10 hari diperlukan untuk hentikan kebakaran hutan Sumatera

PASUKAN petugas berbilang negara yang sedang membantu Indonesia memadamkan kebakaran di Sumatera Selatan telah mencapai kejayaan, tetapi kira-kira 10 hari diperlukan sebelum sebahagian besar api boleh dipadamkan, kata seorang menteri negara itu.

"Kita tidak akan benar-benar dapat memadamkan api melainkan jika hujan lebat tiga hingga empat hari," kata Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Encik Luhut Pandjaitan, dalam satu taklimat mengenai krisis jerebu pada Isnin (12 Okt), lapor akhbar The Straits Times.

Beliau merujuk kepada cuaca kering berlanjutan, diburukkan dengan musim El Nino tahun ini, yang membuat lebih sukar untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran di kawasan tanah gambut.

Selain musim kemarau, asap daripada kebakaran hutan mengurangkan jarak penglihatan di langit, mengehadkan usaha menjalankan pengeboman air atau operasi pembenihan awan.

Indonesia minggu ini membuka langitnya bagi kumpulan dari Singapura, Malaysia, Russia, China dan Australia menjalankan operasi memadam kebakaran bersama, memberi tumpuan pada daerah Ogan Komering Ilir dan Musi Banyuasin di Sumatera Selatan. Dua daerah itu antara yang paling teruk dilanda kebakaran tahun ini.

Lebih banyak bantuan dijangka tiba, kata Menteri Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi. Ini termasuk pesawat pengebom air L-100 Hercules dari Australia, yang akan tiba pada Selasa, dan dan dua pesawat pengebom air Beriev Be-200 dari Russia.

Cik Retno berkata Jepun akan menghantar pakar kimia yang dijangka membantu Indonesia meningkatkan bahan tambahan bagi meningkatkan operasi pengeboman air.

Pihak berkuasa Indonesia juga telah meningkatkan usaha penguatkuasaan terhadap bukan individu sahaja, bahkan tokoh korporat yang dikaitkan dengan kebakaran hutan haram yang menyebabkan jerebu.

Ketua Polis Negara Badrodin Haiti berkata daripada 48 syarikat perladangan yang disiasat kerana kebakaran hutan haram, 12 telah diisytihar sebagai suspek.

Syarikat-syarikat itu, yang dikendalikan oleh rakyat Indonesia atau dimiliki pelabur dari Malaysia dan China, tambahan kepada 209 suspek individu yang tidak dikaitkan dengan mana-mana syarikat secara rasmi.

Dua belas syarikat itu menghadapi denda antara tiga bilion rupiah ($300,000) dan 10 bilion rupiah, dan lembaga pengarah mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun jika didapati bersalah, kata Encik Badrodin dalam taklimat yang sama di Jakarta.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.