1MDB dakwa 'mungkin jadi mangsa tipu dalam perjanjian dengan firma Timur Tengah'

KUALA LUMPUR: Firma pelaburan kerajaan Malaysia yang dilanda skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mendakwa ia mungkin menjadi mangsa penipuan dalam perjanjian yang dibuatnya dengan sebuah syarikat Timur Tengah untuk membeli loji kuasa.

Presiden merangkap Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Encik Arul Kanda Kandasamy, berkata firma itu sedang meneroka pilihannya dalam perkara melibatkan syarikat dana kekayaan negara Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

"Memandangkan penafian baru-baru ini oleh IPIC dan pengumuman oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland, yang menunjukkan 1MDB mungkin menjadi mangsa penipuan, 1MDB sedang meneroka semua saluran terbuka kepada kami," kata Encik Arul Kanda dalam satu kenyataan pada Rabu (13 Apr).

Beliau merujuk kepada AS$3.5 bilion ($ 4.7 bilion) yang dipindahkan oleh 1MDB ke sebuah syarikat berdaftar di Kepulauan Virgin British (BVI) bernama Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI).

1MDB sebelum ini telah menegaskan bahawa sejauh yang ia tahu, Aabar BVI anak syarikat IPIC.

Encik Arul Kanda juga menafikan beliau tahu Aabar BVI telah dibubar sehinggalah disiarkan dalam laporan akhbar baru-baru ini bahawa syarikat itu dibubar Jun tahun lalu.

Pada Isnin, IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS (Aabar), mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Saham London bahawa Aabar BVI "bukan sebuah entiti dalam salah satu kumpulan korporat itu", iaitu baik IPIC mahupun Aabar.

Pihak berkuasa Switzerlanda telah berkata ia sedang menyiasat aliran tunai mencurigakan yang dikaitkan dengan 1MDB dan wang yang dibayar oleh 1MDB berkaitan perjanjian loji kuasa itu tidak sampai kepada IPIC, sebaliknya dimanfaatkan bekas badan 1MDB, dua pegawai awam dan sebuah syarikat industri perfileman.

Red Granite, sebuah syarikat pengeluaran filem Hollywood yang dimiliki oleh anak tiri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak Riza Aziz, yang dilaporkan oleh akhbar Wall Street Journal sebagai salah satu penerima wang tersebut, menafikan terlibat dalam sembarang kegiatan "tidak sesuai".

Peguam Datuk Seri Najib mempertahankan anak guamnya pada Rabu berhubung masalah yang dihadapi 1MDB, dengan berkata tandatangan beliau pada dokumen 1MDB bersifat "operasi".

Datuk Mohamad Hafarizam Harun berkata dengan menandatangani dokumen firma itu, bagi memenuhi satu peraturan dalaman, tidak bermakna Datuk Seri Najib pembuat keputusan muktamad.

Beliau juga mempersoal apakah pihak berkuasa asing mempunyai bidang kuasa luar wilayah untuk mendakwa rakyat Malaysia dalam siasatan berkaitan 1MDB, termasuk di Switzerland dan Singapura.

"Soalnya ialah apakah sesiapa sahaja di Malaysia, termasuk Perdana Menteri, boleh dibawa ke mahkamah keadilan di negara-negara lain? Kecuali mereka menyerahkan diri mereka kepada bidang kuasa (asing) itu," katanya kepada akhbar The Straits Times.

Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak permohonan seorang bekas anggota Umno, Encik Khairuddin Hassan, untuk mengetepikan tuduhan jenayah terhadapnya kerana membuat laporan di luar negara terhadap 1MDB.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 31
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.