Raungan pena selepas perpisahan

PERPISAHAN Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 menimbulkan trauma kepada orang Melayu, terutama di Singapura.

Antara penulis besar yang memaparkan kesedihan itu ialah Haron Mohd Amin (Harun Aminurashid atau Pak Har, 1906-1986) yang ketika perpisahan diumumkan sedang berada di Kampung Daling Besar, Kuantan, Pahang.

Seperti ramai orang dewasa ketika itu, beliau tidak dapat tidur memikirkan kesan politik dan penakatan selepas itu.

Bumi Melayu, menurut Pak Har, ibarat pohon kelapa yang banyak kegunaannya. Jadi, apabila perpisahan itu berlaku, Singapura yang majmuk dan dihuni orang Melayu yang kecil bak mumbang kelapa yang jatuh ke bumi selepas dimakan tupai.

Demikian tulisnya dalam buku Mengesan Jejak Pelayaran Munshi Abdullah (1966) yang mengungkap rasa kekosongan jiwa Melayu.

Walaupun Pak Har diangkat sebagai antara tokoh besar kemerdekaan di Malaya, beliau memilih untuk terus tinggal di tanah airnya Singapura.

Sehingga kini pencapaian penulisannya, terutama buku novel sejarah, masih belum dapat diraih mana-mana penulis Melayu.

Menurut Dr Hadijah, sekurang-kurangnya trauma tadi turut dipaparkan dalam dua buah novel iaitu Batas Langit (1996) karya Mohd Latif Mohd dan Satu Bumi oleh Isa Kamari.

Raungan pena Mohd Latif pada sebuah kampung di Geylang Road menjelang merdeka.

Watak utama ialah Adi, anak yatim (ayahnya penjudi yang akhirnya mati). Watak Adi yang merupakan lulusan sekolah Melayu dan Abang Dollah yang lulus aliran Inggeris (Senior Cambridge) mencerminkan kedewasaan berfikir terpapar dalam novel ini yang mengupas keperihan hidup sesudah perpisahan, kemiskinan dan keterabaian serta pelbagai masalah sosial.

Pohon jejawi (sejenis pohon pasilan iaitu pokok yang tumpang hidup di atas pokok lain dan lama-kelamaan membesar dan menggantikan pokok yang ditumpangi) dipaparkan secara simbolik.

Adi perlu pindah daripada kampungnya yang memberi jalan kepada pembangunan bandar. Dia mengukir kekata 'Malaysia' pada pokok itu yang tidak dapat dipeluknya kerana terlalu besar.

Selain novel tadi, Mohd Latif juga menyampaikan keperihan hatinya dalam melihat perbezaan orang Melayu di Singapura dan negara lain lewat puisinya yang terkenal, Melayuku Melayumu.

Isa Kamari memaparkan watak Irman, seorang jurutera, menemui Yassir, seorang penggali di Kuburan Bidadari yang terjejas oleh pembangunan bandar. Kubur neneknya, Aminah (@Swee Mei) akan dipindahkan.

Yassir yang berasal dari Nusa Utara (Malaya) menceritakan kisah perjuangannya dalam siasah di Nusa Selatan (Singapura).

Selepas dikecewakan Parti Keris, Yassir beralih ke Parti Angkatan Baru, tetapi dikecewakan lagi. Menurut Dr Hadijah, seimbas lalu watak Yassir seolah-olah mencerminkan almarhum Dr Yaacob Mohammed (1925-1989).

Aminah merupakan anak angkat Cina kepada Pak Durhakim. Dia rajin dan sanggup menyamar menjadi kuli wanita untuk mencari rezeki. Namun Aminah dibenci kaumnya sendiri - diperkosa sampai membawa mati ketika rusuhan pada perarakan Maulud Nabi. Durhakim juga terkorban.

Tinggallah anaknya Ilham (bapa Irman) dalam kedukaan tetapi dengan jiwa besar untuk membangunkan diri dan keluarganya.

Menurut Dr Hadijah, nada pesimisme merantai penulisan sastera Melayu di Singapura buat beberapa lama akibat kesan perpisahan.

Namun nada ini lebih pada generasi penulis aliran Melayu sebelum 1965 seperti Mohd Latif yang berasa tertipu dan tersingkir.

Sesudah detik itu, apabila aliran Melayu kian pupus, generasi penulis Melayu mula dididik dalam aliran Inggeris dan mula menampakkan tekad untuk bangkit membina jati diri.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 45
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.