Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Semangat Pecut

Oct 29, 2017 | 12:00 AM



SEBAGAI kerjaya, aku hanya seorang guru. Mengajar subjek Sejarah. Dan pada masa yang sama menjadi guru kelas. Selain itu menjadi guru penasihat merangkap jurulatih pasukan olahraga sekolah.



Tahun ini aku mempunyai sasaran. Telah aku letakkan matlamat. Bercita-cita tinggi. Setinggi puncak gunung. Telah aku pahatkan tujuan yang menggunung walaupun tidak setinggi langit.



Awal-awal lagi sudah aku semai dalam setiap hati dan fikiran anggota pasukan olahraga sekolah bibit-bibit kejayaan. Merangkul pingat mahupun piala. Dengan sekurang- kurangnya dapat masuk final perlumbaan olahraga peringkat nasional. Kemudian menang.



Kedudukan tempat ke berapa tidak menjadi persoalan. Malah aku tidak kisah warna pingat yang dimenangi. Mahupun piala yang sebesar kenit yang dihulurkan. Asalkan dapat pingat ataupun piala kemenangan. Gangsa adalah kejayaan. Perak adalah kejutan. Emas adalah bonus. Kecil adalah kebanggaan. Besar adalah menakjubkan.



Yang penting, aku jelaskan kepada para pelari wakil sekolah, sekurang-kurangnya ada pelajar aku yang berdiri di pentas kemenangan. Dipanggil namanya. Kemudian dikalungkan dengan pingat kemenangan. Mahupun dihulurkan piala kemenangan. Dengan itu setidak-tidaknya salah seorang daripada mereka mesti mendapat sebutir pingat mahupun piala kemenangan.



Sudah lima tahun pasukan olahraga sekolah ketandusan kejayaan. Tahun tenggelam dan tahun menjelma. Tidak meraih apa-apa pingat sebagai bukti kemampuan dan peningkatannya. Tidak ada sebutir pingat atau piala sebesar kenit yang dapat diletakkan dalam almari kaca sekolah. Malah boleh dikatakan aku kempunan melihat pengetua sekolah menyampaikan baik pingat mahupun piala kepada anggota olahraga sekolah di pentas. Kemudian tepukan gemuruh mengiringi setiap langkah mereka.



Ada kala terasa iri dan sakit hati juga bila ada kumpulan ko-kurikulum lain naik ke pentas kerana menang. Kemudian nama guru penasihat disebut. Disusuli dengan tepukan gemuruh. Sebagai satu penghargaan kerana membawa kegemilangan kepada sekolah.



Kerana sangat-sangat hendak merealisasikan impian dan jurulatih berjaya, iaitu pasukan olahraga naik ke pentas kemenangan, aku nekad mengambil jalan pintas kejayaan. Membuka pintu segala kemungkinan. Secara diam-diam dan terancang aku melakarkan satu strategi yang aku anggap bijak lagi berkesan. Yang tentunya boleh menghasilkan kemenangan yang aku dambakan selama ini.



Kini tumpuan aku hanya pada satu. Perlumbaan yang dapat membawa keuntungan kepada aku. Bukan lagi mengambil bahagian dalam semua perlumbaan. Pasukan lari berganti-ganti 4x100 meter perempuan. Kerana aku sudah dapat melihat akan potensi keempat-empat anak didikku. Kederasan larian mereka aku anggap amat menakjubkan. Tenaga pecut mereka tiada tandingan di sekolah. Malah semangat mereka untuk menang amat semarak menyala.



Tatkala ditanya sebab-sebab aku membuat pengkhususan perlumbaan, aku memberi pelbagai alasan. Dengan itu segala tenaga dan sumber dapat disalurkan pada acara perlumbaan yang mampu memberi kejayaan.



Pulangan yang aku harapkan. Dan secara senyap-senyap pulangan yang sekolah harapkan juga. Aku menatap setiap wajah anak didik aku yang menjadi wakil sekolah dalam acara lari berganti-ganti 4x100 meter. Nampak kegugupan yang ingin disembunyikan mereka. Ini masanya untuk kamu semua fokus. Jangan fikir apa-apa lagi. Harus tenangkan diri. Tumpuannya adalah fokus, fokus, fokus. Seru aku.



Mereka mengangguk. Tanda memahami akan seruan aku. Tiada seorang pun yang memejamkan mata. Mata mereka meliar memandang aku. Peluh pula sudah bertapak pada muka mereka. Segala-galanya dalam tangan kamu semua. Berikan tumpuan sepenuhnya. Tegas aku pula. Memberi mereka kata-kata perangsang.



Aku juga terikut berpeluh. Cuaca petang itu sedang-sedang panas keadaannya. Baik untuk acara perlumbaan larian pecut. Jangan fikir apa-apa lagi. Hanya fikirkan garisan penamat. Lari sekuat hati kamu. Saya pasti kejayaan sudah ada dalam genggaman kita. Aku terus memberi kata-kata perangsang. Agar terus membakar semangat pecut mereka.



Aku tahu mereka semua berdebar-debar. Aku juga berdebar-debar. Catatan masa yang dibuat semasa peringkat separuh akhir membuktikan pasukan lari berganti-ganti 4x100 meter yang aku bimbing ini mampu mencatatkan sejarah. Mampu membawa pulang pingat. Degupan jantung mereka terus terlompat-lompat. Tekanan darah juga menaik ke atas. Hakikatnya aku juga seperti mereka. Cuma tidak mahu menunjukkan keadaan aku ketika itu kepada mereka. Aku hanya mampu melempar senyuman dalam menyembunyikan debaran. Ingat pesan saya.



Satu pengumuman dibuat oleh pihak penganjur. Semua atlit acara lari berganti-ganti 4x100 meter melaporkan diri ke tempat pendaftaran. Sudah bersedia? Tanya aku dengan suara yang tinggi. Mahu membangkitkan keghairahan mereka berlari. Mereka berjalan di kawasan kami memberi pandangan. Ada yang melirik mata.



Sudah! Balas pasukan aku serentak. Dalam satu sahutan suara. Aku tersenyum. Puas hati dengan respons mereka. Go team go! Kata akhir aku kepada mereka. Sambil menunjukkan thumb up. Para penyokong sudah mula resah. Perlumbaan akan bermula sebentar lagi. Ada yang sudah mula menyanyikan lagu sekolah. Ada yang membalasnya dengan menyorak sorakan dengan penuh semangat. Hingga tegang anak tekak. Hingga menonjol urat-urat di leher bagai hendak putus. Bagi membangkitkan semangat pecut wakil masing-masing.



Phang! Perlumbaan lari berganti-ganti 4x100 meter dimulakan. Kegemuruhan penonton mula mengisi ruang stadium. Tepukan dan sahutan terus menggegarkan stadium. Diikuti dengan sorakan-sorakan yang melodinya tiada selari lagi.



Tanpa aku sedari tangan aku mengarah- garah pelari pertama berlari lebih pantas. Nafisah terus memecut semampunya. Aku di tepi balapan sudah terpekik-pekik. Memberi arahan. Rihadatul bersedia. Bersedia terima baton. Seru aku dengan suara yang kuat.



Rihadatul terus berdesup lari dengan baton di tangan. Aku terus terlonjak-lonjak. Sambil memberi arahan. Sudah kelihatan tiga kumpulan berada di depan.



Hikmah bersedia. Pekik aku. Penonton semakin teruja. Bunyi gemuruh semakin menebal dalam stadium. Hikmah berjaya menyambut baton dengan baik. Terus ligat berlari tanpa menoleh ke belakang. Semangat pecutnya sudah membakar.



Seperti yang diduga. Pelari ketiga aku sudah dapat mengatasi semua pelari ketiga dari sekolah lain. Hikmah sudah berada agak jauh di depan. Aku terus melonjak kegembiraan. Sudah terbayang kemenangan dalam tangan. Aku memberi arahan kepada Masyitah pula supaya bersedia menerima baton daripada Hikmah. Aku terus terlompat-lompat. Terkinja-kinja kegembiraan.



Keadaan semakin riuh. Gemuruh penonton terus bergema kuat sehingga menenggelamkan suasana. Tapi kebanyakannya dengan hilaian ketawa. Berdekah-dekah. Melihat aksi yang jarang- jarang dilihat.



Apa pelari kau ambil steroid ke Hud? Tegur Cikgu Mikhyle. Yang melintas di depan aku. Sambil tersengih. Dengan mulut terbuka sedikit. Menampakkan giginya. Aku hanya mampu tersenyum saja. Terasa dia menyindir aku dengan kata-kata yang menusuk kalbu. Aku pasti kalau anak didik aku dengar tentu mereka akan terasa. Terluka dengan dalam. Lebih-lebih lagi ketika mereka sedang bersedih sekarang. Aku pasti kata-kata itu akan secara langsung membunuh semangat mereka.



Aku tahu dia mahu mengenakan aku. Tapi hubungan kami tetap mesra walaupun terdapat semacam persaingan antara kami. Terbina sejak sama-sama mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Nasional.



Nasib. Balas aku selamba. Sambil menghulurkan tangan untuk berjabat dengannya.



Tahniah! Tambah aku lagi. Cikgu Mikhyle menjadi terpinga-pinga.



Kenapa? Tanyanya.



Sebab sama-sama kalah. Jawab aku. Mengenakannya. Sambil ketawa dan menunjukkan jari ibu dinaikkan.



Pagi ini aku sempat membaca suratkhabar kerana datang awal ke sekolah. Masa yang terluang ini sementara menantikan waktu perhimpunan sekolah aku gunakan untuk membaca suratkhabar. Seperti biasa ruang Sukan menjadi halaman sasaran utama aku.



Singapura Masuk Final. Bunyi tajuk kepala dalam ruang Sukan. Menarik. Kata aku. Memang sudah lama aku menantikan kejayaan seperti ini. Aku terus terpanggil membaca liputannya. Pasukan lari berganti-ganti 4x100 meter perempuan Singapura berjaya masuk final dalam Sukan Asia. Aku menghela bangga. Kemudian meneruskan pembacaan. Tertera nama Noor Hikmah Azman. Nama itu terus menjadi tumpuan aku. Dia pelari terakhir.



Dengan nama itu aku meneka pelari yang sama. Pelari yang meninggalkan nostalgia. Tidak seperti tujuh tahun lepas. Dia pelari ketiga. Pelari yang terus berlari ke garisan penamat tanpa menyerahkan baton kepada pelari keempat. Rupa-rupanya dia tidak patah semangat. Semangat pecutnya tetap membara.




BIODATA PENULIS



Yazid Hussein guru Bahasa dan Sastera Melayu yang aktif dalam bidang penulisan kreatif dan kritikan. Beliau pemenang hadiah utama Mencari Kristal anjuran SPH-NAC dan pernah dianugerahi juga hadiah Anugerah Persuratan Melayu MBMS, Sayembara Noktah Putih dan Sayembara Novel Temasek. Yazid juga dianugerahi hadiah utama Hadiah Sastera Singapura 2014 bagi Kumpulan Cerpen Armageddon dan hadiah pujian Hadiah Sastera Singapura 2012 bagi novel Dongeng Utopia: Kisah Cek Yah. Buku-buku terbarunya ialah Mencari Pengertian, Hadiah: Antologi Sajak, Anugerah: Antologi Cerpen, dan Kanvas Kehidupan: Kumpulan Sajak. Beliau Tokoh Muda Mas (2007).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >