Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Anwar kekal dipenjara

Dec 14, 2016 | 12:06 PM



PUTRAJAYA (Malaysia): Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.



Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menolak permohonan Anwar atas alasan bahawa tidak ada merit dalam permohonannya.



Tan Sri Zulkefli berkata keputusan mereka itu adalah sebulat suara.



Anwar kemudian memberitahu pemberita dari kandang tertuduh bahawa beliau akan berbincang dengan pasukan peguamnya untuk tindakan seterusnya.



"Ia bukan satu pengakhiran," katanya.



Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.



Anwar diwakili oleh peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, N. Surendran, Ramkarpal Singh, Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamaruddin.



Pasukan Timbalan Pendakwa Raya diketuai oleh Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dengan Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Wan Shaharuddin Wan Ladin.



Turut hadir di mahkamah ialah isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anak-anak perempuannya Nurul Nuha dan Nurul Ilham serta cucu.



Pada 12 Oktober lalu, lima barisan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan penghakiman ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas mendengar hujah daripada peguam Datuk Seri Gopal dan Datuk Ahmad Kamal yang mengetuai pasukan pendakwaan.



Anwar, 69, sedang menjalani hukuman lima tahun penjara di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.



Beliau kini menjalani hukuman penjara selama setahun 10 bulan.



Dengan keputusan hari ini, Anwar akan terus menjalani hukuman di penjara dan tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang tempoh akhirnya pada Jun 2018.



Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat, bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu dan mensabitkan Anwar selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.



Anwar didakwa melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.



Pada 5 Disember, Anwar gagal untuk memulakan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari selepas Mahkamah Rayuan Syariah menolak rayuan dan semakan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak permohonannya bagi memulakan prosiding qazaf.



Dalam keputusan itu, Mahkamah Rayuan Syariah berkata mahkamah itu terikat dengan undang-undang negara ini mengikut Seksyen 41, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, bahawa liwat tidak tergolong dalam pertuduhan qazaf.



Seksyen 41 menyebut pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya. - mStar Online




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >