Benjy diberkas atas kesalahan dadah

MUAR (Johor): Tidak sampai sebulan ditahan kerana memiliki dadah untuk kali ketiga, pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 37, atau Benjy sekali lagi ditahan atas kesalahan yang sama semalam.

Anak lelaki tunggal kepada pelakon terkenal, Allahyarham Azean Irdawaty itu ditahan semasa menaiki sebuah kereta dalam satu sekatan jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak di Pagoh, dekat sini, pukul 1.40 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, Benjy dan rakannya yang berusia 28 tahun, berasal dari Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor yang memandu kereta tersebut, diperiksa dan pihak polis menemukan satu beg di tempat letak kaki bahagian pemandu.

"Di dalamnya terdapat empat peket plastik mengandungi dadah disyaki syabu anggaran berat 52.27 gram. Pemeriksaan lanjut menemukan satu peket dalamnya mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 1,073 gram.

"Turut ditemukan satu bekas plastik mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 193 gram. Seterusnya pemeriksaan dalam bonet kereta menemukan satu kotak yang di dalamnya terdapat beberapa botol plastik dan kaca," katanya ketika dihubungi Utusan semalam.

Dalam pada itu, Berita Harian Malaysia pula mememetik kenyataan polis sebagai menyatakan, Benjy dipercayai terbabit dengan sindiket dadah yang mahu memindahkan pusat pemprosesan dadah mereka di Kuala Lumpur ke Muar.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata ini berdasarkan penemuan beberapa peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah dipercayai jenis syabu dalam kenderaan dinaiki pelakon dan lelaki itu.

"Kami percaya mereka (sindiket) baharu saja pindah dari sebuah kawasan di Kuala Lumpur ke daerah ini dan jika dilihat dari segi kelengkapannya, ia (peralatan) mampu memproses sehingga 5kg dadah pada satu-satu masa," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Pada 5 Mac lalu, Benjy ditahan bersama seorang wanita di Hainan, The Reeds Boutique Hotel, selepas polis menemukan dadah jenis methamphetamine anggaran berat 9.33 gram.

Pada 17 Ogos 2011 pula, pelakon itu didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tuduhan memiliki syabu seberat 0.24 gram yang ditemukan di rumahnya di Kondominium Menara Duta 2.

Selain itu, Benjy pernah didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas pertuduhan memasukkan dadah sama ke dalam badannya pada 15 Mac 2010.

Bagaimanapun, pada 18 Ogos 2010 pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu selepas mengkaji notis bantahan dikemukakan pelakon itu.

Sementara itu, Zulkifli memberitahu, tiga botol plastik serta satu botol kaca yang ditemukan itu mengandungi cecair selain mene­mukan tujuh balang kaca, satu bekas plastik, satu corong kaca, satu getah paip, satu pengering dan satu dapur elektrik.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

"Selain itu, kami menemukan satu kotak mengandungi beberapa botol plastik tertulis HmbG Chemicals, Bendosen Aceton, Bendosen Toluene dan satu bekas tertulis Bendosen Calcium Chloride," katanya.

Kedua-dua suspek katanya, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif syabu dan kini ditahan reman hingga 2 April ini bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil siasatan awal mereka mendakwa ingin ke Pagoh untuk bertemu rakan dan polis kini menyiasat mengapa mereka mahu ke sana dengan membawa dadah berkenaan. - Utusan, BHM

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.