PAGI itu. Pagi Jumaat. Hari yang ke-27 kami semua berpuasa. Jam di dinding rumahku menunjukkan pukul 5 pagi. Kami sekeluarga bangun untuk bersahur. Aku keluar dari bilikku lalu menuju ke ruang makan yang bersebelahan dengan ruang dapur. Emak dan kakakku sedang menyediakan juadah untuk kami bersahur.
Emak sudah hampir tiga tahun hidup menjanda sejak ayahku meninggal kerana menghidap barah perut. Jadi, kami bertiga - ibu, kakakku yang masih belum berumah tangga dan aku yang masih lagi belajar di Politeknik Singapura - meneruskan hidup dengan sedikit simpanan dan sebuah rumah empat bilik peninggalan ayah. Kami semua reda dengan apa yang berlaku dalam keluarga kami.