KUWAIT - Bank Pembangunan Islam (IDB) mahu menggunakan bon Islam atau sukuk untuk membantu membiayai pembinaan semula negara-negara yang musnah akibat konflik.
Sukuk tersebut akan dikeluarkan bersama Bank Dunia, kata presiden IDB, Encik Ahmad Mohamed Ali.
Orang-orang pelarian dan pembiayaan bagi kerja-kerja pembinaan semula merupakan keutamaan IDB yang berpusat di Jeddah itu.
Bahkan, bank tersebut bersama Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah pun melancarkan satu inisiatif bulan lalu untuk membantu lebih 15 juta orang yang tersingkir akibat konflik di rantau Timur Tengah.
Kerja-kerja sedang diusahakan untuk mengenalpasti projek-projek khusus bagi inisiatif tersebut, dengan keutamaan diberikan kepada Yaman yang musnah akibat peperangan, kata Encik Ahmad di luar acara sebuah persidangan di Kuwait.
IDB, yang beroperasi untuk memajukan pembangunan ekonomi bagi masyarakat Muslim, mempunyai 56 anggota negara termasuk Arab Saudi, Libya dan Iran sebagai pemilik saham terbesarnya. - Reuters