DAHINYA yang basah dengan peluh diseka dengan belakang tapak tangan kanannya. Belakang tubuh yang lencun dengan keringat dibiarkan sahaja. Malam itu (4 pagi) agak dingin, tapi rumah tiga biliknya terasa dihangatkan, lebih-lebih lagi kamar tidurnya. Dihangatkan oleh mimpi yang telah mencuri ketenangan hatinya. Benarkah kalau tidak berjumpa dengan musuhku, aku akan habis? Bisik hatinya sendirian.
Dia cuba mentafsirkan perkataan yang satu-satu itu: H-A-B-I-S. 'Habis' bererti 'tiada lagi'. Apakah nyawanya akan melayang? Atau berakhir segala-galanya yang dia miliki, sayangi, gemari di dunia ini? Semakin difikirkannya, semakin keliru dibuatnya. Semakin takut jadinya. Semakin tidak senang menyengat-nyengat dirinya.