Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

46 terkorban dalam gempa di Jawa Barat

Nov 22, 2022 | 05:30 AM



CIANJUR (Indonesia): Satu gempa bumi berukuran 5.6 magnitud telah mengorbankan sekurang-kurangnya 46 orang dan mencederakan ratusan lain sedang ia turut merosakkan bangunan dan mencetuskan tanah runtuh di pulau utama Indonesia di Jawa semalam.



Gempa yang berlaku sekitar tengah hari itu berpusat di wilayah Cianjur di Jawa Barat, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), dan dirasakan sejauh ibu kota Jakarta, dengan penduduk bandar itu panik berlari ke jalan raya.



"Data terkini, 46 orang terbunuh. Mangsa terus dibawa dari banyak kawasan. Kira-kira 700 orang cedera," kata Encik Herman Suherman, ketua pentadbiran tempatan Cianjur, memberitahu penyiar Kompas TV.



Majoriti kematian dikira di sebuah hospital, katanya, dengan kebanyakan mangsa terbunuh apabila bangunan runtuh.



Beliau berkata hospital Sayang di bandar itu tidak mempunyai bekalan elektrik selepas gempa bumi, menyebabkan doktor tidak dapat membedah mangsa.



Penduduk tempatan bergegas membawa mangsa ke hospital menaiki trak pikap dan motosikal, menurut rakaman yang diperoleh AFP.



Mereka diletakkan di depan hospital itu sedang penduduk menghamparkan kain tarpaulin di atas jalan bagi meletakkan mayat.



Encik Suherman berkata bekalan elektrik masih terputus semalam dan pihak berkuasa juga memerlukan lebih ramai pekerja kesihatan berikutan bilangan pesakit yang ramai.



Ribuan rumah mungkin rosak dalam gempa itu, kata Encik Adam, jurucakap pentadbiran daerah itu, memberitahu AFP.



Kedai, hospital dan sebuah pondok pesantren di bandar itu rosak teruk, menurut media Indonesia.



Media juga menunjukkan beberapa bangunan di Cianjur dengan bumbung runtuh dan serpihan memenuhi jalan.



Encik Suherman memberi amaran angka kematian mungkin meningkat kerana penduduk kampung mungkin masih terperangkap.



"Kami sedang menangani orang yang berada di hospital ini. Ambulans terus datang dari kampung ke hospital," katanya.



"Terdapat banyak keluarga di kampung yang belum dipindahkan."



Sementara itu, Ketua Bencana Indonesia, Encik Suharyanto, berkata sekurang-kurangnya 14 orang maut di kawasan Cianjur tetapi berkata maklumat "masih dikemas kini".



Ketua polis Cianjur, Encik Doni Hermawan, memberitahu Metro TV bahawa pihak berkuasa telah menyelamatkan seorang wanita dan bayi daripada tanah runtuh tetapi orang ketiga yang mereka temui telah meninggal dunia akibat kecederaan.



Agensi meteorologi Indonesia memberi amaran kepada penduduk berhampiran gempa bumi supaya berhati-hati kerana mungkin berlaku lebih banyak gegaran.



"Kami menyeru orang ramai untuk tinggal di luar bangunan buat masa ini kerana mungkin terdapat potensi gempa susulan," kata ketua agensi meteorologi Indonesia, Cik Dwikorita Karnawati, kepada wartawan.



USGS sebelum ini melaporkan magnitud gempa itu pada 5.4. Tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan besar di Jakarta.



Indonesia sering mengalami kegiatan seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di Lilitan Api Pasifik, di mana plat tektonik bertembung.



Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang menggegarkan pulau Sulawesi pada Januari 2021 mengorbankan lebih 100 orang dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >