Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Cerpen

Malaysia Kita

Dec 08, 2013 | 09:21 PM



TUNGGU!


Tunggu!


Tunggu!


Tunggu, aku hendak ikut!


Aku hendak ikut!


Tunggu!


“Tidak boleh, pak cik. Kapal sudah berlepas. Pak cik sudah terlambat.”


Laungan azan mendayu-dayu. Muazin yang menggunakan mikrofon untuk melaungkan panggilan suci itu terus menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.


Marilah mendirikan solat!


Marilah mendirikan solat!


Marilah menuju kejayaan!


Marilah menuju kejayaan!


Tiada seorang pun daripada mereka yang berpuluh-puluh ribu itu mencari paip untuk berwuduk. Kebanyakan mereka menangis dan melambai-lambai kepada penumpang kapal, yang perlahan-lahan ditarik oleh bot tolak, meninggalkan dermaga. Kapal haji itu, Malaysia Kita, akan meninggalkan Pelabuhan Tanjung Pagar, menuju Jeddah.


Mentari bulan Mei 1972 terus bersinar riang. Kapal Malaysia Kita, yang dahulunya dikenali sebagai Vietnam, perlahan-lahan meninggalkan Pelabuhan Tanjung Pagar, meninggalkan Singapura, menuju Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, belayar di Lautan Hindi, singgah di Colombo dan Aden, sebelum berlabuh di Pelabuhan Jeddah, Arab Saudi. Dalam perut kapal haji itu nanti akan termuat 1,500 jemaah dari Singapura dan Malaysia.


Tunggu!


Tunggu!


Tunggu!


Aku hendak ikut!


Aku sudah sedar!


Aku sudah insaf!


Aku hendak bertaubat!


Tunggu!


Manusia yang beribu-ribu itu tidak mempedulikan Sapuan, yang mula menangis teresak-esak. Bukan Sapuan seorang sahaja yang menangis di situ. Mereka pilu mendengar seruan azan yang diilhamkan oleh Abdullah Said pada zaman Rasulullah. Sedang Nabi Muhammad memikirkan cara terbaik memanggil orang mendirikan solat, Abdullah Said menceritakan kepada baginda akan mimpinya. Bilal bin Rabah pun dipanggil untuk melaungkan azan pertama dalam sejarah Islam.


Tunggu!


Tunggu!


Aku sedar aku kaya!


Aku sedar aku selalu sakit!


Apa guna harta penuh satu dunia tetapi badan tidak sihat!


Apa guna aku selalu terlantar sakit di atas katil walaupun harta penuh satu bilik!


Tunggu!


Tunggu!


Aku mahu melihat Kaabah!


Seruan Sapuan ditenggelami suara azan yang mendayu-dayu itu. Suara merdu muazin yang dibawakan dari Masjid Temenggong Daeng Ibrahim di Telok Blangah.


“Sudahlah, pak cik. Kapal sudah berlepas. Pak cik boleh pergi haji tahun hadapan. Kapal tidak boleh tunggu lagi, pak cik.”


“Aku mesti pergi tahun ini. Aku mesti pergi tahun ini. Aku banyak buat dosa. Aku banyak buat dosa. Aku hendak bertaubat. Aku hendak jumpa Tuhan! Aku hendak jumpa Allah!”


“Allah berada di mana-mana, pak cik.”


“Tidak, tidak, tidak! Engkau tidak faham. Engkau budak lagi! Aku hendak jumpa Allah! Aku banyak buat dosa! Aku hendak bertaubat! Tunggu! Tunggu! Tunggu!”


Ghazali memerhatikan sahaja gelagat Sapuan. Sapuan tiba di pelabuhan itu sehelai sepinggang. Tiada apa-apa yang dibawanya. Dan sekarang dia melaunglaung ingin naik kapal dan tunaikan haji! Orang ramai mula mengemas dan membersihkan kawasan yang berhimpun sejak dari subuh lagi. Pihak pelabuhan menyediakan banyak tong sampah pada hari itu. Begitulah keadaan Pelabuhan Tanjung Pagar setiap kali tiba musim haji. Setiap kali pintu pagar dibuka untuk orang ramai menghantar bakal-bakal haji, perhimpunan manusia itu bagai berpesta. Berlakulah peluk-pelukan, salamsalaman, tangis-tangisan.


“Pak cik, Tuhan dengar permintaan pak cik. Pasti Tuhan akan beri peluang kepada pak cik untuk tunaikan haji pada tahun hadapan. Bersabarlah pak cik, bersabar.”


Kapal haji milik Great Malaysian Lines yang panjangnya 163.6 meter itu terus belayar, satu pelayaran yang jauh, membawa insan-insan yang dipanggil Ilahi ke rumah-Nya. Bersujud di hadapan Kaabah, yang selama ini menjadi kiblat solat mereka. Akan menangiskah mereka? Akan meraungkah mereka seperti Sapuan? Akan kembalikah mereka? Atau mereka tidak akan kembali, pergi untuk selama-lama di bumi baginda Rasulullah.


