Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Mocha, kudeta dan gadis Scandinavia

Nov 06, 2017 | 05:30 AM



"Kembaraku demi secangkir kopi," sengaja aku pancing perbualan. Kopi dalam cangkir kukacau perlahan. Wap nipis yang terbit mengaburi kanta kaca mataku, sedikit menghalang pemandangan indah di depanku.



Riak hairan timbul.



"Aku tak salah dengar?" kerut di dahinya tak disembunyikan.



"Kopi coklat."



"Di sini?" dia merenungku dalam-dalam, seakan cuba menghadam apa yang baru didengarinya. Wajahnya kuat mengingatkan aku akan Helena Bonham Carter dalam Fight Club.



"Kau tak percaya.," aku menduganya lagi.



"Aku tahu mocha yang aku buat semasa jadi barista sambilan zaman kolej dulu. Biji kopi segar dikisar sebelum dibru. Dark roast blend paling baik. Biji kopi harus tak lebih dua minggu, sebab rasa biji kopi lama tak mampu diatasi dengan coklat," si Helena Bonham Carter tak mahu kalah.



"Susu segar direneh dengan api kecil, sebaik-baiknya guna teknik Bain Marie. Tambah coklat dan kacau perlahan-lahan sehingga penuh berkrim dan sebati. Tuang campuran susu dan koko dalam kopi yang panas dibru. Siap!" dia meniru lagak barista lalu menyuakan cangkir kopinya ke arahku.



"Rasa macam tonton episod Dangerous Grounds!"



"Oh… aku ada rupa Todd Carmicheal?"



Kami sama-sama kongsi gelak.



"Tapi mocha kau tu tak autentik. Bagi pencinta kopi tegar, kopi coklat di rangkaian kafe komersial sama macam Louis Vuitton palsu!" aku memprovok lagi.



Dia mencebik.



"Kalau mahu rasa kopi coklat paling asli, tak dapat tidak harus ke sini."



"Aku lebih gemarkan latte," ujarnya selamba, sengaja cuba menyakitkan hatiku. Aku sedikit terhibur dalam kebosanan malam hening begini.



"Khabarnya kopi di sini mula-mula diminum golongan sufi untuk berjaga malam."



"Begitu?" balasnya penuh tanda tanya.



Aku betulkan posisi, sedia untuk memulakan kuliah sejarah kopi tempatan untuknya.



"Penanaman kopi bermula di sini seawal abad ke-15 untuk keperluan pasaran tempatan. Dikatakan pada 1450, golongan sufi mula-mula meminum kopi secara meluas untuk bantu mereka berjaga malam bersolat.



"Trend ini langsung merancakkan industri kopi di sini. Lereng-lereng gunung pantas bertukar rupa jadi ladang kopi besar-besaran selain pelbagai teknik pertanian baru dicipta untuk tanaman kopi komersil.



"Pelabuhan ini begitu sinonim dengan komoditi kopi eksport. Budaya kopi tempatan tersebar luas di kota ini, yang memang jadi titik pertemuan pedagang sepanjang Semenanjung Arab dan Laut Merah. Ramai yang jatuh hati dengan kopi pekat asli dari sini," aku jeling sedikit untuk pastikan dia masih memberi tumpuan.



"Lalu apa yang membezakan kopi di sini dengan yang lain?" dia mula menunjukan minat.



"Uniknya kopi di sini kerana pemprosesan kering secara semula jadi. Cara tertua, termudah namun paling organik!"



Aku berhenti seketika. Meneguk mocha dari cangkir yang mula mendingin dek embun malam. Sempat kucuri pandang wajah jernihnya.



"Ditanam secara tradisional tanpa bahan kimia, kopi di sini lebih garang dan padat dengan aroma dan sedikit rasa masam berasid seperti wain. Buah kopi yang dipetik segar, dijemur bawah matahari terik sampai keras. Warnanya nanti berubah perang kehitaman. Buahnya kemudian diasingkan hingga tinggal biji.



"Proses pengeringan dan teknik menjemur dikatakan memberi rasa lembut dan enak. Kaum nomad di pergunungan Habsyah dipercayai yang mula-mula mengenal pasti ciri-ciri rangsangan yang ada pada kopi. Bahkan bukti arkeologi pertama tentang minuman kopi ditemui di kota Zabid. Tapi teknik bru yang kita kenali sekarang mungkin bermula di sini dalam Zaman Pertengahan."



"Aku fikir hanya budaya teh yang ketara di sini. Shahi. Atau shahi haleeb yang diminum selepas mengunyah qat. Ditambah bunga cengkih, pelaga atau pudina… hmmm… sedap…" ucapnya lantas meneguk pula kopi susu dari cangkir tembaga di depannya.



"Tak ramai tahu tentang ini. Mungkin inilah penangan kudeta berdarah, bukan saja kota ini malah budaya kopinya yang berkurun usia pun jadi terkenal."



"Kopi tradisi terbaik setakat ini aku minum di satu kafe kecil di bandar lama al-Masnaah di al-Mahaweet."



"Jadi kau mahu abdikan hidup mengkaji kopi?"



"Itu mungkin sebahagian tujuan aku ke sini. Aku mahu merasa pelbagai jenis kopi, kebanyakannya tak terdapat di tempat lain di seluruh dunia. Aroma uniknya hanya boleh didapati di tanah ini saja."



"Di masa-masa begini?"



"Mengapa tidak? Monopoli perdagangan kopi di sini bertahan lebih 200 tahun. Aku mahu cari semangat itu. Perang tak mampu luputkan fakta sejarah ini. Perang mungkin meragut nyawa tapi tak mematikan jiwa. Tak menghapuskan semangat."



"Kau bergurau."



"Kau yang skeptik."



"Sebaliknya. Aku realis. Kau sendiri lihat keadaan keliling. Kau fikir ini waktu sesuai? Apa yang kau cari mungkin dah lenyap, sebagaimana luputnya kesan-kesan sejarah yang lain."



"Aku cuma mampu ucap selamat berjaya," sambungnya lagi, kenyit sebelah mata, sedikit mengejek.



"Kau realis? Terbang beribu batu meredah bahaya untuk apa? Kau yang paling idealis!"



"Jadi kembara menjejak kopi lebih suci?"



"Aku tak kata begitu."



"Kau fikir di tengah huru-hara begini akan jumpa mocha asli yang kau cari? Kalau dapat minum air bersih pun kau dah patut bersyukur!" nadanya sarat ragu.



Memang benar apa yang diluahnya. Sebetulnya hasratku ini baik saja diangan-angankan.



"Lebih dari itu. Aku menjejak tamadun, cuba merungkai apa yang masih tersembunyi?" keraguannya mula mempengaruhiku.



"Di masa beginilah masyarakat dunia mula beri perhatian pada kopi keluaran tempatan. Kau bayangkan, pengeluaran kopi dah bermula sejak abad ke-15 tapi hanya lima tahun lalu orang mula berminat dengan kopi istimewa dari sini. Kafe-kafe artisan dari Barat mula mengimport biji kopi mentah dari sini untuk dipanggang jadi minuman lazat, lain dari yang lain."



"Tapi tempat ini dah lama jadi kampung nelayan. Saat ini dah bertukar jadi medan tempur. Kau masih mahu teruskan hasrat?" gadis Scandinavia ini masih tak puas hati.



"Tentu. Di pelabuhan kota inilah kopi coklat kegemaranku dan kegemaran pencinta kopi dunia juga, dapat nama. Kau pula? Bikin apa di sini? Waktu-waktu begini?" lekas-lekas aku mengubah mauduk.



"Aku bosan di tanah air."



"Ironis bukan? Kami di dunia ketiga sanggup tinggalkan segalanya untuk jadi migran di tanah airmu. Kau tinggalkan semuanya untuk ke sini, biar benar?"



"Aku tak tinggalkan semuanya. Bila dah puas nanti, atau bila aku dapat keluar dari tempat ini hidup-hidup, aku pasti kembali," jelasnya lagi. Ekor rambut gaya Helena Bonham Carter itu dipintal-pintal.



"Dunia ini memang penuh ironi. Di satu sisi, jutaan dolar dikutip dan dibelanjakan untuk cipta dan pertahankan warisan. Di sebelah sini pula, satu pemusnahan budaya sedang berlangsung dengan dahsyat tapi tak siapa pun peduli."



"Tapi kau peduli."



"Dalam waktu-waktu runcing begini, keutamaannya menyelamatkan nyawa. Itu benar. Tapi ramai yang terlepas pandang perkara lain yang penting juga. Aku di sini cuba mengisi kelompongan itu."



Khali sejenak. Rasa kagumku mula berputik.



"Siapa yang mampu gantikan kota-kota purba? Kubu-kubu dan istana warisan? Tapak-tapak arkeologi zaman pra-sejarah dan empangan agung? Muzium yang menempatkan lebih 12,500 artifak hancur sekelip mata. Tapak warisan dunia dah tak diendahkan sesiapa di kancah kudeta ini."



"….sama ada musnah dibedil, rosak teruk atau kini terancam. Yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang," cantasku, cuba menunjukkan aku bukanlah buta sama sekali tentang sejarah.



"Benar. Apa yang sedang berlaku di sini bukan hanya pembunuhan jiwa tapi pembunuhan budaya, jati diri dan identiti. Semua itu tiada gantinya. Runtuh budaya ranap jugalah maruah dan akal budi anak watan."



Rona wajahnya berubah merah jambu. Ada keresahan terbias pada sinar matanya.



"Kota-kota warisan mereka bandar-bandar kita juga. Milik sejagat. Semua ini adalah masa silam dan masa depan mereka. Juga masa lalu dan masa akan datang setiap warga dunia, tak kira agama dan warna kulit.



"Terlalu banyak sejarah terbenam di sini, menunggu masa untuk dicungkil kembali. Aku tak sanggup berpeluk tubuh lihat semuanya lesap dari muka bumi ini."



Kopi susu panas diteguknya lagi. Aku ikut sama menghabiskan mocha dalam cangkirku.



"Kemusnahan di sini tak dapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat dunia. Aku mahu bersama mereka mempertahankan apa yang masih tinggal dan memulihara apa yang termusnah. Seperti mana kau di sini mencari kopi," dia ukir senyum kecil.



"Kopi pun salah satu warisan budaya. Dunia patut kenal dan hargai warisan ini sebagaimana mereka kenal peradaban agung yang lahir dari tanah ini," hatiku turut tersenyum.



"Tinggalan peradaban yang sudah terungkai di sini mendahului zamannya. Pembangunan bandar terancang, sistem empangan dan terusan, semua bermula di sini seawal abad kelapan.



"Beribu tahun sebelum tamadun Barat, malah dunia Islam sendiri membangunkannya. Lebih seribu tahun dan berpuluh-puluh empayar dapat manfaat daripada keajaiban kelapan dunia ini, empangan ini malah terakam dalam Al-Quran.



"Tapi apa yang tinggal hari ini? Bukan hanya serpihan bongkah batu atau debu pasir, tapi tinggalan sejarah dunia yang terpadam, kau tahu?"



"Aku ucap selamat berjaya untuk kau juga, moga kau mampu jadi sehebat Ratu Saba," aku cuba berkongsi sentimen dengannya.



Kami saling berpandangan, melagakan cangkir kopi lalu tertawa kecil. Bagai meraikan semangat baru meneruskan kembara di kota pelabuhan bergolak ini.



Malam mencecah dinihari, bulan kelam di langit al-Mukha seolah-olah mengerti gundah resah di jiwa warganya. Dalam diam- diam kami berdoa moga langit bersinar kembali di bumi ini.




BIODATA PENULIS



Soraya Salim giat menghasilkan karya kreatif seperti cerpen dan puisi. Berazam menjadi penulis prolifik, cerpennya pernah tersiar di majalah Tunas Cipta, Wanita dan Mingguan Wanita. Cerpen pertamanya di Berita Harian, Selendang Pua untuk Puteri, tersiar pada 6 Mac 2017.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >