Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Meraikan BAPA dari sudut bahasa

Jun 18, 2023 | 05:30 AM



Bagi ramai orang, Ahad adalah hari yang dinanti – hari meluang masa bersama keluarga kerana umumnya hari berehat.

Dan Ahad ini lebih istimewa kepada sebahagian lelaki bergelar bapa, kerana ia bertepatan dengan Hari Bapa. Ia biasanya disambut pada Ahad ketiga setiap Jun sebagai menghargai peranan, jasa, sumbangan dan pengorbanan bapa dalam keluarga dan masyarakat.


Sebutannya mungkin berlainan – bapa, bapak, ayah, abah, papa, daddi, abi, walid – tetapi membawa maksud serupa iaitu bapa kepada anak, umumnya juga menjadi ketua keluarga.


Sambutan Hari Bapa adalah gandingan kepada sambutan Hari Ibu yang disambut pada Mei.


PELBAGAI ISTILAH

Penggunaan bapa yang digandingkan dengan perkataan lain menggambarkan kedudukan yang berlainan.


Selain bapa kandung iaitu bapa sebenar seseorang, terdapat beberapa jenis bapa lagi.


Bapa saudara atau pak cik ialah saudara lelaki kepada ibu atau bapa; bapa tiri ialah suami emak tetapi bukan bapa kandung; bapa angkat ialah orang yang tidak ada pertalian darah tetapi dianggap sebagai bapa sendiri; bapa tunggal ialah bapa atau ayah yang membesarkan dan mendidik anaknya sendirian tanpa kehadiran isteri kerana kematian, perceraian atau perpisahan atas sebab tertentu; bapa mentua ialah bapa isteri atau bapa suami.


Terdapat juga gelaran ‘pak’, singkatan bagi bapak yang menggambarkan kedudukan seperti Pak Long (bapak saudara paling tua atau sulung; Pak Ngah (bapa saudara tengah) atau Pak Lang; dan Pak Busu (bapa saudara bongsu).


Istilah sebapa pula menggambarkan adik-beradik dengan bapa yang sama tetapi berlainan emak ).


Berbapa pula menggambarkan orang yang mempunyai bapa, (tidak berbapa, seperti tidak berbapa sejak kecil, bermakna tidak mempunyai bapa sejak kecil – sama ada bapa telah meninggal, atau menghilang atau terpisah atas sebab tertentu).


Berbapakan pula adalah istilah yang menggambarkan sifat bapa (seperti Ahmad berbapakan seorang menteri, berbapakan seorang yang pemurah, seorang ketua kampung dan sebagainya).


Kebapaan pula menggambarkan seorang yang mempunyai sifat sebagai bapa, seperti Ali menunjukkan sifat kebapaan yang sangat bertanggungjawab dan menjadi teladan kepada ramai bapa lain.


GELARAN/PENGHORMATAN

Bapa juga digunakan sebagai panggilan kepada orang tua sebagai tanda hormat.


Misalnya, Pak Ali, orang paling tua lagi dihormati di kampung itu, akan diundang ke setiap majlis keramaian yang dianjurkan.


Dalam bahasa Indonesia, bapak (atau pak) lumrah digunakan untuk memanggil lelaki dewasa sebagai tanda hormat, serupa dengan panggilan Encik – misalnya silakan masuk ke rumah kami Pak (bermakna Encik); mahu minum apa pak (Encik).


Bagi penganut Kristian, bapa adalah sebagai ketua agama, misalnya bapa suci Paus di Rom.


SEBAGAI PERINTIS

Bapa juga digunakan sebagai gelaran menggambarkan kedudukan sebagai perintis atau pelopor.


Misalnya, mendiang Lee Kuan Yew sebagai Bapa Kemajuan Singapura atau Bapa Pembangunan Singapura Modern.


Di Malaysia, terdapat banyak bapa perintis – Perdana Menteri pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, dikenang sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dikenali sebagai Bapa pembangunan Malaysia; Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahi Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia.


GAMBARAN BURUK

Namun, terdapat juga beberapa gambaran buruk yang dikaitkan dengan bapa.


Misalnya, istilah bapa ayam menggambarkan bapa yang tidak mempedulikan anaknya, gambaran yang diambil daripada resmi ayam jantan, berbanding resmi ayam betina. Malah lebih buruk lagi, bapa ayam diistilah atau merujuk kepada lelaki yang memperdagangkan pelacur.


Pak Pandir pula cerita rakyat yang menggambarkan orang yang lurus tetapi dungu atau bodoh, sementara Pak Kaduk ialah orang yang malang kerana kebodohannya (seperti seloka “Malang Pak Kaduk” – aduhai malang Pak Kaduk! Ayamnya menang kampung tergadai).


Ungkapan jadi bapa kuda menggambarkan lelaki yang suka kahwin di sana sini dan bersenang-senang di rumah isterinya tanpa membuat sesuatu pekerjaan.


PERIBAHASA

Terdapat beberapa peribahasa berkaitan bapa.


Anak bapa menggambarkan anak kesayangan dan kebanggaan bapa.


Contoh ayat: Dia digelar anak bapa kerana hubungan yang begitu rapat dengan bapanya.


Ada sebuah filem komedi arahan Allahyarham P. Ramlee, Anak Bapak, mengenai anak hartawan yang suka berfoya-foya tetapi sebenarnya budiman.


Bapa borek anak rintik menggambarkan sikap anak yang mengikut sikap bapanya.


Kasih bapa sepanjang jalan, kasih anak sepanjang penggalan adalah mengenai cinta kasih anak kepada bapa tidak seimbang dengan cinta kasih bapa kepada anak.


Ditelan mati emak, diluah mati bapa menggambarkan dilema atau masalah yang sulit dan meletakkan seseorang dalam keadaan serba salah.


Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa bermakna pengetahuan dan kelebihan itu bukan tertentu kepada orang tua-tua sahaja; boleh juga terdapat pada orang muda-muda.


Lain orang memperanakkan, lain orang dipanggil bapa menggambarkan balasan yang tidak pada tempatnya; lain orang yang berbuat baik lain orang pula yang mendapat penghargaan.


Takkan harimau makan anaknya bermakna kemarahan bapa terhadap anaknya tidak akan sampai membunuh.


Seperti gayung dengan tempayan adalah mengenai ibu bapa yang berusaha menghimpunkan harta tetapi anak menghabiskan.


Mati anak berkalang bapak, mati bapak berkalang anak bermakna anak dan bapa wajib tolong-menolong.


Di mana tempat kutu hendak makan kalau tidak di atas kepala menggambarkan perbuatan anak menghabiskan harta ibu bapa atau majikan.


PUISI/PANTUN:

Bapa juga terakam dalam beberapa pantuk klasik. Antaranya:


Senggarang, Batu Pahat,
Emak garang, bapa jahat;


Telur merpati telur tunggal,
Taruh mari atas meja;
Emak mati bapa meninggal,
Pada siapa hendak bermanja.


Pohon temak akar pun temak,
Gugur di kuala bunga sekuntum;
Diluah bapa ditelan emak,
Sampai bila hendak dikulum?


Burung merpati bertelur tunggal,
Menetas anak turun ke paya;
Ibu mati bapa pun meninggal,
Di manalah tempat kami nak bermanja.


Burung merpati beranak tunggal,
Mati dibela di kaki meja;
Ibu mati bapa tinggal,
Mana tempat tumpang bermanja?


Anak kunci dikait anak,
Di bawah pokok pohon kelapa;
Kecil jangan disangka anak,
Besar jangan disangka bapa.


Puput manis jalan di luput,
Uput menari di tiga tapak;
Hitam manis jangan direbut,
Dia tak diberi ibu dan bapa.


KESIMPULAN

Bapa umumnya menjadi ketua keluarga. Maka itu, bapa sering menjadi lambang kuasa.


Wali paling utama dalam pernikahan Islam adalah bapa.


Dalam keluarga Melayu yang umumnya Muslim, semua anak berbinkan bapa.


Dalam sejarah kejadian manusia menurut Islam, semua manusia lahir kerana adanya bapa kecuali tiga iaitu Nabi Adam as, Siti Hawa dan Nabi Isa as.


Namun, kedudukan sebagai bapa datang berserta tanggungjawab yang berat.


Kedudukan itu juga tidak mengetepikan atau merendahkan kedudukan ibu.

Banyak ayat Al-Quran dan hadis menyebut tentang kedudukan ibu dan bapa.


Antara hadis mengenainya ialah dari Abu Hurairah ra mengenai pertanyaan seorang lelaki kepada Rasulullah saw kepada siapa harus dia berbakti selepas Allah dan Rasul-Nya, Rasulullah ‘Ibumu!’, selepas itu siapa lagi? ’‘Ibumu!’ , selepas itu, ‘Ibumu’, dan selepas itu, ‘kemudian ayahmu.’” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Ia menggambarkan bahawa, seperti dijelaskan Imam Al-Qurthubi, kecintaan dan kasih sayang terhadap seorang ibu harus tiga kali lebih besar berbanding terhadap bapa.


Namun, bapa tetap tersenarai sebagai orang yang harus dicintai dan dikasihi, apatah lagi bapa yang berusaha melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab...




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >