ESEI SASTERA

Watak terlalu jahat dalam cereka

SEJAUH manakah anda melukis atau menggambarkan watak jahat anda dalam cereka anda, sama ada cerpen atau novel?

Apakah anda menggambarkan watak jahat anda dengan seburuk-buruk kejahatan, dan kemudian anda menghukum watak itu pada akhir cerita? Anda mungkin menghukum watak anda dengan mematikan watak anda dalam kesengsaraan dan kesesatan.

Bagaimana pula anda mengakhiri cerita anda tentang gadis yang gagal dalam perperiksaan atau kecewa dalam percintaan? Apakah anda mengakhirinya dengan gadis itu membunuh diri?

SASTERA HASANAH

Sekiranya anda menulis seperti di atas, maka karya anda terkeluar daripada apa yang dinamakan 'sastera hasanah'. Sememangnya, sastera mempunyai dua fungsi iaitu menghibur dan mendidik.

Apakah didikan atau pengajaran yang anda sampaikan dengan menggambarkan watak yang 'sejahat-jahatnya' dan watak yang mencabut nyawa sendiri?

Hasanah bererti baik. Dengan itu, apa yang dimaksudkan dengan 'sastera hasanah' ialah sastera yang membawa kebaikan kepada pembacanya dan kepada masyarakat, tanpa mengambil kira latar belakang pengarangnya dan mutu kesasteraannya.

Dengan menggunakan konsep sastera hasanah, maka semua jenis dan semua kategori karya kreatif yang selaras dengan hukum-hakam agama kita, dan sesuai dengan nilai-nilai murni universal dapat diterima sebagai bagus bagi disebarluaskan dan dimanfaatkan, tanpa mengambil kira apakah karya itu dihasilkan oleh pengarang Islam mahupun bukan Islam (Ainon 2011).

Dalam aplikasi teknik surah Yusuf, pengarang tidak bersifat omnipoten, manakala dalam teknik penulisan sastera konvensional, pengarang adalah omnipoten. Ainon (2011) selanjutnya menjelaskan bahawa omnipoten bermakna maha berdaya ataupun maha berkuasa. Sifat omnipoten adalah sifat ketuhanan. Antara sifat-sifat Tuhan adalah keupayaan mengetahui apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia.

Disebabkan pengarang bukan seperti Tuhan yang omnipoten, maka dalam teknik surah Yusuf, perkataan kata sifat emotif seperti sedih, risau, kecewa, marah, suka, rindu, hampa, lucu, dan lain-lain tidak digunakan dalam teks naratif, sebaliknya ia hanya digunakan dalam teks dialog.

Mungkin ada penulis yang tidak setuju dengan cara atau teknik ini. Penulis yang tidak setuju, mungkin menamakan gaya atau stail penggunakan kata sifat emotif sebagai stream of consciousness.

Ada banyak hal, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Begitu juga dalam sastera.

MENGHUKUM WATAK JAHAT

Dengan menghukum watak jahat kita, pembaca yang berada dalam situasi yang sama, mungkin terasa inilah balasan ke atas kejahatannya. Seorang gadis yang gagal dalam peperiksaan atau percintaan, mungkin mengikut langkah salah yang diambil oleh watak dalam karya yang dibacanya.

Dalam menghasilkan sastera hasanah, penulis harus memberi harapan kepada watak jahat menjadi baik, dan watak baik menjadi lebih baik. Dengan itu, pembaca akan berasa ada harapan untuknya membaiki diri dalam kehidupan yang sementara ini sekiranya mereka berada di dalam situasi yang sama.

Sesebuah karya yang baik itu mampu mempengaruhi pembaca.

Satu perkara lagi yang menarik tentang kisah Nabi Yusuf, watak-watak jahatnya tidak ada yang dihukum.

Sebaliknya, pada hujung cerita, mereka semua insaf sendiri.

Watak-watak jahat seperti Siti Zulaikha dan abang-abang tiri Nabi Yusuf, tidak seorang pun watak jahat itu dimatikan ataupun ditimpa nasib malang akibat kejahatan yang pernah mereka lakukan.

Aspek ini berbeza daripada cerita-cerita konvensional apabila watak-watak jahat dibalas dengan kejahatan.

Dalam sesuatu kisah yang indah (sastera), elemen watak-watak jahat perlu ada, tetapi watak-watak jahat itu tidak boleh terlalu jahat. Watak yang terlalu jahat menjatuhkan nilai keindahan cerita. Cerita yang indah adalah kisah yang meninggalkan dalam minda pembacanya pelbagai tanda tanya.

Dalam kisah Nabi Yusuf, watak-watak jahatnya mempunyai sifat-sifat yang baik. Siti Zulaikha adalah majikan yang melayan hambanya dengan layanan yang baik. Abang-abang tiri Nabi Yusuf adalah anak-anak yang menjaga ayah mereka dan ibu tiri mereka dengan baik.

KEZALIMAN DIGANTI KEBAIKAN

Salah satu ciri kisah yang indah adalah apabila selesai membaca kisah itu, pembaca mendapat semacam harapan, Tuhan tidak pernah membuang atau mengabaikannya, sebesar mana sekalipun kesalahan yang pernah dilakukannya, dapat dihapus oleh keinsafan, apa juga masalah yang sedang dihadapinya akan terungkai, kezaliman akan digantikan dengan kebaikan.

Berdasarkan ciri-ciri yang terdapat dalam kisah Nabi Yusuf, dapat disimpulkan mesej sastera hasanah adalah optimisme dan harapan.

Dengan demikian, sastera hasanah menolak karya yang mencipta mood pesimisme dan putus asa.

'KISAH PALING INDAH'

Mengapakah kisah Nabi Yusuf banyak dibicarakan di sini?

Allah berfirman, dalam salah satu ayat dalam surah Yusuf, yang bermaksud: "Kami sampaikan kepadamu sebuah kisah yang paling indah....'' Tuhan sendiri memperakukan kisah Nabi Yusuf adalah sebuah 'kisah yang paling indah' ataupun 'sebaik-baik kisah' menurut penterjemah lain.

Melalui kisah ini, Allah sudah memberi isyarat kepada manusia umumnya, kepada penulis khususnya, apabila mereka mahu mengetahui ciri-ciri yang indah, baik dari sudut tema, jalan cerita, plot, perwatakan, strategi penceritaan dan gaya bahasanya, maka ciri-ciri itu ada pada kisah Nabi Yusuf.

Terserahlah kepada kita sama ada mahu menerima atau menolaknya.

  • Anuar Othman menghasilkan sajak, cerpen, novel, skrip televisyen dan radio, esei sastera, ulasan buku dan lirik lagu. Beliau telah memenangi beberapa sayembara penulisan setempat, termasuk Pena Emas. Setakat ini beliau telah menghasilkan sekitar 140 cerpen dan 60 sajak.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 20
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.