Akur adakan sistem bagi satelit jejak penerbangan komersial

USAHA sejagat untuk menjejak semua penerbangan komersial - selepas kehilangan pesawat penerbangan MH370 Malaysia Airlines mac tahun lalu - telah mencapai kemajuan baik.

Dalam satu mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (11 Nov), negara-negara bersetuju memperuntuk frekuensi radio tertentu untuk satelit menerima transmisi dari pesawat.

Dikenali sebagai penyiaran pengawasan bersandar automatik (ADS-B), maklumat itu kini dihantar hanya kepada pesawat lain dan stesen bumi.

Cabang penerbangan awam PBB, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), telah mencadangkan pesawat dikesan setiap 15 minit ketika terbang di atas lautan dan kawasan pedalaman.

Rancangan itu diharap berkuat kuasa mulai November tahun depan, walaupun sesetengah syarikat penerbangan telah meminta lebih banyak masa.

Oleh itu, para pakar berkata ia lebih mungkin dilaksana pada 2018.

Perjanjian yang dicapai dalam Persidangan Komunikasi Radio Sedunia di Geneva, Switzerland, itu boleh membawa kepada liputan 100 peratus penerbangan, berbanding hanya 30 peratus sekarang.

Ini kerana stesen bumi pada masa ini tidak dapat menerima isyarat daripada penerbangan di lautan luas dan kawasan terpencil.

Langkah seterusnya ialah mewajibkan pengesanan penerbangan bagi mengelakkan satu lagi tragedi MH370, kata pakar.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang, dan mungkin menjunam ke dalam Lautan Hindi.

Selepas pencarian besar-besaran pesawat Boeing 777 itu, serpihan sayapnya berukuran dua meter ditemui di Pulau Reunion lebih tiga bulan lalu.

Pencarian bangkai utama pesawat itu masih diteruskan. - Agensi

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.