Entah mengapa, sejak tiga bulan kebelakangan ini, perangai Sapuan banyak berubah. Selalunya dia memandu kereta besarnya, melintasi masjid yang tidak jauh dari banglonya dalam perjalanan ke tempat kerja. Pulang dari kerja, dia memandu sekali lagi melintasi masjid itu. Dia tidak pernah berhenti di masjid itu untuk mendirikan solat. Maaf, ada sekali, untuk buang air besar kerana tidak tertahan. Malam harinya, Sapuan menghadap peti televisyen. Hampir semua rancangan ditontoninya. Suara azan yang keluar daripada radio Cik Siti Kamilah, orang gajinya, masuk telinga kiri keluar telinga kanan.


Mungkin perangainya berubah setelah mendengar berita kematian kawan baiknya, kawan sekolah, kawan niaga, kawan bermain golf. Kawannya, Maasod, meninggal dunia setelah diserang penyakit jantung. Dia diserang semasa bermain golf di Bukit Timah dan disahkan meninggalkan dunia di Hospital Alexandra. Mungkin. Maasod dengannya sebaya, 44 tahun.


Sapuan berada di upacara pengebumian Maasod di Pusara Aman. Di situlah dia berkenalan dengan Ustaz Hakeem. Ustaz Hakeem, imam Masjid Telok Blangah, mempelawa Sapuan menjadi relawan di masjid itu. Entah mengapa, Sapuan bersetuju, dengan pusara Maasod menjadi saksi.


Dalam pertemuan seterusnya di Masjid Telok Blangah, Ustaz Hakeem, 48 tahun, mengingatkan orang kaya Sapuan:


“Ingatlah tiga perkara, Tuan. Dari mana kita datang? Kenapa kita didatangkan? Ke mana kita akan pergi? Apabila kita berjaya menjadikan diri kita bermanfaat kepada orang lain, maka kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna dan bahagia. Apabila kita bermanfaat kepada orang lain, maka masyarakat akan menyukai kita. Malah peluang untuk kita berubudiyyah kepada Allah akan menjadi lebih luas. Kita juga berpeluang besar menyebarkan Islam melalui peribadi kita.”


Sapuan mendengar nasihat Ustaz Hakeem dengan hati yang pilu. Pilu akan pemergian kawannya. Pilu akan kehidupannya selama ini. Pilu kerana hidup dalam keakuan selama ini. Semasa kecil dia belajar agama. Semasa remaja dia mulai mengabaikan agama. Apabila dewasa dia tidak menghiraukan agama. Yang dia hiraukan – wang, wang, wang. Hidup dan matinya seolah-olah kerana wang.


****


Ghazali menegur:


“Lagipun, pak cik tidak boleh naik kapal haji itu kalau pak cik belum daftar. Kapal ini bukan kapal makan angin, pak cik. Pak cik harus daftar setahun sebelum berangkat.”


“Terima kasih, anak. Ambillah ini,” Sapuan menghulurkan sampul surat yang agak tebal.


“Apa ini, pak cik?”


“Ambillah, buat belanja, buat belajar. Pak cik sedekah.”


Ghazali mengambil sampul surat itu dan memasukkannya ke dalam saku kanan seluarnya yang lusuh.


“Anak buat apa di sini?”


“Saya tolong orang angkat barang, pak cik, dapat juga beberapa ringgit.”


“Bukankah tong-tong sahara itu berat belaka?”


“Memang berat, pak cik. Kami angkat berempat.”


“Anak masih bersekolah?”


“Masih, pak cik. Menengah tiga, Sekolah Menengah Gan Eng Seng.”


“Bagus sekolah itu. Belajarlah setinggi mungkin. Tinggal di mana?”


“Saya tinggal di Kampung Baru, pak cik. Insya-Allah, saya akan belajar rajin-rajin.”


“Anak mahu jadi apa?”


“Saya mahu jadi manusia yang berguna kepada bangsa dan negara.”


****


“Mak! Mak!”


“Apa Ghazali? Mengapa pekik-pekik?”


“Sampul surat ini, mak! Tengok apa isinya!”


“Siapa yang beri kamu?”


“Pak cik yang ketinggalan kapal haji siang tadi.”


“Tertinggal kapal haji? Dia lambat datangkah?”


“Tidak, mak. Dia belum daftar, mana boleh pergi.”


“Apa isi sampul surat itu?”


“Cuba mak kira... dua ribu ringgit!”


Air mata jernih bertakung di kedua-dua mata Puan Norjahan. Ibu tunggal itu melakukan sujud syukur. Ghazali menghampiri ibunya lalu memeluknya. Impiannya untuk menjadi manusia berguna kepada bangsa dan negara tidak akan tersekat. Pembelajarannya ke puncak gunung ilmu terasa ringan.


Kapal haji Malaysia Kita sudah berada jauh di samudera. Hajat Sapuan tidak kesampaian. Hajatnya meninggalkan sifat keakuan, dikabulkan Tuhan!


BIODATA PENULIS


Ridhwan Anuar ialah nama pena Anuar Othman. Beliau lahir di Pulau Brani, Singapura.


Anuar menghasilkan sajak, cerpen, novel, skrip televisyen dan radio, esei sastera, ulasan buku serta lirik lagu.


Beliau telah memenangi beberapa sayembara penulisan setempat termasuk Pena Emas. Setakat ini beliau menghasilkan 11 buku.


Kini, beliau sedang melanjutkan pendidikan di UniSIM bagi mendapatkan ijazah Bahasa dan Sastera Melayu.


Anuar juga mengajar penulisan kreatif di sekolah-sekolah di Singapura menerusi syarikatnya, Akademi Anuar Othman




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >