CERPEN

Mesyuarat Meja Panjang

DI hujung meja panjang itu, Okatani menyelak-nyelak fail. Sambil mengerut kening, dia mengomel.

Ada sesuatu yang tidak kena pada Okatani, maka sungutannya berlarutan. Okatani empunya syarikat pelancongan Tabi-Tabi. Perawakannya seperti orang Rome, tinggi dengan badan mencapai 170 sentimeter. Rambutnya hitam kulitnya cerah. Ketinggian ini bersama suara garau amat digeruni. Lazimnya ketinggian seperti ini memaparkan badan yang langsing dan tampan. Pun begitu, sosok tubuh Okatani tidak mencerminkan demikian. Badannya yang gemuk bersama perut yang boroi kerap diejek dengan panggilan 'giant-san.' Suaranya yang besar sungguh menakutkan apabila dia meneriak arahan kepada penjawat dan kaki tangan dalam pejabat yang sempit itu.

Okatani duduk di hujung meja panjang, mempengerusikan mesyuarat hari itu. Zaleha duduk di sebelah Noriko, isteri Okatani. Sebaris dengan Zaleha duduk beberapa orang kerani. Di barisan hadapan pula menempatkan wakil-wakil daripada syarikat pengangkutan pelancong, syarikat kraf tangan, kedai cenderamata dan kedai makan. Syarikat-syarikat ini telah dipilih khas oleh Okatani. Menerima pemilihan ini menjadi rebutan kepada syarikat-syarikat kecil sebab tentunya ia akan menambah keuntungan pada perusahaan mereka. Dalam ratusan kedai di bandar itu, hanya beberapa buah kedai sahaja dipilih menjadi destinasi pelancong. Makanya arahan Okatani tidak dibantah. Segala percakapan Okatani dipatuhi tanpa soalan.

Okatani terus bersungut. Wakil-wakil menyemak fail, membiarkan bilik itu bungkam. "Hari ketibaan tinggal dua hari dan bas belum siap lagi!" teriak Okatani, suaranya bergema dalam bilik sunyi itu.

"Bukan belum siap, Bos. Cuma kami terpaksa buat pemeriksaan syaken untuk sebuah bas. Jadi kami terpaksa cari ganti bas itu.

Memahami proses pemeriksaan syaken yang diwajibkan oleh Kementerian Kenderaan akan mengambil masa yang agak lama untuk bas pelancong, Okatani semakin meradang.

"Kenapa tidak boleh tunda tarikh syaken itu?" lontar Okatani dengan berang.

"Tak boleh tunda, Bos. Ini arahan daripada Kementerian dan perkara wajib," kata wakil syarikat bas pelancongan, suaranya kecil.

"Maknanya syarikat kamu harus dapatkan bas untuk baki pelancong seramai 50 orang itu," balas Okatani lagi, kali ini menajamkan mata ke arah wakil syarikat bas itu.

"Memandangkan masa yang suntuk, untuk kami 50 orang itu, kami sediakan dua buah bas mini."

"Dua buah bas mini! Mana boleh ada tetamu naik bas mewah dan yang lain naik bas mini?" Kali ini Okatani menghentak meja. Darah menyirap ke muka.

"Walau bagaimanapun, masih ada dua hari lagi untuk kami atasi masalah ini. Kami akan cuba mendapatkan satu lagi bas mewah," kata wakil pengangkutan itu tegas.

Bersetuju tetapi bosan, seterusnya Okatani memandang ke arah wakil kedai makan.

"Setelah pelancong mendarat, kita terus bawa makan tengah hari. Kenapa menu cuma mi udon dan mi ramen saja?" kata Okatani, suara mengarau.

"Menyediakan dua pilihan ini untuk makan tengah hari memang sangat berpatutan. Kalau para tetamu diberi banyak pilihan dalam menu, masa untuk memasaknya bertambah. Ini akan menjadi masalah sebab akan menjejas masa lawatan seterusnya yang padat," sahut wakil dari kedai makan.

"Kalau ingin jimat masa, lebih baik buat bufet saja!" balas Okatani.

"Maaf, Bos. Kos anggaran yang kami terima tidak mencukupi untuk hidangan bufet. Kalau Bos mahu kami sediakan bufet, tentu boleh. Cuma kami harap Bos dapat tambah kos itu," kata wakil kedai makan, tersenyum sinis.

"Lagi dua hari pelancong tiba, sekarang baru kamu hendak cakap tentang kos? Sudah terlambat sekarang!" teriak Okatani, menghentak meja sekali lagi.

Wakil kedai makan menundukkan kepala melihat kemarahan Okatani itu.

"Baik kita semak profil pelancong dalam senarai. Kita kirakan jumlah lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Juga yang datang berkeluarga dan berpasangan," kata Noriko, wajahnya pucat dalam situasi tegang itu.

Mesyuarat seperti ini sudah berlangsung selama dua bulan. Sepatutnya masalah pengangkutan dan hidangan untuk para pelancong tidak timbul lagi pada hari-hari terakhir ketibaan pelancong. Dua pesawat sederhana yang membawa sebanyak 200 pelancong dari Singapura diterbangkan khas ke bandar itu. Program pelancongan ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan untuk menambah kadar pelancongan, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi negara itu. Syarikat Pelancongan Tabi-Tabi dipilih antara banyak syarikat pelancongan di bandar itu.

"Dua hari lagi kita akan sambut 200 tetamu yang belum pernah pijak tanah ini. Selain daripada masalah bas dan menu, jika ada lain perkara, baik bincang sekarang. Kita tidak punya masa lagi," kata Okatani, wajahnya serius.

Bilik itu bungkam lagi. Dalam bilik sepi itu hanya kedengaran angin dingin yang dihembuskan daripada alat hawa dingin.

Zaleha menyemak senarai nama-nama pelancong. Nama-nama 200 pelancong disenaraikan dalam 10 helai kertas. Sorotan semakan Zaleha terhenti di halaman 8. Pada baris paling bawa dalam senarai itu, Zaleha terlihat nama-nama perempuan Melayu. Tiba-tiba satu persoalan menendang kotak fikir Zaleha. Mengangkat mukanya, pandangan Zaleha mendarat ke wajah Okatani.

"Bos, saya lihat dalam senarai nama-nama pelancong di halaman 8, ada dua nama orang Melayu," kata Zaleha serius.

Serta merta bilik itu seperti hidup semula dengan bunyi selakan helaian kertas apabila setiap orang dalam bilik sempit itu membuka ke halaman 8.

"Yang mana nama orang Melayu?" tanya Okatani.

"Baris yang paling bawah di halaman 8," saya balas.

"Jadi ada apa masalah dengan orang Melayu?" tanya Okatani, suaranya bosan.

"Kedua-dua nama ini nama orang Islam," kata Zaleha menjelaskan.

"Setakat ini kita belum pasti mereka beragama Islam. Tetapi kalaupun mereka beragama Islam, apa masalahnya?" tanya Okatani selepas meneguk teh.

"Kita perlu beri perhatian pada soal pemakanan orang Islam. Ada bahan-bahan makanan yang orang Islam dilarang makan," kata Zaleha tegas dan memandang tepat ke dalam mata Okatani.

Zaleha mendengus. Kalau dengus itu berapi, tentu sekali asapnya akan terhembus daripada hidungnya. Syarikat pelancongan Okatani sudah ditubuhkan selama 25 tahun. Bahkan Okatani telah membuka cawangan- cawangan di benua Amerika Syarikat, tanah penjajah Inggeris, Eropah dan Asia. Mungkinkah selama 25 tahun setelah mengendali tugas-tugas pelancongan antara bangsa seperti ini, Okatani tidak maklum perihal orang- orang yang menganut agama Islam?

"Makanan orang Islam?" tanya Okatani.

Noriko menoleh dan merenung Zaleha, gelisah terpapar di wajah, lantas bertanya, "Orang Islam ada larangan makanan?"

Zaleha mengangguk, lalu membalas, "Betul. Orang Islam ada larangan pada makanan. Kalau kita tidak prihatin dalam perkara ini, kita tidak akan dapat sambutan dari negara-negara Islam seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Pakistan, Arab Saudi, Mesir, Turki dan orang-orang yang menganut agama Islam."

Setelah selesai penjelasan ini, Okatani bertanya lagi, "Apa maksud larangan pemakanan orang Islam?"

"Larangan pemakanan bermaksud bahan-bahan makanan yang orang Islam dilarang makan seperti daging babi. Juga daging ayam atau lembu yang tidak disembelih mengikut cara yang dipatuhi dalam ajaran Islam," kata Zaleha dengan yakin, menyedari setiap mata tertumpu ke arahnya.

Zaleha merenung wajah-wajah nihil perasaan satu per satu. Mungkinkah setiap wajah yang mengelilingi meja panjang itu merasa terkejut dengan penjelasannya atau sememangnya mereka tidak maklum dalam perkara penting seperti itu.

"Saya cadang biar saya bantu kedua-dua orang Melayu itu. Cara ini lebih mudah bagi saya untuk memantau makanan mereka," cadang Zaleha.

"Tentang isu larangan dalam pemakanan orang Islam, saya sarankan kita lakukan kajian perinci selepas projek ini. Mungkin selama ini industri pelancongan telah abaikan sensitiviti orang Islam darihal pemakanan, saya dapati kadar pelancongan daripada negara-negara Islam yang kamu sebut itu amat berkurangan di negara ini," kata Okatani, rasa kesal memenuhi penjelasan itu.

"Tadi kamu kata ingin beri bantuan kepada dua orang Melayu itu, apakah langkah seelok-eloknya dalam perkara seperti ini?" tanya Noriko, suaranya lembut.

"Para pelancong akan tiba dua hari lagi, dalam kesingkatan masa ini, tidak mungkin kedai makan dapat membekalkan makanan halal..."

"Makanan harar?" pintas Okatani.

"Makanan orang Islam yang mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam ajaran

"Islam. Itu namanya makanan halal," ujar Zaleha menjelaskan lagi.

"Jadi apa cadangan kamu?" tanya Okatani, sudah tidak sabar.

"Buat kedua-dua orang Melayu itu, kita tukar menu mereka. Segala bahan seperti daging babi, ayam atau lembu, kita gantikan dengan makanan laut atau lebihkan bahan sayur-sayuran. Itu saja jalan yang paling mudah."

"Kalau begitu, kita ganti menu mi ramen itu. Mi ramen dimasak dengan rebusan tulang-tulang," balas Noriko sambil mengangguk-angguk kepala.

Zaleha mengikut Noriko, mengangguk- angguk kepala, lantas menambah, "Mereka boleh pilih mi udon. Cuma saya perlu ingatkan pekerja kedai itu menggantikan mi udon kepada kedua-dua orang Melayu itu."

Mendapati penjelasan itu telah mampu mencerahkan orang-orang yang mengelilingi meja panjang itu, Zaleha berasa seakan-akan satu kemenangan.

Hari ketibaan 200 pelancong yang dinanti-nantikan tiba. Zaleha terjenguk-jenguk, mencari dua orang perempuan Melayu itu. Sebaik sahaja melihat kelibat mereka masuk Dewan Ketibaan, tidak lengah lagi Zaleha perkenalkan dirinya.

Kekecohan berlaku ketika menempatkan para pelancong dalam bas. Zaleha dapati kedua-dua perempuan Melayu itu diarah menaiki bas mini, walaupun tempat duduk mereka telah disediakan dalam bas yang ditugaskan untuk Zaleha sebagai Pemandu Pelancong.

Agar dapat mengelakkan kesibukan dalam kedai makan jika 200 orang pelancong masuk serentak, bas yang Zaleha naiki diarahkan ke pantai. Sementara itu, bas yang membawa kedua-dua perempuan Melayu itu menghala terus ke kedai makan.

Sebaik tiba di kedai makan, tanpa berlengah lagi Zaleha mendekati kedua-dua perempuan Melayu itu.

"Sudah makan Puan" tanya Zaleha.

"Sudah. Kami baru saja habis makan," kata perempuan yang lebih muda antara mereka.

"Oh, baguslah. Maafkan saya, tadi ada kekecohan. Kami terpaksa naik bas berlainan. Makan apa tadi?"

"Itu meja kami di sana."

Zaleha mengikut telunjuk itu mengarah ke meja makan. Terbeliak mata Zaleha melihat dua buah mangkuk bekas mi ramen!


Biodata penulis

LEYLA SHURI atau nama sebenarnya Halela Abdul Razak dilahirkan di Singapura. Beliau mendapat pendidikan di Melaka dan Singapura sebelum berhijrah ke Okinawa, Jepun, mengikut suaminya.

Beliau kini merupakan Penduduk Tetap negara Jepun tetapi aktif menulis dalam laman esasatera dan komuniti sastera Jepun.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 26
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.