SIDANG parlimen betul-betul gempar. Speaker parlimen terpaksa menamatkan sidang walaupun perkara yang dibincangkan belum tamat. Ada perkara lebih besar di luar Bangunan Parlimen, lebih penting yang perlukan perhatian segera. Beliau mendapat SMS melalui telefon bimbitnya tentang apa yang sedang berlaku berhampiran Bangunan Parlimen itu. Seekor singa tiba-tiba muncul di hadapan patung putih Sir Thomas Bingley Stamford Raffles di tebing Sungai Singapura. Kemunculan yang tidak diduga, tidak disangka. Di tempat yang sudah dipastikan tempat pendaratan Sir Thomas Bingley Stamford Raffles - 29 Januari 1819. Dipastikan oleh para pengkaji. Tarikh keramat.
Kawasan teksi River Cruise sudah lengang. Sebuah tongkang besar tertambat di jetinya. Dua petugasnya telah meninggalkan tempat perniagaan itu. Bimbang. Takut. Seram. Cemas. Gerun.