Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Sang Pembunuh

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Sang Pembunuh

Daripada 35 karya cerpen yang dipertandingkan dalam peringkat akhir peraduan Mencari Kristal, lapan terpilih oleh juri untuk disiarkan dalam akhbar ini bagi memberi peluang pembaca mengundi pemenang. Cerpen berikut merupakan antara lapan yang terpilih. Mencari Kristal anjuran akhbar ini dengan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bertujuan membangun bakat penulis kreatif di Singapura.
Dec 05, 2016 | 05:30 AM



DI balik tabir tiada siapa yang tahu cara sebenar matinya Ismail. Tapi yang pasti dia sudah mati seperti yang dituntut oleh manusia yang berkuasa itu sendiri walaupun Allah Azzawajalla yang menentukan akan segala-galanya. Dan pada dirinya sendiri, dia sudah tahu yang dia akan mati.



Aku juga sudah pasti dia akan mati. Matinya sudah ditentukan dalam buku catatan setebal dua jilid.



Dan apabila masanya sudah tiba, nyawanya dicabut tanpa bicara. Direntap dengan kasar dan tanpa belas. Dan begitulah cara mati yang dituntut.



Mengikut perundangan bidang keadilan yang diwarisi sejak daripada zaman British lagi. Kemudian gabenor penjara yang mewakili pemerintah hanya mengeluarkan satu pernyataan pendek. Seorang banduan telah menjalani hukuman sampai mati subuh tadi.



Hukuman yang telah disabitkan dengan kesalahan membunuh yang dilakukannya dua tahun lepas.



Esoknya dalam akhbar tempatan termuat satu ruang kecil yang berjudul 'Pembunuh Jalani Hukuman Gantung'.



Berita yang disampaikan singkat. Maklumat yang dimuatkan ringkas. Yang ada hanya nama, umur dan kesalahan yang diketengahkan.



Diceritakan sedikit pembunuhan yang dilakukan itu dan reaksinya yang kosong apabila Hakim Besar menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.



Gambarnya tiada. Dan pembaca pula percaya bulat- bulat. Dengan membaca sepintas lalu sahaja. Ismail seorang pembunuh kejam mati digantung.



Pembunuh yang telah meragut satu nyawa yang tidak berdosa. Menuduh Ismail tidak cintakan sesama manusia. Dan orang kata dia tidak meninggalkan apa-apa dalam dunia yang fana ini. Tidak menabur bakti kepada bangsa dan negara.



Namun aku menyanggah sekeras-kerasnya. Tapi dalam senyap. Jika orang kata bahawa Tuhan tidak mencintai akan dirinya, aku akan beristighfar panjang.



"Tidakkah Tuhan itu Al-Waduud sifat-Nya. Dialah Maha Pencinta. Yang menginginkan segala kebaikan untuk seluruh hamba-Nya dan juga berbuat baik kepada mereka itu dalam segala hal dan keadaan."



..................................................................................



Malam sudah semakin jauh menuju ke penghujungnya. Ngigau aku terputus. Aku terus mencapai telefon bimbit yang tidak berbunyi. Aku menekan-nekan fungsi Missed Call. Kosong. Ruang SMS juga kosong.



Aku menantikan sesuatu. Suasana samar dalam kegelapan. Anehnya aku yang resah gelisah. Berita yang dinanti tidak tiba-tiba.



Aku menelentang kembali di atas sofa. Merenung dan membayangkan pertemuan terakhir Ismail dengan ketua algojo.



Orang yang akan menamatkan hidupnya. Perjalanannya singkat. Antara Bilik Menanti dengan Bilik Pelaksanaan hanya beberapa langkah saja.



Terlebih dahulu tangannya digari di belakang dan kemudian diikat agar ketat. Dengan perlahan dan payah dia mendaki tangga dua meter.



Sebaik saja dia berdiri di atas pintu perangkap berkembar kakinya diikat dengan ketat juga agar dia tidak dapat meronta dan mengelak.



Kemudian ketua algojo membisikkan "Moga Tuhan memberkati rohmu".



Tatkala ketika itu tangannya sudah tersedia memegang tuil lalu ditarik tanpa lengah.



Tanpa rasa bersalah dan perasaan belas. Serta-merta pintu perangkap berkembar platform terbuka. Zush! Tubuh Ismail menjunam jatuh ke bawah.



Thud!



Diikuti dengan tali merentap lehernya tanpa belas. Mematahkan saraf tunjangnya.



Lehernya terus patah berderak seperti dahan kayu pokok yang kering patah berderak apabila dipijak. Entah apa silapnya darah tersembur keluar.



Membasahi lantai platform. Mengotori platform. Kepala Ismail terpisah daripada badannya. Amat ngeri.



Seperti dalam filem yang menggentarkan. Thud! Badannya gugur seperti buah nangka yang busuk. Kepala terpelanting berserta dengan tali perut terurai-urai.



Terus bergolek jatuh dari platform ke lantai. Aku terkejut. Terperanjat dengan bayangan ilusi yang dilihat. Dalam fikiran terngiang-ngiang jika Ismail tidak sempat mengucap.



Pada masa yang sama teringat kalimah Allah dari surah As-Sajdah ayat 11 yang diucapkan oleh Ismail tidak putus-putus setiap kali aku menemuinya.



"Katakanlah (wahai Muhammad); Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu untuk menerima balasan."



Aku pernah diceritakan bahawa pada saat tali yang menjerut dibelitkan pada leher pesalah, rohnya sudah dicabut.



Maka dia tidak akan merasakan apa-apa lagi. Apa yang digantung hanya satu jasad kosong yang tidak punya roh.



"Aku mahu ditembak." Tegas Ismail sambil memandang kepada aku dengan penuh harapan. Aku mendiamkan diri.



Serba salah dibuatnya. "Bukan digantung mahupun disuntik." Tambah Ismail lagi. Bebola matanya bersinar- sinar dengan kesungguhan.



Pada wajahnya yang dulu muram dan sayu kini nampak tenang dan bersinar. Dadanya yang dulu sesak dan sebak tapi kini nampak lapang dan ringan.



Tapi kata-kata itulah yang diulang-ulangnya kepada aku setiap kali aku menemuinya di Bilik Pelawat bagi pesalah hukuman mati di Penjara Changi.



Dan sudah berulang kali aku menjelaskan kepadanya bahawa perlembagaan penguasa penjara akan menolak bulat-bulat permintaannya itu.



Walaupun aku belum lagi membuat permohonan secara rasmi kepada Pendaftar Kehakiman dan Mahkamah Agung.



Secara peribadi aku berani katakan bahawa permintaannya itu tidak berasas. Aku menganggapnya satu alasan yang lemah yang mahu menangguh hukuman dijalankan.



Satu helah untuk memanjangkan nyawanya. Sebagai peguam bela aku dapat rasakan permintaannya itu tidak munasabah untuk mencabar pihak Kehakiman dan Mahkamah Agung.



Semuanya sudah tercatat dalam perlembagaan negara perihal hukuman dan keadilan. Yang dihukum mati akan menjalaninya dengan digantung sampai mati.



Satu warisan hukuman yang masih lagi diguna pakai kerana dikatakan berkesan. Matinya Ismail tetap berpunca daripada jerutan tali gantung yang bakal mematahkan saraf tunjangnya. Lehernya akan patah berderak. Permintaannya itu akan berakhir di situ, di tali gantung.



"Tidak ada cara lain." Aku cuba menjelaskan kepada Ismail. Terasa geram kerana seolah-olah dia tidak mahu mendengar nasihat.



"Oleh itu hanya membuang masa memandangkan kesudahannya tetap sama. Engkau tetap akan digantung sampai mati." Sambung aku lagi. Tapi aku tidak menerangkan bagaimana proses penggantungan itu akan dilakukan kerana aku sendiri belum melihatnya.



Maklumat hanya berdasarkan pembacaan. Bahagian ikatan akan diletakkan pada bahagian lehernya yang dianggap dapat memberi kesan menjerut dan mengejut, iaitu di belakang telinga kanan. Ini akan memastikan saraf tunjang patah serta-merta apabila tali gantung merentap leher.



Tatkala ini berlaku penutup kepala akan mengelembung. Serentak itu hembusan udara terkeluar daripada hidung dan mulut apabila tali mencerut tajam.



Mayatnya akan dibiarkan tergantung antara 10 hingga 20 minit bagi memastikan dia benar-benar mati. Mukanya akan berwarna ungu dan bakal terdapat kesan luka dan lebam yang dalam. Membesar dengan darah. Lidahnya membengkak dan terjelir keluar. Matanya terbeliak dan terjojol keluar juga. Kesan kencing dan najis yang terkeluar apabila dijerut meletak pada seluar yang ketat.



"Adakah Tuhan akan cintakan aku?" Tiba-tiba Ismail bertanya kepada aku.



Rasa tersentak seketika. Satu pertanyaan antiklimaks yang membuat aku tersipu-sipu menahan senyum dan menggeleng tidak menduga. Hakikatnya aku sendiri tidak dapat menjawabnya. Aku tidak tahu kerana bukan aku yang menentukannya.



Aku juga manusia biasa hasil ciptaan-Nya. Semasa kecil aku diberitahu Tuhan hanya cintakan manusia yang berbuat baik dan tidak berbuat dosa.



Jadi bagaimana dengan Ismail?



Seorang pembunuh. Payah bagi aku hendak berterus terang kepadanya.



"Sudahlah Ismail, semuanya di tangan Tuhan sekarang. Banyakkan sembahyang, doa zikir. Minta ampun banyak- banyak. Engkau sendiri kata Tuhan itu At-Tawwaab yang bersifat Al-Mujiib." Syor aku teragak-agak.



Satu jawapan pasif sebagai jalan keluar menjawab pertanyaannya itu. Ismail tersenyum. Seperti ada kelucuan dalam kata-kata aku yang serius itu. Aku dapat rasakan dia dapat menilai kejujuran aku dalam memberi jawapan.



"Kata-kata engkau sama dengan Ustaz Yazid, Warden Johns." Balas Ismail.



Kata-kata Ismail itu seperti menyindir diri aku. "Dekatkan dengan Tuhan! Tapi yang aku nak tahu adakah Tuhan cintakan aku!" Tegas Ismail.



Aku mendiamkan diri. Terfikir-fikir. Cuba mencari jawapan yang sepadan dengan pertanyaannya itu.



"Ustaz Yazid akan baca "Laa tahzan innallah hama'ana! Kepada aku." Ismail bercerita. "Kau tahu maknanya?"



"Entah!" Jawab aku singkat. Pada fikiran aku, dia cuba menduga pengetahuan agama aku.



"Janganlah engkau berduka sesungguhnya Allah bersama kita. Dari surah At-Taubah ayat 40." Seorang pembunuh mengajar seorang peguam cendekia.



"Aku kira Tuhan mencintai seseorang itu jika dia mencintai Tuhannya." Jawab aku sebagai penutup perbualan masalah kecintaan Tuhan kepada seorang pembunuh yang bakal menjalani hukuman mati. Ismail tergelak. Aku tersipu.



Hanya hati aku saja menggeledak. Terasa seperti dia mempersendakan kecetekan pengetahuan agama aku. "Islam aku terlalu mentah. Kini aku kembali pada-Nya. Cinta pada-Nya seratus peratus."



Aku mengangguk.



"Aku pernah meragut nyawa orang dan kini aku cintakan Tuhan. Itu sebab aku mahu ditembak! Tidakkah itu pelik pada engkau?" Dan aku akui ia satu permintaan pelik. "Apa kaitan ditembak dengan dicintai Tuhan?"



"Kematian aku dengan ditembak bakal membawa sejambak kebahagiaan pada manusia yang malang." Katanya. Cuba menjelaskan pilihannya yang pelik itu. "Peta resah mereka akan berubah wajah. Derita mereka tidak akan dibiarkan terus dijeruk oleh takdir."



Aku termangu. Cuba menangkap apa yang tersurat.



"Apabila satu pintu ditutup, pintu lain dibuka pula." Jelas Ismail. Aku menantikan penjelasannya.



"Kini aku mahu gantikan nyawa yang aku cabut itu. Adakah organ aku jijik juga kerana tuannya pernah membunuh?"



"Organ aku dapat selamatkan orang. Organ aku akan berbuat baik pada orang."



"Dengan cara ditembak?"



"Dengan ditembak, banyak organ aku dapat digunakan." Itulah penjelasannya. Dan aku akur dengan permintaannya. Walaupun aku tahu pesalah yang mati digantung organnya tetap boleh digunakan walaupun bukan semua. Dengan zikrullah tenanglah hatinya.



Terasa dicintai oleh kuasa yang lebih agung.



"Baiklah aku akan cuba." Lalu bingkas dari kerusi dan ingin menuju ke pintu keluar. Ismail tersenyum.



"Bismillahi Syafi, Bismillahi Kafi, Bismillah Mua'fi. Benarlah, apa yang berlaku sudah ditentukan. Hanya kepada-Mu juga tempat kami mengadu," sahut Ismail.



Langkah yang diorak terhenti. Aku terkejut. Ada sesuatu seperti menahan aku. Tersentuh dengan apa yang diucapkannya. Aku menoleh ke belakang. Tidak terfikir ayat yang pendek tetapi indah bunyi.



Ismail tidak menyalahkan Tuhan dengan nasibnya. Jauh sekali menyesali ketentuan.



...................................................................................



Ajal dan maut telah ditentukan Allah. Tiada siapa yang boleh menunda-halang ketentuan-Nya ini. Menjadi suratan takdir. Tapi permintaan Ismail diperkenankan pada pagi itu. Tuhan mungkin sudah membalas cintanya. Wallahuaklam bissawab. Aku membuat tekaan. Amin.



Aku memanjatkan syukur. Namun kisah ini tidak aku ceritakan kerana terikat dengan Official Secrets Act. Dia mati ditembak bukan digantung. Dan tujuh nyawa dapat diselamatkan. Permintaannya telah dilaksanakan. Tapi dengan kerahsiaan.



Infografik: YAZID BIN HUSSEIN: Cerpen 'Sang Pembunuh'




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >