Bahasa

Memartabat Melayu jadi bahasa dunia

DAPATKAH bahasa Melayu menjadi bahasa dunia? Persoalan ini bukanlah baru.

Dalam wawancara akhbar ini baru-baru ini dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Profesor Dr Haji Awang Sariyan, beliau mengutarakan erti penting usaha gigih untuk ‘mengantarabangsakan’ bahasa Melayu.

Umumnya, beliau mengungkapkan usaha di pihak rumpun Melayu yang sekitar 350 juta jiwa dan lobi di peringkat antarabangsa.

Bagi rumpun Melayu, hujahnya, perlu ada visi dan tekad politik terutama di pihak tiga negara – Indonesia, Malaysia dan Brunei – agar bahasa Melayu dapat digunakan di forum antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Proses menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia tentulah menuntut usaha menghasilkan sebanyak mungkin bahan berilmu dalam bahasa Melayu dan dasar pemerintah yang sentiasa mengutamakannya sebagai pengantar dalam perhubungan awam dan swasta, di samping terus merakyat dengan rapi.

Apakah bahasa dunia?

Bahasa dunia ialah bahasa yang dituturkan di peringkat antarabangsa dan dipelajari ramai orang sebagai bahasa kedua. Bahasa dunia tidak dicirikan dengan jumlah penuturnya (penutur asli atau penutur bahasa kedua) sahaja, bahkan juga tebaran menurut kawasan (geografi) dan hubungan diplomatik.

Dalam banyak hal, kebanyakan bahasa dunia menonjolkan bahasa asal Eropah, iaitu Inggeris, Perancis dan Sepanyol.

Sebabnya dari segi sejarah, sudah berlaku pengembangan kuasa Eropah menerusi penaklukan dan penjajahan di banyak bahagian dunia.

BAHASA DUNIA

Bahasa yang terluas digunakan di dunia ialah Inggeris, yang dipercayai digunakan lebih 1.8 bilion orang, terutama sejak kehadiran Internet dan media antarabangsa.

Bahasa Arab juga ketara sebagai bahasa dunia kerana sebab sejarah – peluasan Islam yang membawa bersamanya bahasa Arab di seluruh Timur Tengah, utara Afrika dan negara yang mempunyai penduduk Muslim di luar Dunia Arab.

Bahasa Arab memang mempunyai pelbagai dialek, seperti Mesir, namun yang digunakan sebagai standard atau berpiawai ialah fusaha.

Bahasa Cina standard dipanggil Mandarin atau Putonghua (bahasa awam) yang mengganti bahasa Cina Klasik yang sebelum ini digunakan di Timur Jauh sehingga awal abad ke-20 Masihi.

Bahasa Mandarin digunakan di kalangan majoriti China keturunan Han dan bukan Han, juga di diaspora kaum Cina seberang laut, seperti di Malaysia dan Singapura.

Memandangkan penduduk China terbesar di dunia, 1.32 bilion jiwa, maka sekali gus ia mencerminkan kekuatan bahasa Mandarin.

Bahasa Russia digunakan secara meluas dalam empayar Russia dan kemudian di Soviet Union (dikuasai Russia, 1917-1991) dan juga di Eropah Timur.

Walaupun sesudah kejatuhan Soviet, bahasa Russia masih terus digunakan terutama di Russia iaitu negara terbesar dari segi saiznya di dunia (17 juta km persegi).

Bahasa Jerman pula pernah menjadi bahasa pengantar atau ‘lingua franca’ di sebahagian besar benua Eropah, terutama Empayar Rom Kudus dan kemudian Empayar Austro-Hungary. Ia merupakan bahasa kedua terpenting di bahagian Tengah dan Timur Eropah dan di kalangan masyarakat saintifik antarabangsa.

Terdapat bahasa utama yang tidak luas digunakan antara benua tetapi penting daripada bahasa pengantar kerana kaitan sejarah. Ini termasuk bahasa Greek ketika zaman kekuasaan Hellenistik, seperti penaklukan Alexander Yang Agung dan di wilayah Empayar Byzantin.

Bahasa Latin kini dianggap ‘mati’ tetapi pernah menjadi bahasa utama Empayar Rom, bahasa keagamaan bagi mazhab Katolik.

Bahasa Parsi meluas ketika Empayar Parsi berkembang dalam zaman silam dari Mediterranean sehingga utara benua India. Bahkan Parsi pernah digunakan sebagai bahasa pengantar kedua selepas bahasa Arab di banyak negeri majoriti Muslim.

Sanskrit, atau Sanskerta, luas digunakan dalam zaman silam di Asia Selatan (Pakistan, India, Sri Lanka), Asia Tenggara, Asia Tengah. Ia merupakan pengantar bagi agama Hindu dan Buddha. Namun seperti Latin, Sanskerta dianggap bahasa mati kerana jarang dituturkan.

Banyak bahasa utama di benua kecil India boleh dianggap bahasa penting kerana dituturkan ratusan juta orang.

Namun bahasa Hindustan dan Tamil lebih menonjol di benua ini, selain Urdu, yang merupakan bahasa rasmi di Pakistan, yang mempunyai 180 juta penduduk.

Bahasa Bengali (bahasa ibunda Rabrindranath Tagore, orang Asia pertama menerima Hadiah Nobel bagi Sastera) lebih besar bilangan penutur berbanding bahasa Perancis. Terdapat 230 juta penutur bahasa Bengali, iaitu keenam di dunia.

Namun bahasa Perancis sudah lama dianggap bahasa diplomatik sehingga ditancapkan sebagai bahasa dunia.

Bahasa Sepanyol tersebar luas hasil penjajahan Sepanyol di Amerika Tengah dan Amerika Selatan dan sedikit sebanyak di Filipina.

Terdapat usaha sedar di peringkat antarabangsa untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia kerana busana, makanan dan pelbagai aspek budaya Melayu kian diterima di peringkat sejagat.

Memang banyak manfaat apabila bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa dunia. Antara lain, kian banyak orang bukan Melayu atau bukan penutur asli yang menggunakannya sebagai bahasa kedua.

Selanjutnya, karya asal Melayu daripada muzik sehingga buku berisi bahan ilmu dan teknologi akan diterjemah sehingga istilah Melayu turut digunakan dalam bahasa-bahasa dunia lain.

Sekali gus ini bermakna sumbangan rumpun Melayu daripada adab, ilmu dan tamadunnya akan turut mencorak jagat.

 

* Artikel ini pernah diterbitkan di Berita Harian pada 1 Jun 2013.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.