Anda layari Internet atau internet?

WASHINGTON: Anda sedang melayari Internet atau internet?

Isu ini diperbahaskan sejak sekian lama, namun ia kini mula menerima persetujuan umum selepas syarikat besar media Amerika Syarikat memutuskan untuk menggunakan huruf kecil bagi ejaannya sebagai "internet".

Agensi berita The Associated Press menggunakan ejaan tersebut menggunakan huruf kecil sejak 1 Jun lalu, diikuti oleh The New York Times dan Wall Street Journal.

Di Britain dan di tempat-tempat lain, agensi media melakukan perubahan yang sama sejak beberapa tahun lalu.

"Kami sekarang mengejanya dengan huruf kecil bagi mencerminkan trend yang meningkat dan perubahan yang dibuat kamus rasmi kami, Webster's New World College," kata AP dalam satu kenyataan.

Profesor Joseph Turow, pakar akademik Universiti Pennsylvania yang menggesa agar menggunakan huruf kecil sejak sedekad lalu mengalu-alukan perubahan tersebut.

"Ia merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian dan huruf kecil memperkukuhkan lagi idea tersebut," kata beliau kepada AFP.

Namun, Encik Vint Cerf, yang sering disifatkan sebagai "bapa Internet" kerana mengilhamkan protokol yang digunakan dalam talian, berkata perubahan itu merupakan satu kesilapan dan para editor AP "gagal memahami sejarah dan teknologi".

Menyatakan demikian dalam satu kenyataan kepada Politico, beliau berkata terdapat perbezaan antara Internet "awam", yang katanya perlu menggunakan huruf besar, dan "internet-internet privet" - yang menggunakan protokol yang sama "tetapi tidak dihubungkan kepada Internet awam.

"Dengan menggunakan huruf kecil anda mencetuskan kekeliruan antara kededuanya dan ini adalah satu kesilapan".

Persatuan Internet, sebuah badan tidak mengambil untung yang diasaskan Encik Cerf dan Encik Bob Kahn, berkata ia akan mengekalkan huruf besar "I".

"Internet merujuk kepada rangkaian perhubungan global yang menghubungkan kepada rangkaian-rangkaian lain bagi membolehkan berbilion manusia dan peralatan di seluruh dunia menjalin hubungan dan kerjasama," kata jurucakap persatuan itu, Cik Allesandra de Santillana.

Wartawan dan penulis Encik Doc Searls yang pernah menjadi felo Pusat Berkman bagi Internet & Masyarakat di Universiti Harvard, juga mempertahankan penggunaan huruf besar.

"Internet sama seperti Universe (alam semesta)," kata beliau dalam blognya. - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 25
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.