Budak ditemui lepas 6 hari hilang dalam hutan di Jepun dek dihukum ibu bapa

TOKYO: Seorang budak lelaki Jepun berusia tujuh tahun yang ditinggalkan di hutan tebal oleh ibu bapanya kerana nakal, ditemui hidup dan tanpa sembarang luka pada Jumaat (3 Jun), hampir seminggu selepas kehilangannya mencetuskan pencarian besar-besaran.

Dia ditemui di dalam sebuah bangunan di sebuah pangkalan tentera sekitar 4 km dari tempat dia hilang Sabtu lalu, selepas ditinggalkan di tepi jalan kawasan gunung di pulau Hokkaido oleh ibu bapanya yang mahu mendisiplinnya kerana membaling batu ke arah kereta dan orang.

"Salah seorang askar kami sedang bersiap untuk latihan pagi ini dan membuka pintu sebuah bangunan, dan dia berada di situ," kata seorang anggota Angkatan Pertahanan Diri Jepun kepada televisyen nasional NHK.

"Apabila dia bertanya 'apakah kamu Yamato?', budak itu berkata 'ya'. Kemudian dia berkata dia lapar, jadi askar itu memberinya air, roti dan bebebola beras."

Yamato telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan tetapi tiada maklumat lanjut diberi.

Pada mulanya, ibu bapa Yamato memberitahu polis anak mereka tersesat ketika mereka keluar mendaki untuk mengambil sayur-sayuran liar, tetapi kemudian mengakui mereka marah dan cuba menghukumnya kerana membaling batu ke arah kereta dan orang.

Mereka meninggalkan Yamato di suatu jalan yang kiri dan kanannya hutan gunung tebal. Namun, mereka segera kembali ke tempat itu tetapi dia tiada di situ.

Penduduk pekan tempatan Nanae meminta sokongan tentera selepas penyelamat dan pegawai polis mencari di seluruh kawasan itu selama empat hari tetapi gagal menemui Yamato, dengan hujan lebat kadang-kadang menghambat mereka.

Terdapat beruang liar di hutan tersebut, yang penduduk sifatkan sangat terpencil dan berkata mereka jarang pergi ke situ.

"Kami telah melakukan satu perkara yang tidak boleh dimaafkan terhadap anak kami, dan kami telah menyebabkan banyak masalah kepada semua orang," kata bapa Yamato, Encik Takayuki Tanooka, kepada pemberita televisyen pada Selasa lalu.

"Saya hanya berharap dia selamat."

Kejadian tersebut mencengkam Jepun, dengan program berita memberi maklumat terkini carian itu setiap jam, dan ribuan orang di Internet berdoa agar budak itu selamat dan mencela ibu bapanya. - Reuters, AFP

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 17
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.