Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Permintaan

Mar 05, 2023 | 05:30 AM



PADA langit gelap itu, Ilhan menerbangkan sepasang matanya. Pandangan yang larut dalam malam makin surut di antara debur ombak yang meninggi. Pecahan air menghentam batu-batu karang dan burung-burung malam yang memekikkan keheningan membangkitkan kembali kepedihan tentang permintaan-permintaan dalam kehidupan. Mungkin malaikat akan turun memungut permintaan-permintaan itu, membawa semua pergi dengan sepasang sayap kepada Tuhan untuk dikabulkan. Tetapi fikiran Ilhan yang riuh tidak benar-benar bersendirian: gemerisik angin yang menyentuh nyiur dan daun-daun pada pohon-pohon seperti sebuah simfoni yang hendak melenakan jiwa-jiwa yang lelah. Dia duduk sambil menekuk lutut di atas pasir yang sentiasa berbisik lirih. Rasanya tubuh hendak tidur dalam nuansa tenang tenteram, sayangnya fikirannya tidak membenarkan sepasang matanya untuk terlena.



"Nasib?"



Ilhan menggelengkan kepala lalu tergelak bodoh. Dia tahu puluhan tahun ilusi tentang kedatangan malaikat penolong telah menguasai dirinya. Mana mungkin seorang manusia biasa yang setiap hari bertungkus-lumus peluh mencari sesuap nasi didatangi malaikat? Dalam banyak kisah yang tercatat atau diingat manusia, hanya orang-orang suci yang pernah melihat sepasang sayap malaikat pada hari-hari penuh pertolongan itu. Bukan Ilhan. Bukan lelaki payah yang sering kali terasa dipermainkan oleh takdir. Takdir yang kadang dia terima sambil mengelus dada dan kadang dia tolak dengan perasaan yang begitu ingin berontak. Takdir yang kadang dia mengerti dan kadang tidak dapat dimengerti sering kali pula terasa sedang bermain-main dengan kesabarannya.



Ilhan bangun lalu berjalan keluar ke arah sebuah bangunan kecil berwarna putih yang tidak jauh dari khemah biru yang didirikan. Di bangunan putih itu, dia segera membersihkan diri. Dia juga mengambil kesempatan untuk mencuci pakaian kotornya apabila keramaian manusia bersurai. Bangunan putih, khemah biru, pepasir putih dan pantai yang kini akrab dia jadikan teman. Teman? Ilhan tergelak kecil.



Beberapa khemah yang beraneka saiz dan warna mewarnai kawasan itu tampak begitu muram. Kelihatan pecahan warna keemasan mengisi langit gelap. Terdengar suara-suara orang terjaga dan juga dengkuran yang lelah. Mereka, orang-orang yang tidak memiliki rumah sama-sama menggantung harapan pada langit hampa nun jauh di sana. Ledakan jumlah penduduk dan pendapatan yang tidak memungkinkan untuk menyewa sebuah rumah menjadi isu yang membisiki batinnya terus-menerus. Khabar murung yang sentiasa ingin dia nafikan daripada pendengaran.



Ilhan mempercepatkan langkahnya ke bangunan putih itu. Dia tidak mahu bersua dengan penghuni-penghuni khemah lain, kerana itu akan membuat hatinya semakin sedih dan harapan semakin terasa jauh untuk dijangkau kedua-dua tangannya yang setiap hari tengadah di tepi jalan mengharap iba daripada sesiapa yang melintas. Dia tidak mahu mereka cuba berkawan dengannya. Dia lebih suka bersendiri. Hidup susah menjadi lebih mudah tanpa kehadiran mereka yang juga susah. Sama-sama orang susah akan saling menyusahkan jika saling kenal apatah lagi jadi kawan rapat, begitulah anggapan Ilhan.



Selesai mandi dan menukar baju bersih, Ilhan bergegas ke khemah birunya. Dengan pantas, dia menyimpan sisa barang-barang di dalam khemah. Sepantas kilat, khemah dibuka, dilipat dengan rapi lalu dimasukkan ke dalam sebuah beg. Selepas itu, dia membeli segelas kopi O nan hangat. Selesai sahaja dia minum, dia berjalan ke arah sebuah perhentian bas. Ditunggu bas yang akan membawanya ke sebuah pusat petukaran bas. Di situlah dia sentiasa menadahkan tangan dengan wajah mengharap iba untuk meraih simpati demi mendapatkan beberapa dolar.



