Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Bahasa

Memperluas peranan bahasa ibunda

Banyak manfaat imbangi penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda di peringkat awal pendidikan kanak-kanak
Dec 08, 2013 | 09:19 PM



TIADA bahasa yang susah.


Bayi yang tidak diberi didikan bahasa secara eksplisit tetapi terdedah secara berterusan kepada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang dewasa akan dapat bertutur dalam bahasa itu akhirnya.


Datuk nenek kita yang tidak ke sekolah fasih dalam bahasa Melayu kerana mereka dibesarkan dengan bahasa Melayu. Bahasa itu wadah untuk berinteraksi dengan jiran tetangga dan di tempat kerja. Bahasa Melayu mempunyai fungsi yang nyata.


Di sini, kita dapat mengenal pasti dua faktor yang menjamin bahasa itu dikuasai dan terus digunakan:


Pertama, pendedahan kepada ses uatu bahasa secara tetap dan berterusan; dan


Kedua, bahasa berkenaan memainkan peranan penting dalam dunia sosial penuturnya.


Kedua-dua faktor ini saling bergantungan.


Tiada bahasa yang lebih baik


Tiada bahasa yang lebih baik daripada yang lain. Setiap bahasa adalah sistem yang lengkap memenuhi keperluan komunikasi penuturnya.


Bahasa Cina memenuhi keperluan komunikasi orang Cina; begitu juga bahasa Thai memenuhi keperluan komunikasi orang Thai, dan seterusnya.


Kalau bahasa dilihat dari segi variasinya, kita boleh menyatakan hal yang sama: setiap variasi bahasa mempunyai peranan masing-masing dalam kalangan penuturnya.


Contohnya, dialek Kelantan mungkin sukar difahami orang Melayu Singapura tetapi ia saluran komunikasi yang berkesan bagi orang Kelantan.


Bahasa pasar mungkin dipandang rendah sebagai bahasa yang tidak standard, namun ia difahami oleh mereka yang menggunakannya.


Kepelbagaian bahasa mewarnai kehidupan manusia.


Namun demikian, walaupun semua bahasa memainkan peranan sosialnya dan kita meraikan semua bahasa, dalam masyarakat berbilang bahasa, ada bahasa yang mendapat keutamaan lebih daripada yang lain.


Di Singapura, bahasa Inggeris adalah bahasa utama kerana ia merupakan bahasa ilmu, selain kedudukannya sebagai bahasa pentadbiran, pekerjaan dan pengantara bagi seluruh rakyat Singapura.


Melaluinya, kanak-kanak menerima ilmu sains, matematik dan mata pelajaran lain. Penguasaan bahasa Inggeris yang baik penting kalau kita ingin maju dalam mata pelajaran-mata pelajaran tersebut.


Pendek kata, bahasa Inggeris bahasa yang harus dikuasai jika ingin berjaya di Singapura.


Kembali kepada apa yang diperkatakan di awal rencana ini, susahnya belajar bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang berpunca daripada bahasa itu sendiri.


Tidak ada apa-apa yang intrinsik dalam bahasa Melayu yang membuatnya susah untuk dikuasai.


Namun, sebelum seseorang itu cenderung untuk belajar menguasai bahasa Melayu, bahasa itu mestilah terdahulu memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakatnya supaya beliau dapat membesar dalam suasana di mana bahasa itu sering didengari dan dituturkan.


Di Singapura, bahasa Melayu tidak memainkan peranan sepenting bahasa Inggeris walaupun ia mata pelajaran wajib di sekolah.


Ibu bapa mungkin bersetuju dengan pernyataan ini. Mereka tahu bahawa untuk berjaya dalam pendidikan dan pekerjaan, anak-anak mereka perlu menguasai bahasa Inggeris.


Ramai mendedahkan anak-anak kepada bahasa Inggeris sejak kecil lagi. Ada yang selesa menggunakan bahasa Inggeris dengan anak-anak. Ada yang membiarkan anak-anak menggunakan bahasa Inggeris sesama adik-beradik kerana inginkan mereka fasih dalam bahasa berkenaan.


Dalam keadaan seperti ini, bahasa Melayu kurang mendapat perhatian dan peluang untuk menggunakan bahasa itu menjadi terbatas. Oleh itu, tidak hairanlah kalau anak-anak Melayu tidak dapat menguasai bahasa Melayu, tetapi ini bukan kerana bahasa Melayu itu susah.


Usah salahkan ibu bapa


Tidak adil kita menyalahkan ibu bapa. Mereka bersikap rasional dan pragmatik, bertindak mengikut cara yang pada perkiraan mereka boleh menjanjikan kesejahteraan hidup yang lebih baik di Singapura.


Kita maklum bahawa di Singapura, kepentingan mempelajari sesuatu bahasa adalah untuk tujuan pendidikan, pekerjaan dan perhubungan antara kaum (yang dikaitkan dengan bahasa Inggeris), dan untuk melestarikan warisan dan identiti bangsa (yang dikaitkan dengan bahasa ibunda).


Namun demikian, antara dua tujuan ini, ramai menganggap tujuan pertama itu lebih penting daripada tujuan kedua.


Selagi fungsi bahasa Melayu di Singapura terbatas sebagai satu mata pelajaran sahaja dan fungsinya hanya untuk mengenali budaya bangsa dan memelihara jati diri, selagi itu ia tidak akan mendapat sambutan padu daripada kalangan orang Melayu sendiri.


Selagi itu juga anak-anak Melayu tidak akan terdorong untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa pilihan mereka.


Akibatnya, penggunaan bahasa Inggeris, yang bermula sebagai kebiasaan, menjadi suatu keselesaan, lebih-lebih lagi apabila kanak-kanak mula bersekolah dan pengaruh bahasa Inggeris menjadi lebih ketara.


Pelbagai usaha untuk menggalak penggunaan bahasa Melayu seperti perkhemahan dwibahasa di sekolah dan kegiatan sepanjang Bulan Bahasa boleh dilihat sebagai usaha mengubah sikap orang Melayu, khususnya para pelajar, supaya lebih prihatin terhadap bahasa sendiri.


Namun demikian, sikap terhadap bahasa tidak terbentuk dengan sendirinya. Ia adalah tindak balas manusia terhadap apa yang mempengaruhi hidupnya, dan dalam hal ini, keutamaan yang diberikan kepada bahasa Inggeris dalam pendidikan.


Setelah lebih 30 tahun mengamalkan sistem yang membahagi-bahagikan peranan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda di sekolah, mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula dasar yang meletakkan peranan bahasa Inggeris sebagai satu-satunya pengantar ilmu dan bahasa ibunda sebagai penanda warisan.


Kajian antarabangsa telah menunjukkan bahawa kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa ibunda boleh menjadi pengantar ilmu sementara bahasa ibunda kekal istimewa sebagai penanda warisan.


Perlu perluas fungsi bahasa


Melayu


Dalam era globalisasi yang bercirikan persaingan, fungsi bahasa Melayu perlu diluaskan jika kita ingin mengubah sikap orang Melayu terhadap bahasa sendiri.


Satu caranya ialah dengan menawarkan program dwibahasa alternatif di sekolah rendah di mana bahasa ibunda diberikan tugas utama sebagai pengantar ilmu untuk tahun-tahun pertama persekolahan.


Di peringkat yang lebih awal di tadika, lebih banyak waktu harus diberikan kepada bahasa ibunda supaya keupayaan berbahasa ibunda menjadi lebih kukuh sebelum kanak-kanak belajar bahasa Inggeris secara bertahap-tahap di sekolah rendah.


Ada manfaatnya jika kanak-kanak menguasai dahulu bahasa ibunda sebelum belajar bahasa kedua (bahasa Inggeris).


Sarjana pendidikan sudah lama maklum bahawa penguasaan bahasa yang lazim digunakan di rumah bukan sahaja dapat memelihara bahasa, budaya, identiti, kepercayaan dan nilai-nilai masyarakat, malah ia juga dapat memudahkan kanak-kanak menguasai bahasa kedua (bahasa Inggeris) selain dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka.


Ini adalah kerana idea-idea utama mengenai dunia, kurikulum dan pembelajaran biasanya boleh diterokai dan difahami dengan lebih baik melalui bahasa yang lazim digunakan di rumah.


Kita belum terlambat. Statistik Kementerian Pendidikan (MOE) menunjukkan bahawa kanak-kanak Melayu Darjah Satu yang keluarganya menggunakan bahasa Melayu sahaja atau kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di rumah masih membentuk 62 peratus pada tahun 2010.


Keluarga-keluarga ini akan lebih terdorong untuk terus menggunakan bahasa Melayu di rumah jika mereka tahu bahawa di sekolah, bahasa Melayu diutamakan sementara bahasa Inggeris diperkenalkan di peringkat awal persekolahan.


Dengan segala manfaat yang bakal diraih anak-anak mereka, baik dari segi penguasaan bahasa Inggeris yang mantap mahupun pencapaian akademik yang lebih membanggakan, sumbangan mereka kepada pelestarian bahasa Melayu tidak akan menjadi sia-sia.


  Penulis memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) bidang linguistik dari Universiti Wales, United Kingdom, dan banyak menumpukan perhatian pada pengajaran dan kajian mengenai linguistik, bahasa, kedwibahasaan dan pendidikan agama.


“Sarjana pendidikan sudah lama maklum bahawa penguasaan bahasa yang lazim digunakan di rumah bukan sahaja dapat memelihara bahasa, budaya, identiti, kepercayaan dan nilai-nilai masyarakat, malah ia juga dapat memudahkan kanak-kanak menguasai bahasa kedua (bahasa Inggeris) selain dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka.” 


 


* Artikel ini pernah diterbitkan di Berita Harian pada 21 September 2013.


 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >