Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Lukisan

May 07, 2017 | 12:00 AM



"IBU! Ibu!" anak comel berteriak kegirangan apabila melihat ibunya di depan pintu. Kegirangannya seperti menyambut seseorang yang lama tidak balik ke rumah. Padahal, hanya 8 jam si ibu keluar bekerja. Belum sempat Anis melangkah masuk, tangannya ditarik oleh anak comelnya yang berusia empat tahun.



"Ibu totop mate. Ade Shepais!" Ghairah sungguh Nuha menyuruh ibunya menutup mata. Rambut ikalnya yang ditocang dua berjoget-joget di udara ketika Nuha terlompat-lompat tidak sabar. Hari itu Anis sungguh letih. Mekap yang digunakan pagi tadi semakin pudar tidak dihiraukannya. Di pejabat tadi, Anis sibuk dengan audit dan mesyuarat. Walaupun penat bekerja belum hilang, Anis masih mampu tersenyum dan melayan kerenah Nuha. Dia tidak mahu kepenatannya menjadi satu hambatan untuk dia tidak melayan anaknya.



Anis duduk bersila di lantai rumahnya sambil matanya ditutup. Ditunggunya "shepais" daripada anaknya dengan sabar. Satu peluang buat Anis untuk merehatkan matanya. Walaupun sesaat. Mata tertutup tetapi fikirannya jauh melayang memikirkan apa yang mahu dimasak untuk makan malam nanti.



Dari deria pendengarannya, Anis dapat mendengar tapak kaki Nuha berlari ke dalam bilik. Selang beberapa saat. Terdengar Nuha berteriak dari dalam bilik. "Ibu totop mate! Jangan butak mate otey" sejurus selepas itu, kedengaran tapak kakinya bergegas keluar.



"Ibu count campai lime" Anis membuka matanya sedikit tanpa Nuha menyedari. Terlihat kedua tangan Nuha disembunyikan ke belakang. Anis terlihat ada kertas besar berwarna putih digulung. Anis ikutkan sahaja arahan Nuha. Matanya ditutup semula.



"satu… dua… ehem ehem…" Anis cuba bergurau.



"Ibu!!! Kira betol-betol!" kali ini Nuha berdengus. Kuat. Nak tergelak Anis. Dalam keadaan mata masih terkatup, dia dapat membayangkan keadaan Nuha jika dia sedang marah. Sudah tentu dia akan membeliakkan matanya yang tak seberapa bulat, kening diangkat dan bercekak pinggang.



"Ok… ok Ibu kira betul-betul. Satu… dua… tiga… empat… lima!"



"Wah! Ibu pandai! Good job Ibu!"



Pujian ikhlas daripada si kecil membuat Anis tersentuh. Anak sekecil Nuha pandai memberi kata perangsang dan memuji. Terdetik dalam hati dengan pelbagai persoalan. Kenapa orang dewasa sukar memberi pujian pada kebaikan? Apakah mulut dan hati dicantas daripada mengatakan hal yang menyenangkan? Seribu kebaikan dilenyapkan dengan satu kesilapan. Anis teringat peristiwa di tempat kerja siang hari tadi. Selepas mesyuarat rutin setiap pagi, Anis dipanggil ke bilik pejabat ketuanya. Ketuanya meluahkan rasa kurang senang dengan prestasi Anis. Menurutnya Anis tidak menonjol sebagai ketua kanan di syarikat yang terkemuka.



"Saya tahu awak cekap, jarang ambil cuti sakit tapi awak tidak seperti dulu Anis." Puan Maria memandang tepat ke Anis.



"Maksud Puan?"



"Sebelum awak berkahwin, awak seorang yang vokal, berani mengutarakan pendapat pada pihak pengurusan sehinggakan kerja awak diiktiraf dan dinaikkan pangkat. Saya perhatikan sejak awak berkahwin dan bersalin, sikap awak berubah. Memang saya tidak ada masalah dengan disiplin awak di tempat kerja tetapi awak lebih berdiam diri. Ingat! Awak tu ketua di sini. Saya tidak mahu membuat perbandingan tetapi awak tidak proaktif seperti dahulu. Tepat pukul 5.30 petang awak sudah tiada di pejabat sedangkan pekerja lain masih belum berganjak. Awak ada masalah ke?"Anis menggeleng.



"Atau awak ada ura-ura untuk berhenti kerja?"



Anis hanya mampu tersenyum. Soalan tidak masuk akal. Bukankah waktu bekerja tamat pada pukul 5.30 petang? Bukankah dia berhak untuk pulang? Bukankah segala tugasan sudah habis dilaksanakan? Apa mahunya? Sekadar lebih berdiam diri dianggap tidak proaktif? Balik tepat pada waktunya dijadikan alasan mengatakan yang Anis tidak mampu menyandang jawatan yang diraihnya. Memang sejak akhir-akhir ini Anis banyak berdiam. Bukan kerana malas atau tidak proaktif tetapi Anis berpendapat diam lebih baik dan hanya berkata apabila perlu. Lagipun Anis tidak suka menceritakan hal peribadinya kepada sesiapa.



"Kalau aku bilang masalah aku, kau nak tolong ke Maria?" Hati Anis berbisik.



Sudah menjadi rutin harian Anis, selepas tamat waktu berkerja, Anis perlu bergegas menjemput anak-anaknya di pusat tajaka. Sesampai di rumah, tanpa berehat Anis akan ke dapur menyediakan makan malam. Selepas solat maghrib, Anis akan menyemak buku kerja anak-anaknya dan memperuntukkan setengah jam setiap hari bergurau dan bermesra bersama anaknya sebelum disuruh tidur. Tambahan pula, anak bongsu Anis yang baru berusia sembilan bulan masih menyusu badan secara eksklusif. Anis juga perlu menyediakan susu badan yang sudah diperah bagi keperluan anaknya keesokan hari. Ketika anak-anaknya sudah tidur, Anis akan membaca e-mel kerjanya dan ada kalanya dia akan menelefon pembekal yang berpangkalan di luar negara bagi memastikan barangan yang ditempah sampai tepat waktunya.



"Saya mahu lebih daripada apa yang awak telah berikan selama ini. I want you to prove your worth. Saya mahu awak ambil alih tugasan David. Awak tahukan apa yang akan terjadi terhadap David?" Puan Maria menyandarkan bahunya di kerusi empuk sambil menatap tepat ke arah Anis. Tatapan itu seolah-olah menyuruh Anis mengangguk. Sebagai ketua, sememangnya Anis tahu bahawa nama David dalam senarai orang yang akan dibuang kerja. Sebagai ibu tunggal, tanggungjawab yang dipikul amat berat. Segalanya harus diuruskan sendiri. Soal bil, yuran sekolah, pembelanjaan dan pengurusan rumah semuanya terletak di bahunya. Kalau anaknya jatuh sakit, Anis harus mengambil cuti kerja. Hampir kesemua cuti tahunan yang diambilnya digunakan bagi keperluan anaknya. Anis akur bahawa dia perlu kuat dari segi fizikal dan mental. Walaupun letih Anis yakin pelangi indah akan muncul selepas hujan.



"Tahun ini adalah tahun yang mencabar. Saya mahu semua bekerja lebih gigih daripada tahun lalu. Bereskan kerja kamu dan seandainya tidak dapat diselesaikan, kamu semua perlu hadir pada hujung minggu. Anis, awak tidak terkecuali." Arah Puan Maria.



"Tapi Puan Maria, saya tidak boleh datang setiap hujung minggu. Tiada siapa yang menjaga anak saya." Ani cuba menerangkan.



"Anis, it is time for you to plan your life. You are leader here. Please set a good example." Puan Maria menarik kerusi empuknya ke hadapan.



"Anis, saya lihat semenjak awak ada anak, fokus awak entah ke mana. Saya tahu memang sukar menjadi ibu tunggal, tapi awak juga perlu fikirkan periuk nasi awak. Awak tidak mahu cari pengganti ke?"



"Cari pengganti? Kau fikir cari pasangan hidup ni macam cari ikan di pasar? Ikan pun dipilih. Mana yang baik dan elok sahaja yang dibeli." Hati Anis berbisik lagi. Dia hanya mampu melawan dalam diam.



Usulan sedemikian sememangnya bukan yang pertama. Banyak pihak yang lain mengusulkan Anis mencari pengganti pasangan hidup. Mereka kata, pandangkan anak yang masih kecil. Kebanyakan mereka berpendapat bahawa sukar bagi Anis sebagai ibu tunggal menerajui, menjaga dan mendidik anak-anaknya sendiri. Lebih-lebih lagi Anis seorang yang berkerjaya. Tidak mungkin mampu membawa peranan sebagai ketua keluarga dan ketua di pejabat pada masa yang sama.



"Cik bukannya apa, bukan senang nak jadi ibu tunggal ni. Banyak yang mengata, banyak yang pandang serong. Anis pun masih muda. Ada kerjaya. Tak ada keinginan mencari pengganti? Ada sampan hendak berenang. Kan senang kalau bersuami. Janganlah menyusahkan diri." Anis tidak menyangka soalan cepu emas itu terpantul daripada mulut seorang mak cik yang bekerja sebagai pembersih. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Anis mengangkat kaki tetapi dia sedar mulut tempayan boleh ditutup tidak pula mulut orang.



Lagipun, ada benarnya kata mak cik itu tadi. Ramai yang memandang serong pada mereka yang bergelar "Janda". Dalam setandan pisang, mana mungkin busuk semuanya. Gara-gara nila setitik rosak susu sebelanga. Anis yakin bahawa dia mampu berdikari dan menyara hidup anak-anaknya walaupun kehidupannya penuh dengan cabaran dan dugaan. Tambahan pula, Anis sudah biasa walupun masih bergelar isteri suatu ketika dahulu. Segala hal ehwal dan perbelanjaan rumah tangga ditanggungnya. Anis berasa hidup bersendirian lebih baik daripada berdua. Anis takut pisang berbuah dua kali.



"Ibu! Ibu! Buke mate!" Anis tersedar daripada lamunannya tadi setelah bahunya digoncang kuat oleh Nuha. Anis membuka mata. "Shepais" yang dikatakan terpampang di depan mata. Apa yang ada di depan mata Anis adalah sebuah lukisan. Hasil lukisan ciptaan Nuha. Gambar seorang perempuan seolah-olah sedang berfikir dan seperti mempunyai kepak berwarna ungu. Gambar tersebut berlatarbelakangkan suasana alam; ada rumput menghijau, bunga, matahari dan burung-burung yang berterbangan. Apabila ditanya apakah yang dimaksud Nuha dengan lukisannya itu, dengan petah pelatnya dia menerangkan apa yang dilukisnya.



"Ini Ibu! Ibu balik kerje fikir nak mashak apeh." Anis tergelak kecil. Memang Nampak jelas lukisan Nuha menggambarkan si ibu sedang berfikir.



"Eh… eh… Kenapa Ibu macam berkepak? Ibu boleh terbang?" Cungkil Anis.



Nuha mengangguk. "Ibu jadi shuperhero! Ibu cari duwet, Ibu pandai mashak, Ibu pandai buat pancake dan Ibu pandai buat Nuha happy." Jelas terlihat senyuman ikhlas terukir di muka anak kecil itu. Nuha menyendengkan badannya dan mula berpaut pada leher Anis.



Anis tersentap dengan kejujuran Nuha. Sedang orang sekeliling mempertikaikan kewibawaan Anis, Nuha si anak kecil tetap menganggap Anislah Ibu yang terhebat di matanya. Anis semakin yakin, walaupun berjuta rintangan di hadapannya, Anis perlu kuat demi anak-anaknya. Kehidupan harus diteruskan bak kata pepatah kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang.




BIODATA PENULIS



Tuty Alawiyah Binte Isnin seorang pegawai eksekutif syarikat penerbangan. Mula serius menulis pada tahun lalu setelah program ‘Mencari Kristal’. Beberapa sajak dan cerpen Tuty telah tersiar di Berita Harian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >