Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Sikap

Apr 30, 2023 | 05:30 AM



HUJAN tidak menghalang kumpulan wanita masjid ini berkumpul di kedai kopi langganan mereka.



Seperti biasa, pada 8 pagi, Jumaat merupakan masa mereka memenuhi tempat duduk di meja di bahagian penjuru kedai itu yang sudah ditempah oleh Latifah seawal 10 minit sebelum yang lain tiba. Mungkin juga pelanggan yang biasa ke kedai kopi ini sudah memahami tempat itu perlu dikosongkan untuk mereka berempat.



Latifah menyandarkan payungnya yang basah tetapi telah ditutup ke dinding sebelah meja yang ditempahnya. Tidak elok dia membuka payung itu dan membiarkan di laluan supaya kering.



Dia punya perasaan timbang rasa kepada pelanggan lain yang akan lalu di situ. Mengeringkan payung terbuka di situ bukan sahaja menghalang lalu-lintas malah air yang menitis dari payung akan membasahi lantai. Ini membahayakan mereka yang lalu di situ.



Sikapnya ini diikuti oleh tiga kawannya yang lain. Selesai mengurus payung, masing-masing mengebas-ngebas hujung kain pula untuk menanggalkan air hujan yang cuba menumpang.



"Minggu depan sudah Ramadan," suara Mariam sambil membetul-betulkan hijabnya yang tadi terkait payung semasa dia menutupnya.



"Kelas agama kita ditutup sebulan," sampuk Milah yang membetulkan duduknya.



"Apa program kita sepanjang Ramadan itu?" tanya Sufiah yang sudah duduk dengan selesa walau terasa basah kain di bahagian bawahnya yang terasa sejuk di kakinya.



"Kita jumpa di sini jugalah," kata Latifah yang seakan-akan tidak mahu terputusnya pertemuan rutin mereka.



"Kan puasa. Takkan kita hendak sarapan lagi macam ini…." celah Sufiah.



"Ya…aku tahu kita puasa. Kan kita boleh tukar waktu.." jelas Latifah cuba membenarkan katanya tadi.



"Sudahlah…. tinggalkan hal itu dulu. Hujan-hujan ini buat aku bertambah lapar pulak," celah Mariam yang sudah menyelesakan dirinya duduk di kerusi. "Ayuh kita pesan makanan," tambahnya.



Masing-masing bangun hampir serentak seperti pelajar-pelajar madrasah yang disuruh oleh gurunya.



Dengan kepercayaan yang sedia ada, tidak akan ada orang mengambil barang kepunyaan mereka, barang-barang itu ditinggalkan di atas meja dan ada juga yang disangkut di kerusi lalu mereka menuju ke gerai Cita Rasa milik Hajah Timah.



Walaupun sudah jadi pelanggan biasa dan dikenali oleh semua pembantu Hajah Timah, mereka juga perlu beratur. Yang dulu didulukan.



Kecekapan mengendali gerai, membuat pelanggan tidak perlu beratur lama. Ini membuat mereka puas hati membeli makanan di gerai itu selain daripada rasa makanan yang memang sedap.



Mereka kembali ke meja yang ditinggalkan tanpa penjaga. Masing-masing dengan hidangan sendiri-sendiri. Mi rebus, mi siam, lontong dan nasi lemak. Semua menyelerakan apatah lagi dengan cuaca yang menyejukkan. Hujan sejak jam empat pagi tadi walaupun sudah kelihatan reda sedikit.



Di tepi meja sudah menunggu perempuan Cina berusia dalam lingkungan 50an memakai baju-T hitam. Dia mengepit sebiji dulang bulat dan di tangan kanannya memegang sehelai tuala lembap yang sudah lusuh.



"Nak minum apa? Dia sudah tunggu," Mariam bersuara apabila terlihat wanita Cina itu. Hampir serentak mereka bersuara, "Kopi-O."



"Kopi-O empat," Mariam membuat pesanan dan membereskan harga empat gelas kopi-o kepada wanita Cina itu.



Beberapa minit kemudian, wanita Cina itu datang semula. Kali ini membawa empat gelas kopi-O di dalam dulang yang dikepitnya tadi. Dia menghidangkan satu persatu kopi-O itu di atas meja dan menganjaknya dengan perlahan ke setiap anggota kumpulan wanita masjid itu.



Setiap anggota kumpulan menerima dengan girang sambil melihat wap yang keluar dari kopi panas itu lalu lesap dalam udara pagi yang sejuk.



"Bismillahirahmanirahim…" suara keluar dari setiap mulut wanita yang duduk mengelilingi meja. Air kopi-O panas dihirup perlahan untuk menghangatkan mulut yang akan menjalankan tugas untuk menerima suapan, mengunyah dan menghabiskan makanan yang dibeli tadi.



Suasana senyap sekejap. Masing-masing tertumpu kepada makanan masing-masing.



Tumpuan untuk menikmati rezeki yang diberi Allah pagi itu. Rezeki yang akan memenuhi ruang perut yang ada orang menganggapnya sebagai tong sampah.



Dari tempat inilah semua yang dimuatkan akan diproses untuk menghidupkan tubuh yang diharap dapat bertahan beberapa puluh tahun.



Inilah kekuasaan Yang Maha Berkuasa. Menghidupkan dan mematikan.



"Alhamdulillah," terdengar suara mereka yang telah selesai menunaikan kewajipan memenuhkan perut dan diikuti dengan tegukan air kopi-O untuk melancarkan dan membersihkan sisa yang tertinggal di dalam mulut agar turut bersama dengan apa yang telah berada di dalam perut.



Memang tidak digalakkan melakukan pembaziran. Terutama terhadap makanan yang dimakan.



Masing-masing mula menyusun pinggan dan mangkuk kecuali gelas kopi-O. Milah dan Sufiah secara sukarela mengangkat pinggan dan mangkuk itu untuk diletakkan di tempat pulangan pinggan mangkuk yang telah digunakan.



Sekembalinya mereka, bualan antara Mariam dengan Latifah sudah bermula tentang pertemuan minggu hadapan.



"Tak payah berjumpalah. Sebulan aja. Kita pun sibuk dengan tarawih," saran Milah.



Semuanya diam seketika. "Betul juga kata Milah itu. Kita boleh jumpa waktu tarawaih," Mariam membenarkan kata Milah. Yang lain tidak bersuara tanda setuju.



"Tahun ini bazar dibuat sangat besar," Sufiah mulakan perbualan untuk memecahkan kebungkaman.



"Aku kurang pasti tujuan bazar itu diadakan secara besar-besaran macam itu," rungut Latifah.



"Untuk mudahkan kita berbelanjalah," sahut Milah.



"Banyak lagilah duit keluar," tegur Mariam.



"Kata untuk beraya," tambah Milah lagi.



"Untuk beraya pun, janganlah sampai membebankan diri," nasihat Mariam.



"Itulah aku kurang faham. Bazar itu untuk memudahkan kita atau untuk menguntungkan peniaga dan penganjur," kata Latifah.



"Aku dengar gerai-gerai itu sewa atas sewa. Ada yang sampai tiga kali lipat penyewa. Pelanggan yang terpaksa tanggung kos sewa itu. Betul memeras," sambung Latifah.



"Anehnya, orang Melayu kita tidak peduli hal ini. Mereka sanggup membeli walaupun sudah tahu mahal," kata Mariam. "Setahun sekali, kata mereka," tambah Mariam.



"Kata-kata setahun sekali inilah yang membuat mereka bergolok bergadai," sampuk Sufiah.



"Entahlah…kadang kala aku sendiri tidak faham sikap orang kita ini. Belanja untuk sekolah anak-anak, mereka berasa berat tapi belanja untuk macam ini, tidak memberatkan mereka," keluh Mariam.



"Bukahkah pelajaran anak-anak itu sangat penting?" tambahnya lagi.



Terdiam yang lain. Adakah kerana mereka terlanggar batang hidung dengan apa yang disuarakan Mariam itu. Atau mereka sedang berfikir untuk menambah pandangan Mariam itu.



Daripada air muka, nampaknya kata-kata Mariam itu terkesan kepada mereka.



"Kata Mariam itu ada betulnya," sampuk Latifah. "Aku sendiri kurang beri perhatian terhadap pelajaran anak-anak aku. Nasib baik ada suami aku.



"Dia yang beri perhatian penuh terhadap pelajaran anak-anak aku. Dia yang buka buku-buku anak aku dan dia juga selalu memberi semangat kepada anak-anak aku supaya belajar," jelas Latifah.



"Kau, Milah macam mana?" tanya Mariam.



"Aku macam biasa,"



"Apa maksud kau, macam biasa?" tanya Latifah.



"Anak aku mesti selamat balik dari sekolah dan ada makan minum yang aku sediakan untuk mereka," kata Milah bersahaja.



"Itu aja?" tanya Latifah lagi. "Bagaimana dengan pelajaran sekolah mereka?" soalan tambahan dari Latifah yang macam tidak puas hati.



"Pelajaran mereka ok," kata Milah.



Mariam kelihatan gelisah dengan jawapan Milah itu. Dalam hatinya terfikir, "Beginilah keadaannya. Ramai masyarakat Melayu kita yang ambil ringan terhadap pelajaran anak-anak mereka.



"Mungkinkah sara hidup yang membuat mereka bersikap demikian?



"Kalaulah perkara sara hidup menjadi punca, ramai bangsa asing juga bermasalah tentang sara hidup tapi anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran." Mariam tidak ajukan apa yang difikirkan ini kepada Milah. Dia takut akan tersinggung perasaan Milah.



"Semuanya kerana sikap. Hendak seribu daya," Mariam membuat keputusan untuk menghentikan perkara yang mengganggu fikirannya.



Hujan sudah reda, sereda fikiran Mariam tentang sikap orang Melayu terhadap pelajaran anak-anak mereka. Mereka pun bersiap untuk ke masjid... kuliah terakhir sebelum Ramadan tiba.




“Beginilah keadaannya. Ramai masyarakat Melayu kita yang ambil ringan terhadap pelajaran anak-anak mereka.



Mungkinkah sara hidup yang membuat mereka bersikap demikian?



Kalaulah perkara sara hidup menjadi punca, ramai bangsa asing juga bermasalah tentang sara hidup tapi anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.”



... Semuanya kerana sikap. Hendak seribu daya.”




BIODATA PENULIS



AMAN SAMAT adalah guru bersara dan masih mengajar Bahasa Melayu secara sambilan.



Banyak menulis sajak dan cerpen yang pernah diterbitkan di Berita Minggu.



Suatu masa lalu pernah melibatkan diri dalam kegiatan masjid sebagai Naib Pengerusi LPM.



Pernah bergiat dalam badan akar umbi RC, CCMC dan CCC. Pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Guru-guru Zon Utara yang berfungsi untuk menyelaraskan kegiatan Bahasa Melayu di antara sekolah Zon Utara.



Telah menghasilkan sebuah buku kumpulan cerpen bertajuk ‘Gempar’ dan sebuah novel bertajuk ‘Baiduri penuh kepalsuan’.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >