon ibu awak dalam sehari?"


"Tiga kali, ustaz, pagi, tengah hari dan sebelum tidur."


"Awak dengar itu, Khair. Tiga kali Fadzil telefon ibunya setiap hari. Awak pula sudah tiga bulan tidak menghubungi ibu awak!"


Fadzil mendengar teguran Ustaz Maarof kepada orang yang dilihatnya hampir setiap hari Ahad itu.


Sekali lagi Mohd Khair tunduk malu. Suasana di dewan solat itu agak lengang. Solat berjemaah zuhur sudah lama berakhir. Mohd Khair, berbaju Melayu dan berkain samarinda, tinggal berdekatan Masjid Al-Istighfar.


"Kenapa sampai tiga kali awak telefon ibu awak, Fadzil."


"Saya telefon tidak lama, ustaz. Kadang-kadang cakap tidak sampai lima minit sahaja, cukup sekadar bertanya. 'Mama sudah makan?' 'Semua okey?' Saya... saya dapat merasakan hangatnya kasih ibu dan rindunya dia pada saya daripada suara yang saya dengar di corong telefon.


"Khair, dari jauh tadi saya lihat awak berbual dengan ustaz. Khair tahu kenapa saya telefon ibu saya setiap hari? Sebab saya tidak tahu sampai bila saya boleh mendengar suaranya. Mungkin esok ibu saya akan pergi menemui Allah, atau mungkin esok ajal saya yang tiba. Saya kira, jika itu terjadi, saya tidak akan terkilan kerana dapat mendengar suara ibu dan menyatakan yang saya sayang padanya setiap hari."


Ustaz Maarof mengalih pandangan, daripada melihat wajah Fadzil memandang pula muka Khair, lalu berkata: "Awak dengar itu, Khair. Malang bagi orang yang sempat bersama dengan ibu bapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkannya ke dalam syurga."


"Ustaz, saya solat dulu. Saya belum zuhur. Minta diri," kata Fadzil.


"Baik."


"Tiga kali dia telefon ibunya setiap hari, ustaz?"


"Apa, awak rasa pelik? Saya kenal baik Fadzil, memang dia sayang benar ibunya. Apabila ibunya memilih untuk tinggal bersama kakaknya di Telok Blangah, dia reda. Dia sanggup berpisah, tetapi bukankah Singapura ini kecil, little red dot. Kalau dia tidak ke Telok Blangah, dia akan telefon ibunya, bukan sekali, tetapi tiga kali sehari. Saya tahu dia berbuat demikian. Awak tahu kenapa saya suruh dia ceritakan tentang ibunya tadi?"


"Saya maklum, ustaz. Ustaz mahu saya jadikan cerita Fadzil teladan bagi diri saya."


"Benar. Setiap kali awak ke sini, buku yang sama saya lihat awak baca."


"Ustaz perasan?"


"Ya, saya perhatikan. Khair, doa ibu setanding dengan doa nabi untuk umatnya. Ia membawa kemuliaan, dapat menolak fitnah, membuka pintu rezeki, dan pintu hidayah sepanjang zaman. Keredaan Allah bergantung pada keredaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan kedua orang tua."


"Terima kasih atas peringatan ustaz."


"Saya sekadar menyampaikan. Itulah yang dituntut oleh Allah kepada setiap hamba-Nya, menyampaikan teguran dan pesanan, agar kita kenal akan diri kita. Khair mempunyai tiga orang anak, bagaimana sekiranya anak-anak Khair mengabaikan Khair apabila Khair tua nanti? Saya tahu Khair tidak mengabaikan talian dengan Allah. Janganlah talian dengan ibu sendiri Khair lupa."


"Talian dengan Allah, ustaz?"


"Ya, nombor telefon Allah."


"Nombor telefon Allah?"


"24434."


"24434? Saya tidak faham, ustaz."


"Itukan jumlah rakaat solat yang kita dirikan, solat fardu. Dalam Khair berhubungan dengan Allah, berhubung jugalah dengan ibu Khair. Ingatlah, anakanak yang memuliakan dan menyantuni ibu bapa dengan penuh hormat dan kasih sayang mendapat ganjaran melimpah ruah di akhirat dan bekerkatan hidup di dunia."



BIODATA PENULIS


Ridhwan Anuar adalah nama pena Anuar Othman. Beliau lahir di Pulau Brani. Anuar menghasilkan sajak, cerpen, novel, skrip televisyen dan radio, esei sastera, ulasan buku dan lirik lagu.


Beliau telah memenangi beberapa sayembara penulisan setempat, termasuk Pena Emas. Setakat ini beliau telah menghasilkan sekitar 140 cerpen dan 60 sajak. Buku ke-13 beliau, Mencari Hidayah, diterbitkan tahun ni.


Beliau meraih Sarjana Muda Bahasa dan Sastera (BAML) daripada Universiti SIM pada 2013. Anuar mengajar penulisan kreatif di sekolah-sekolah di Singapura menerusi syarikatnya, Akademi Anuar Othman.


 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >