Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Program Kak Fifi & Mimi terap dwibahasa, bidang Stem buat si cilik

Jul 31, 2023 | 05:30 AM



Membangunkan kemahiran dan keupayaan bertutur dalam dua bahasa adalah sesuatu yang amat dititikberatkan Cik Rafidah Jalil, sebagai seorang ibu.

Namun, beliau mendapati tidak ada banyak kandungan pendidikan bermutu tinggi dalam bahasa Melayu yang sedia ada di luar sana.

Bahkan, kebanyakan kandungan dalam bahasa Melayu yang beliau temui lebih menjurus ke arah keagamaan dan nilai-nilai moral – sesuatu yang penting, namun Cik Rafidah juga mahukan kandungan yang tertumpu pada topik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), seni dan juga warisan.

Itulah yang mendorong ibu tiga orang anak yang berusia 37 tahun itu untuk membentuk syarikatnya sendiri dan membangunkan program digital dwibahasa yang disampaikan dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu.

Dipanggil Program Teknologi Pendidikan Kak Fifi dan Mimi, program itu, yang disasarkan kepada kanak-kanak berusia lima hingga lapan tahun, memberi tumpuan kepada topik Stem, seni, pembelajaran sosioemosi dan warisan.

Syarikat beliau, Steamsel Edutainment, secara rasmi dibentuk pada 2022, dan beliau dan suami, Encik Mimrah Mahmood, merupakan pengarah syarikat tersebut.

“Gagasan bagi program ini timbul kerana saya ingin membantu mempertingkat anak-anak Melayu kita dan mempersiapkan mereka bagi kemahiran penting yang diperlukan dalam abad ke-21 ini.

“Pada masa yang sama, program ini juga bertujuan membangunkan kemahiran kanak-kanak menggunakan bahasa Melayu.

“Ramai guru berkongsi dengan kami bahawa sukar bagi mereka mencari kandungan bermutu dan moden yang boleh digunakan dalam bilik darjah.

“Oleh itu, kami cuba mencipta sesuatu yang bukan hanya boleh digunakan di rumah, bahkan di sekolah juga oleh guru,” kata Cik Rafidah, ibu kepada anak lelaki berusia enam tahun dan pasangan kembar berusia tiga tahun.

Kemahiran abad ke-21 merujuk kepada kecekapan penting bagi kanak-kanak pelajari dan raih demi mempersiapkan mereka untuk masa depan.

Ia termasuk kemahiran celik sivik, kesedaran sejagat, pemikiran rentas budaya, pemikiran kritis dan daya cipta, serta kemahiran komunikasi, kerjasama dan maklumat.

Berkongsi lanjut, Cik Rafidah berkata berdasarkan kajian yang dijalankan syarikatnya, mereka mendapati ramai anak-anak Melayu hari ini lebih selesa berbahasa Inggeris dan penggunaan bahasa Melayu juga semakin berkurangan di rumah.

Misalnya, kajian mereka menunjukkan hanya sekitar 60 peratus isi rumah Melayu hari ini bercakap dalam bahasa Melayu di rumah – jauh lebih rendah berbanding 97 peratus isi rumah Melayu yang menggunakan bahasa ibunda di rumah pada 1980-an.

Justeru, beliau berharap Program Teknologi Pendidikan Kak Fifi dan Mimi akan dapat memupuk minat dan membina kecekapan kanak-kanak membaca dan bertutur dalam bahasa Melayu dari kecil, di samping membangunkan kemahiran Stem, seni, warisan dan sosioemosi mereka.

Sebagai permulaan, tiga modul dirintis secara percuma di bawah Program Teknologi Pendidikan Kak Fifi dan Mimi itu.

Setiap modul menampilkan video yang boleh ditonton dan juga kertas kerja dan kegiatan yang boleh dilakukan setelah itu.

Bagi tiga modul pertama, Cik Rafidah berkata mereka mengetengahkan topik Ramadan dan Hari Raya.

Dalam setiap video itu, Cik Rafidah memainkan watak Kak Fifi yang bertutur dalam bahasa Inggeris manakala Mimi pula merupakan watak animasi yang bercakap dalam bahasa Melayu.

Misalnya, dalam modul ‘Apa Yang Berlaku Di Bazar Ramadan Geylang Serai?’, Kak Fifi dan Mimi membawa penonton berjalan-jalan di bazar sambil menyelitkan soalan dan kegiatan yang berkaitan dengan teknologi, kejuruteraan, warisan, matematik dan pembelajaran sosioemosi.

Antaranya, penonton akan dapat belajar tentang dari mana lampu Hari Raya Geylang Serai mendapat sumber kuasanya dan juga cara menggunakan kod QR.

Program itu akan melancarkan siri video satu penggal mengandungi sembilan modul pada Oktober atau November 2023.

Setiap modul berharga $10, namun jika ibu bapa memilih mendaftar bagi siri video satu penggal, ia lebih murah, pada harga $70, kata Cik Rafidah.

“Nasihat saya adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada bahasa Melayu dan topik Stem semasa zaman awal kanak-kanak untuk memupuk minat mereka.

“Kajian menunjukkan 90 peratus otak seorang kanak-kanak itu sudah pun berkembang pada usia lima tahun.

“Oleh itu, lebih awal kita perkenalkan dan dedahkan mereka kepada bahasa dan konsep pembelajaran, lebih mudah akan mereka fahami dan lebih mendalam minat mereka.

“Ini akan menggalak kejayaan akademik dan kerjaya untuk jangka panjang dan membantu dalam pembelajaran sepanjang hayat,” tambah Cik Rafidah.

Pendaftaran bagi Program Teknologi Pendidikan Kak Fifi dan Mimi boleh dibuat di laman https://kakfifiandmimi.com/.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >