Amerika kerah kapal perang dalam latihan tunjuk kuat

BEIJING: Dalam langkah menunjukkan kekuatan sebelum keputusan mahkamah antarabangsa mengenai tuntutan China di Laut China Selatan dikeluarkan, dua kapal induk pesawat udara Amerika Syarikat memulakan latihan di barat Lautan Pasifik.

Kapal itu - John C. Stennis dan Ronald Reagan - belayar berdekatan satu sama lain di Laut Filipina pada Sabtu lalu (18 Jun) sebagai sebahagian daripada operasi pertahanan udara dan pengawasan laut melibatkan 12,000 askar laut, 140 pesawat dan enam kapal perang lebih kecil, umum Armada Pasifik Amerika di Hawaii.

"Kami perlu mengambil kesempatan daripada peluang ini untuk mengamalkan teknik melawan dalam peperangan yang diperlukan untuk berjaya dalam operasi tentera laut moden," kata Laksamana John Alexander, yang dipetik dalam satu laporan akhbar The New York Times pada Sabtu.

Operasi itu berlaku di bahagian timur Filipina, di perairan tidak bersebelahan tetapi dekat dengan Laut China Selatan, ujar jurucakap Armada Pasifik.

Mesej latihan dua kapal induk pesawat udara itu dan kapal perang pengiring mereka jelas, dan masa latihan itu disengajakan, seorang pegawai Amerika yang tahu mengenai perancangan operasi, yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, memberitahu The New York Times.

Latihan tersebut sebenarnya boleh dijalankan kemudian, katanya.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Filipina, Encik Peter Galvez, berkata latihan itu menunjukkan "ketegasan" Amerika dalam memenuhi "komitmen kukuh" mempertahan Filipina.

Sebuah mahkamah timbang tara antarabangsa di The Hague sedang menimbang kes yang difailkan oleh Filipina pada 2013 terhadap tuntutan China di Laut China Selatan, dan keputusannya dijangka pada minggu-minggu mendatang.

Filipina mencabar tuntutan China terhadap hampir seluruh Laut China Selatan, termasuk kawasan perairan berhampiran pantai Filipina.

Tiga lagi negara Asia - Vietnam, Malaysia dan Brunei - bersama Taiwan juga mempunyai tuntutan wilayah di perairan itu yang kini ditetapkan dengan jelas oleh China sebagai miliknya.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 31
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.