Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Mencari Kristal - Karya 7/8

Retak

Nov 01, 2016 | 10:30 AM



Oleh Clarissa Nathania Goenawan



Pada mulanya, hari itu biasa-biasa saja. Aku tiba di rumah, berkeringat.



“Assalamualaikum,” ujarku lantang.



Senyap. Tiada sesiapa yang menjawab. Pelik, di mana Ibu?



Kuseret beg sekolahku masuk ke rumah. Walaupun saat tengah hari, ruang tamu terasa gelap. Semua tingkap ditutup. Kubuka mereka satu persatu, dan sinaran matahari membanjiri ruangan itu.



Di dapur, terdapat nasi goreng sambal belacan kegemaran Ayah di meja makan. Baunya pedas dan lazat, membangkitkan selera. Bahagiannya lebih kecil daripada biasa, tetapi pada masa itu, aku tidak berfikir panjang. Jika Ibu tidak di dapur, mungkin beliau berada di biliknya.



Seperti ruang tamu, bilik Ibu juga gelap kerana semua tingkap ditutup. Walaupun tidak banyak cahaya, aku boleh nampak Ibu berdiri di tengah ruangan. Beliau terdiam, dan dia terlihat amat tinggi. Aku menahan nafas. Bagaimana seseorang boleh tumbuh begitu banyak dalam satu hari?



Aku menundukkan kepala, dan mataku tertumpu kepada hujung kaki Ibu. Jari kakinya tidak menyentuh lantai. Beliau terapung, seperti malaikat.



Seutas tali mengelilingi leher Ibu dan terus menjalar tegak sampai ke kipas siling. Sebahagian daripada rambut beliau yang panjang terlilit ke dalam tali. Tidak jauh, kerusi kayu jatuh di atas lantai; satu-satunya saksi senyap apa yang telah berlaku.



#



“Cik Alya, saya turut berdukacita.” Pegawai polis itu menawarkan segelas air minum. “Ini masa yang sukar bagi keluarga anda.”



Aku memilih untuk diam. Di belakang beliau, pegawai lain sibuk mengambil nota. Dua penghawa dingin membuat bilik itu terlalu sejuk, tetapi mereka tidak peduli.



“Saya faham Cik Alya masih terkejut, tetapi terdapat beberapa soalan yang saya perlu bertanya.” Dia menatapku, menungguku minum seteguk air. Tetapi ketika jelas aku tidak akan menyentuh gelas itu, beliau terus bercakap, “Cik Alya telah memberitahu kami bagaimana anda menemui mangsa, tetapi adakah anda berfikir sebab mengapa beliau bunuh diri? Siasat awal kami menunjukkan bahawa beliau adalah seorang suri rumah yang disukai.”



Sekali lagi, aku tidak berkata apa-apa. Pegawai polis itu betul. Semua orang suka Ibu. Sopan dan bertimbang rasa, beliau sering berkongsi kuih dengan jiran-jirannya.



“Maaf jika ini nampaknya tidak sensitif, tetapi adakah masalah perkahwinan? Mungkin Cik Alya pernah menyaksikan ibu bapa bergaduh, atau mungkin salah seorang dari mereka ada kekasih?”



Aku menggeleng.



“Tidak? Tiada apa-apa? Semuanya baik?”



“Betul,” jawabku. “Semuanya baik.”



Beliau menarik nafas panjang. Aku boleh meneka apa yang ada dalam fikirannya. Jika semuanya baik, Ibu tidak akan gantung diri.



Pegawai polis itu memberiku kad nama. “Cik Alya boleh pulang. Jika ada apa-apa, sila berhubung.”

Aku menggumam ucapan terima kasih. "Surat yang Ibu tinggalkan… Bolehkah saya menyimpannya?”



Lelaki itu memberi senyuman bersimpati. “Saya akan cuba, tetapi saya tidak boleh menjanjikan apa-apa.”



Meninggalkan bilik itu, aku berdiri sendirian di koridor yang sepi. Aku merasa seolah-olah terperangkap di dalam mimpi ngeri.



Hanya pagi ini, aku masih sarapan bersama-sama Ibu dan Ayah. Ibu duduk di sebelah Ayah yang sedang membaca surat khabar. Angin meniup rambut Ibu yang panjang, dan beliau menyelitkannya ke belakang telinga. Sambil tersenyum, Ibu berkata,



“Makan banyak sikit, Alya. Kamu masih membesar. “



#



“Alya?”



Suara Ayah mengejutkanku. Beliau kelihatan letih. Ayah membuka tangannya dan aku berlari ke pelukannya. Kugigit bibirku kuat-kuat untuk menahan air mata yang memaksa ingin tumpah.



Maaf – empat huruf itu ditulis di atas sekeping kertas di dalam poket pakaian Ibu.



#



Seminggu kemudian, Ayah dan aku duduk terdiam di meja makan yang terlalu besar untuk dua orang. Aku masih tidak dapat membiasakan diri dengan kerusi kosong di sebelah Ayah.



“Alya telah menyediakan sarapan,” akhirnya aku memulakan bicara.



Yang kumaksudkan dengan sarapan adalah dua keping roti putih dengan jem kaya. Hari sebelumnya, roti putih dengan mentega kacang, dan sebelum lagi, roti putih dengan jem strawberi. Sekurang-kurangnya, hari-hari beza rasa.



Ayah tersenyum. Dia tidak pernah mengeluh walaupun setiap pagi kami makan roti putih. Beliau menghirup kopi secara dengan perlahan.



Harumnya memenuhi ruang kosong di antara kami. Di atas beg bimbit Ayah, terletak surat khabar. Sejak satu masa janggal ketika gambar Ibu terpercik di muka depan, Ayah memastikan tidak membaca akhbar di rumah.



Aku berdiri. “Ayah, Alya pergi sekarang.”



Beliau mengikutiku untuk membantu menutup pintu. Baju Ayah kusut, seperti tidak diseterika. Sarung kaki yang dipakainya dua warna kelabu yang berbeza.



"Malam ini Ayah bekerja lebih masa,” ujar beliau. “Boleh kamu membuat makan malam sendiri?”



Aku mengangguk.



“Baiklah. Selamat jalan.”



Aku terus memandang Ayah yang sedang mengunci pintu pagar. Beliau mendapatiku.



“Alya, lebih baik pergi sekarang jika kamu tidak mahu terlambat.”



Aku menarik nafas panjang. “Sebenarnya, ada sesuatu yang ingin saya tanyakan.”



“Apa yang kamu mahu tahu?”



Aku terdiam untuk seketika sebelum bertanya, “Adakah Ayah cinta Ibu?”



Beliau memandangku, terkejut. “Kenapa kamu perlu bertanya? Sudah tentu Ayah cinta.“



“Betulkah?”



“Alya, biarpun Ibu sudah tidak bersama kita, dia satu-satunya wanita untuk Ayah. Dia tidak boleh ditukar ganti, dan Ayah tidak akan berkahwin lagi. Adakah itu yang membuat kamu bimbang?”



Aku mengangguk. “Maaf, saya bertanya soalan pelik.”



“Tidak mengapa,” ujar Ayah. “Ini masa yang sukar, tetapi kamu mesti menjadi kuat. Ayah berjanji, Ayah akan sentiasa bersama Alya.”



Aku memaksa diriku untuk tersenyum. Kuucapkan selamat tinggal sambil menahan emosi. Pendusta, aku mengutuk Ayah. Bagaimana kamu boleh bohong dengan muka tak berdosa? Tidakkah kamu merasa bersalah?



Namun, akupun tidak bersikap benar. Aku tidak jujur dengan pegawai-pegawai polis yang menyiasat kematian Ibu.



Hatiku berdebar ketika aku teringat perbualan telefon Ibu dengan rakannya. Sebenarnya, aku tidak merancang untuk mencuri dengar. Aku hanya mahu mencari makanan ringan di dapur ketika aku mendengar suara beliau.



“Saya faham,” keluh Ibu. “Kamu melihat seorang wanita masuk ke kereta suami saya di depan sebuah hotel.”



Aku terkejut. Aku fikir aku salah dengar.



“Saya percaya kamu tidak berbohong.” Ibu menggigit bibirnya. "Sebenarnya, saya telah tahu tentang wanita itu untuk jangka masa yang panjang.“



Kutahan nafasku.



“Sudah banyak tanda-tanda. Masa kerja suami yang semakin meningkat, juga banyak hiburan pelanggan lewat malam. Saya sering jumpa kesan kosmetik pada pakaiannya. Dan apabila dia pulang lewat, saya boleh mencium wangian seorang wanita. Kadang-kadang pakaian saya hilang, hanya untuk kembali beberapa hari kemudian. Saya tidak naif. Saya tahu dia mempunyai seorang perempuan simpanan.”



Telingaku terasa terbakar. Ini adalah satu kesilapan. Ayahku adalah seorang lelaki mulia dan penyayang keluarga.



“Hanya kerana saya tidak berkata apa-apa, tidak bermakna bahawa hati tidak sakit,” lanjut Ibu, suaranya retak. “Tetapi apa yang boleh saya lakukan? Jika saya bertanya kepada suami, kami akan menghadapi hakikat bahawa perkahwinan ini rosak. Dan kemudian, apa yang mengikuti? Perceraian? Saya tidak pernah bekerja, hanya boleh memasak dan membersihkan rumah. Saya tidak dapat menyokong Alya dan saya sendiri.”



Hatiku hancur mendengarnya.



“Saya tahu saya hanya menyapu debu ke bawah permaidani. Saya tidak menyelesaikan masalah, tetapi saya lebih memilih berpura-pura tak tahu.



Kadang-kadang kebohongan lebih baik daripada kebenaran.” Ibu menarik nafas panjang. “Terima kasih kerana panggilan kamu. Saya menghargainya, tetapi saya tidak akan mengubah fikiran.“



Reaksi Ibu mengejutkanku. Bagaimana beliau boleh membiarkan Ayah menipunya?



Balik ke dalam bilikku, aku berfikir apa yang harus kulakukan. Aku perlu berbincang dengan Ibu. Terdapat masalah, dan kami perlu membaikinya.



Tetapi pada akhirnya, aku memilih untuk diam. Sama seperti Ibu, aku takut keluarga kami pecah. Selagi tiada yang berkata, semuanya baik.



#



Keluar dari teksi, aku berjalan melalui pintu hotel. Hatiku berdegup kencang. Penginapan di daerah lampu merah ini bukanlah tempat untuk seorang gadis remaja. Aku mencari jika ada pegawai sekuriti. Nasib baik, aku tak nampak mereka.



Mitsubishi Lancer Ayah diletakkan di antara kereta lainnya. Aku bersembunyi di belakang trak tidak jauh dari kereta Ayah.



Relaks, Alya. Relaks.



Aku cuba menenangkan diri, tetapi tidak berjaya. Tapak tanganku berkeringat. Aku memasukkannya ke dalam poket jaket dan hujung jariku menyentuh logam sejuk. Sejenak aku terkesima, tetapi aku tetap berdiri diam dan mencapai pisau dapur yang kubawa.



Waktu berjalan dengan lambat. Bunyi kenderaan yang berlalu mewarnai malam. Tersembunyi di bawah bayang-bayang, aku terus menatap sedan perak Ayah. 



Berapa lama beliau akan menghabiskan masa di bilik hotel? Adakah beliau akan keluar sendirian atau dengan perempuan simpanannya?



Kemarahanku memuncak ketika aku membayangkan Ayah membelai wanita lain walaupun jenazah Ibu baru sahaja dikebumikan. Wanita itu akan membayar kematian Ibu dengan hidupnya.



Pintu kaca terbuka dan seorang wanita berambut perang kerinting melangkah keluar. Dia memakai pakaian ketat serba hitam dengan potongan rendah dipadankan dengan kasut tumit menjulang tinggi. Di tangannya, dia membawa beg kecil.



Aku mencengkam pisauku. Walaupun dari jauh, aku mengenali beg kulit kegemaran Ibu. Ayah membawanya dari Paris, hadiah untuk Ibu saat beliau melahirkanku. Bagaimana Ayah boleh memberikan beg itu untuk perempuan simpanannya?



Wanita itu berhenti di hadapan sedan Ayah dan mengeluarkan kunci kereta dari beg Ibu. Aku berlari ke arahnya sambil mengayunkan pisau. Dia berpaling ketika aku menusuk bilah tajam ke dalam perutnya. Matanya melebar.



Berdiri begitu dekat, aku boleh mencium minyak wangi wanita itu. Kuat dan menggoda, inilah wangian yang Ibu jumpa apabila Ayah tiba di rumah lewat.



Aku terus memandangnya. Wanita itu bukan muda atau cantik. Mukanya dicat dengan lapisan make-up tebal. Dia kelihatan terkejut melihatku. Tidakkah dia berfikir ini akan berlaku apabila dia tidur dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin?



“Ini salahmu,” ujarku.



Aku menunggu wanita itu untuk cuba melarikan diri, tetapi dia hanya diam, seolah-olah meletak jawatan untuk takdirnya. Badannya merosot ke bawah, meninggalkan jejak darah di kereta. Kutarik pisauku. Noda merah terpercik di mana-mana. Wanita itu jatuh di atas tanah dan batuk darah.



Dengan segala kekuatanku, aku menendang dia lagi dan lagi.



Satu, dua, tiga, empat…



Rambut perangnya yang panjang jatuh dari kepalanya, mendedahkan rambut hitam pendek. Aku tersentak. Pisau tergelincir dari tanganku dan membuat bising yang kuat. Mulutku terbuka, tetapi tidak ada suara yang keluar. Penglihatanku menjadi kabur.



“Jangan menangis, Alya,” ujarnya. “Maafkan Ayah.”



Aku memandang dengan tidak berdaya ketika Ayah menghulurkan tangannya yang berlumuran darah. Sebelum menyentuhku, tangan itu terjatuh di atas tanah. Beliau memejamkan matanya, dan aku tenggelam ke dalam kegelapan.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >