Jam tangan itu nilainya $151,260
Penulis yang melihat dari luar cermin kedai
terus menjerit menuntut ilham
menikam, menyindir, mengecam
si pembeli keparat
alpa kebajikan kaum miskin melarat!
Setelah siap karya
mahu saja disebar marah
di akhbar dan majalah
agar dapat imbuhan tambahan
gelaran pejuang kemanusiaan
suara rakyat marhaen pujaan
mungkin juga wali kesusasteraan
si pembeli ialah penaja
pemangkin sayembara ternama
diadakan buat julung-julung kalinya
dan penulis itu sendiri ialah sang juara
membawa pulang $20,000 tempoh hari
berserta geran biaya pengayaan seni.