Dibentangkan tikar lusuh, sebuah mangkuk tembaga yang diukir dengan kalimah-kalimah suci dan Ilhan duduk di atasnya. Ilhan mengeluh apabila melihat isi mangkuk tembaganya masih kosong, sementara dia telah duduk di sana selama dua jam. Dia menghela nafas yang panjang. Dia menutup mata. Kepalanya disandarkan pada tembok di belakangnya kerana merasa lelah dengan rutinitas hidup yang penuh pengharapan. Sekali lagi, dia mengharapkan ada malaikat yang turun untuk memungut doa-doanya. Sekali lagi, dia tidak dapat berfikir lain selain mengadahkan tangan dan wajahnya jauh ke kegelapan langit di antara lalu-lalang orang.



Clinggg!



Tiba-tiba kedengaran satu bunyi terjatuh. Ilhan dengan pantas membuka mata. Dadanya berdegup kencang.



"Ah, akhirnya!" Ilhan berbisik dengan gembira tetapi dengan segera dia menghembuskan nafas kecewa. "Mengapa lain yang kuminta lain pula yang aku dapat?" bisik hati Ilhan apabila dia melihat bahawa bukan syiling satu dolar yang jatuh ke dalam mangkuk tembaganya, melainkan sebuah buku kecil.



Diangkat buku itu. Dibeleknya. Lalu matanya liar mencari empunya milik buku kecil itu. Tiada. Anehnya keriuhan di kawasan itu ditenggelami dengan kesunyian. Ilhan membelek buku kecil itu. Disentuh tajuk buku kecil itu. 'Permintaan'. Ilhan pun membuka lembar demi lembar isi buku itu. Dia membacanya dengan khusyuk. Matanya bersinar apabila dia membaca sebaris ayat yang berbunyi:



'Mulakanlah pagimu dengan meminta kepada Tuhan nescaya kamu akan diberi!"



Ilhan membaca ayat itu berulang kali. Buat kali pertama, dia yakin harapannya tidak akan ditewaskan dengan sebilah kekecewaan. Ilhan bertekad, esok pagi dia 'kan mulakan dengan permintaan.



***



Ilhan membuka mata. Dengan pantas dia duduk lalu memandang langit nan masih gelap. Diangkat kedua-dua tangannya lalu membuat satu permohonan.



"Oh, Tuhan. Aku minta agar Engkau berikan aku rezeki. Aku akan bersyukur walaupun satu dolar sahaja Engkau berikan kepadaku."



Pada hari itu, Ilhan masih tidak meraih sesen simpati daripada lautan manusia yang lalu-lalang di kawasan dia meminta. Kembali dia berasa kecewa. Kembali dia semakin kecewa ketika tiba-tiba seseorang mengajaknya bicara.



"Pak Cik, ambillah roti dan air mineral ini. Saya perasan Pak Cik ada di sini pagi tadi. Ambillah, saya ikhlas."



Ilhan mendongak kepalanya dan melihat seorang perempuan remaja bertudung putih, berkurung putih dan berkain biru tersenyum sambal menghulurkan sebantal roti 'Gardenia' dan sebotol air mineral. Ilhan mengangguk kepala lalu mengambilnya. Gadis itu tersenyum kemudian bergegas pergi.



"Tuhan, aku minta satu dolar. Mengapa lain yang kuminta lain pula yang kuterima?"



Dengan rasa segenap hampa, dia membawa sepasang kakinya meninggalkan tepi jalan tempatnya sehari-hari menadah tangan.



Titisan air mata mengalir daripada sepasang kelopak matanya yang lemah dan banyak meminta. Mata yang sentiasa inginkan dolar, bukan yang lain. Dia mengesat air matanya. Sepanjang perjalanan pulang, Ilhan termenung.



Di pantai Sembawang, Ilhan mencari tempat yang sesuai untuk mendirikan khemah. Selepas itu, dia masuk ke dalam khemah tersebut. Dia duduk lalu makan roti yang diberikan remaja perempuan tadi. Dia meneguk air mineral tiga kali. Dikeluarkan buku kecil itu dan dibacanya lembar demi lembar isi buku tersebut.



Disentuhnya ayat yang berbunyi:



"Mulakanlah pagimu dengan meminta kepada Tuhan nescaya kamu akan diberi! Mintalah dengan yakin-seyakinnya!"



Ilhan tersenyum. Ditutupnya buku kecil itu. Dia rebahkan dirinya sambil menutup mata. Ayat-ayat itu berulang kali diputar dalam mindanya.



Pagi itu, Ilhan mengangkat tangan lalu berkata, "Oh, Tuhan! Hari ini aku meminta agar Engkau berikan aku satu dolar! Aku akan bersyukur dengan amat hanya dengan pemberian-Mu sebanyak satu dolar!"



Ilhan tersenyum. Dia yakin hari ini Tuhan akan memperkenankannya. Dia yakin dia akan dapat satu dolar hari ini! Dia sesungguh-sungguhnya yakin! Pernah dia dengar semacam itu daripada para hamba masa lalu pada zaman nabi-nabi terdahulu. Tuhan amat tahu bagaimana menghadapi doa-doa yang terdengar sangat kecil dan sedikit kurang sopan. Ilhan tidak seberapa tahu tentang bagaimana Tuhan memperkenankan doa seorang hamba. Dia juga tidak tahu bagaimana dahulu kaum Yahudi sentiasa mendesak Nabi Musa agar meminta banyak hal pada Tuhan untuk kesenangan mereka.



Clinggg!



Ilhan tersenyum. Di dalam mangkuk tembaga itu ada syiling emas satu dolar. Matanya bersinar-sinar kegembiraan. Diambil syiling itu. Dibelek-beleknya. Wajahnya berseri-seri. Senyumannya tidak terlepas daripada bibirnya. Pada hari itu, jelas sudah, Ilhan diperkenankan Tuhan.



Seperti biasa, Ilhan pulang dan mendirikan khemah birunya. Dia masih memegang syiling emas satu dolar itu. Dia tersengih-sengih. Dia menutup matanya. Lalu dipandang syiling itu seraya berkata, "Oh Tuhan, mengapakah Engkau berikan aku hanya satu dolar? Alangkah bagusnya kalau Engkau berikan aku lebih daripada itu!"



Pada keesokannya, Ilhan bangun dan mulakan harinya dengan meminta kepada Tuhan. Kali ini, dia tidak meminta satu dolar, sebaliknya dia mengharapkan Tuhan akan memberikannya lima dolar! Dia masih yakin Tuhan akan berkenan kepadanya. Dia sangat yakin. Kerana itu, pada hari itu, Ilhan berasa amat girang. Dia yakin ada malaikat yang turun ke bumi lalu berbisik kepada manusia agar membuat kebaikan. Pada hari itu, Tuhan telah membalas Ilhan bahkan lebih daripada itu!



"Wah, hari ini aku dapat tujuh dolar! Semalam satu dolar. Sekarang aku ada lapan dolar! Yahooo!" jerit Ilhan keriangan. Dikiranya jumlah yang dia dapat berkali-kali. Malam itu, Ilhan tidur dengan lena yang mengasyikkan.



Seperti pagi yang telah lalu, pagi itu, Ilhan membuka paginya dengan meminta kepada Tuhan. Kali ini …



"Oh, Tuhan! Aku hendak Engkau berikan aku 10 kali ganda daripada apa yang aku dapat semalam!"



Hati Ilhan semakin terlonjak kegembiraan. Hari itu, manusia menjadi pemurah. Mereka tidak teragak-agak menghulur bukan satu atau dua dolar tetapi wang kertas hijau, merah dan malah ada yang berikan wang kertas biru.



Hari belum benar-benar petang, Ilhan sudah memutuskan untuk pulang. Semakin bercahaya mata Ilhan melihat isi mangkuk tembaganya. Tanpa henti-henti dia mengucapkan terima kasih kepada manusia-manusia yang murah hati itu. Ilhan pulang dengan tergesa-gesa. Dia tidak sabar untuk menghitung jumlah yang dia dapat pada hari itu. Sepanjang perjalanan dia tersenyum kambing. Gelagatnya yang pelik membuat beberapa orang sangsi kepadanya.



Tanpa mendirikan khemah seperti biasanya, Ilhan duduk di bawah sebatang pokok rendang. Dikeluarkan segala isi daripada beg yang mengandungi wangnya. Dihitungnya jumlah yang dia dapat.



"Aku kaya! Aku kaya! Aku kaya!" teriak Ilhan.



Pada hari itu, Ilhan telah mendapat sebanyak seratus lima puluh dolar! Bererti, jumlah yang dia dapat selama tiga hari ialah seratus lima puluh lapan dolar. Dihitungnya wang itu berkali-kali. Apabila didapati langit semakin gelap, Ilhan pun terburu-buru mendirikan khemah. Dia masuk ke dalam dengan rasa girang. Dia tidak pernah berasa seseronok dan sebahagia ini. Dia sudah tekad akan minta Tuhan agar memberikannya… tiga ratus dolar! Ya, tiga ratus dolar! Ilhan mula menghitung.



Jika Tuhan menggandakan setiap permintaannya, dia akan menjadi orang kaya dengan cepat. Dalam sebulan, dia boleh mendapat tiga ribu dolar. Kalau setahun… wah, sudah puluhan ribu! Dengan wang itu, bolehlah dia dapat menyewa satu bilik lalu meninggalkan khemah di tepi pantai yang sudah membuatnya merasa sangat menderita itu. Jika semakin bertambah wang yang Tuhan berikan, tidak mustahil dia boleh menjadi jutawan! Itu tidak mustahil kerana dia pernah terbaca di akhbar tentang seorang peminta sedekah yang memliki satu juta dolar dalam akuan banknya!



***



Malam buta tidak peduli kepada orang-orang terlelap di dalam khemah. Sebahagian mereka yang diam-diam memeluk harapan untuk hidup yang lebih layak pada hari depan dalam ketidakpastian hidup dan sebahagian mereka sudah berpasrah diri sama-sama terbenam di dalam mimpi masing-masing. Begitu juga dengan Ilhan. Matanya berada antara tertidur dengan terjaga; berada di antara khayalan hari esok di mana Tuhan memperkenankan permintaannya agar menjadi orang kaya yang dahulu pernah diminta oleh seorang Qorun yang soleh sebelum dia terjerembab dalam nista kekayaan.



Keedeebbuummm!



Bunyi petir sabung-menyabung dan hujan lebat turun. Hujan semakin lebat sehingga kawasan Ilhan berkhemah dimasuki air. Ilhan panik. Dia cuba menyelamatkan barang-barangnya.



Sswwoosshhhhh…



Satu tiupan angin yang kuat telah membuat khemah dan segala milik Ilhan berterbangan. Dia melihat khemah-khemah yang lain pun terbang dibawa angin. Orang-orang memekik menangis. Suara bising riuh minta iba menggema antara suara debur ombak pada kegelapan laut yang semakin menambah nuansa muram. Wajah Ilhan memutih. Dia berdiri kaku. Mulutnya ternganga besar. Badannya kuyup dihujani air langit deras turun. Dia terhuyung-hayang disambar tiupan angin kencang. Ilhan hanya dapat berdiri kaku melihat segala miliknya terbang entah ke mana oleh angin kencang. Dia hanya dapat menangis hiba melihat wang kertasnya basah ditiup angin lalu ghaib daripada pandangannya.



Ilhan terpandang buku kecil di hadapannya. Buku itu terbuka. Ilhan melulut lalu mengambilnya. Dibacanya ayat yang berbunyi, "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat'."




BIODATA PENULIS



Noor Aisya Buang menulis sajak, cerpen dan juga esei.



Sajaknya pernah tersiar di akhbar Singapura, Malaysia dan Indonesia.



Buku himpunan puisi 'Kastil Aisya' memenangi kategori buku sajak pada Anugerah Persuratan Singapura 2015 dan disenarai pendek dalam Hadiah Sastera Singapura 2016.



Cerpennya 'Labirin' mendapat tempat ketiga bagi Anugerah Pena Emas 2017.



Buku kumpulan cerpennya 'Labirin Al Maut' memenangi (hadiah bersama) Merit dalam peraduan Hadiah Sastera Singapura 2020.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >