SEGAMAT: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gemereh pada Ahad (5 Mac).
Datuk Anwar yang tiba sekitar 11.20 pagi di PPS berkenaan, meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu mangsa banjir di PPS itu yang menempatkan 125 penduduk daripada 32 keluarga.
Selain beramah mesra dan bertanya khabar, beliau turut meninjau ruang kegiatan psikologi pendidikan bagi anak-anak mangsa banjir, yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Datuk Anwar juga diberi taklimat mengenai keadaan banjir di daerah itu di Kem 4, Rejimen Artileri Diraja, Segamat.
Hingga 8 pagi Ahad, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 44,860 orang, dengan Batu Pahat paling teruk terjejas.
Banjir di Johor turut mengakibatkan empat orang terkorban sejauh ini. - Agensi berita.