Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

‘Bila saya jadi PM, saya tak mahu zalim, nafikan hak rakyat...’- Anwar

Jun 18, 2023 | 02:35 PM



TUMPAT (Kelantan): Kerajaan sama sekali tidak akan berlaku zalim kepada rakyat atau menganaktirikan negeri pembangkang biarpun berbeza fahaman politik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas Perdana Menteri, hak rakyat tidak akan dinafikan, terutama dalam hal keagamaan serta kebajikan.

“Perundingan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri sangat diperlukan untuk membantu rakyat walau memilih (pilihan raya) itu keputusan rakyat.

“Bila saya jadi PM, saya tak mahu zalim, nafikan hak rakyat dan buat tuduhan palsu untuk sumbat orang dalam penjara walau itu sudah saya lalui (dipenjarakan).

“Kita (kerajaan) ada berbeza pendapat, tapi saya tak akan zalim. Soal pilihan raya negeri, nak berbalah, kita berbalah, tapi jangan bebankan rakyat,” katanya.

Anwar memberi jaminan berkenaan ketika hadir majlis penyerahan cek bagi projek naik taraf Masjid At-Taqwa, di sini hari ini. Beliau yang ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan peruntukan RM7.76 juta ($2.25 juta) untuk projek terbabit.

Perdana Menteri berkata, Kelantan antara negeri yang menerima peruntukan paling besar dalam Belanjawan MADANI dan perkara yang sama dinikmati Kedah yang juga negeri pembangkang.

Di Kelantan, katanya, isu bekalan air serta banjir turut diutamakan kerana ia membabitkan rakyat, malah peruntukan RM103,863,258 turut disalurkan kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

“Dalam Belanjawan MADANI lalu, semua projek kita teruskan, antaranya tadahan air, naik taraf Jalan Pak Badol ke Melor, pembinaan Jambatan Palekbang, termasuk beberapa projek baharu Sungai Goloka.

“Begitu juga dengan sekolah agama rakyat yang mana semua keperluan peruntukan dihentikan pada 1999 oleh Perdana Menteri ketika itu, manakala saya sedang ‘berehat’ di (penjara) Sungai Buloh.

“Bila saya jadi PM sekarang, saya akan kaji balik semua keperluan sekolah agama rakyat dengan tidak memilih kelompok mana-mana. Sama rata (bantuan) kerana institusi itu ada peranannya,” katanya.

Mengenai projek naik taraf Masjid At-Taqwa, Anwar berkata, peruntukan RM7.76 juta itu kelulusan itu terbesar sejak tujuh bulan beliau menjadi Perdana Menteri dan menyifatkan ia agak sukar untuk ditolak kerana sudah lama bersahabat dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Saya hadir hari ini adalah untuk memenuhi permintaan sahabat lama, sekali gus meluluskan peruntukan RM7.76 juta untuk menyiapkan masjid di sini. Mengimarahkan masjid adalah peranan bersama.

“Saya tidak boleh tolak kerana ia seperti ‘ugutan’ dari rakan lama dan beliau sudah bergiat lama dalam dakwah dan ada sahsiah yang mengesankan. Saya setuju untuk luluskan peruntukan yang dianggap terbesar sejak tujuh bulan saya jadi Perdana Menteri.

“Diharapkan kerja pembinaan berjalan lancar dan masjid ini siap dengan segera,” katanya turut berterima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana sudi berunding dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pelbagai isu yang dihadapi.

“Terima kasih kerana mencari jalan runding, termasuk masalah berat seperti isu bekalan air dan banjir saya percaya ia demi rakyat. Untuk selesaikan, kena libatkan Kerajaan Persekutuan kerana babitkan jumlah yang besar, kerajaan negeri tak mampu,” katanya.

Ahmad dalam ucapannya, berterima kasih atas peruntukan diluluskan Perdana Menteri dan berharap projek naik taraf Masjid At-Taqwa yang bermula Mac tahun lalu, dapat disiapkan segera.

“Kos keseluruhan RM12.6 juta dan setakat ini pembinaan capai 33 peratus. Dengan keluasan 1,800 kaki persegi, masjid ini mampu memuatkan sehingga 1,600 jemaah dan bakal dilengkapi ruang solat lebih selesa, bilik mesyuarat, pejabat, perpustakaan dan tempat mengajar al-Quran.

“Sebelum ini masjid ini menerima dana daripada agensi, korporat serta orang perseorangan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >