Clinton rebut Puerto Rico, pasti dapat jumlah perwakilan yang diperlukan

WASHINGTON: Cik Hillary Clinton mengalahkan saingan beliau, Encik Bernie Sanders, dalam pemilihan awal Demokrat di Puerto Rico pada Ahad (5 Jun), unjur rangkaian televisyen Amerika Syarikat.

Ini membawa beliau ke ambang kemenangan dalam kempen menjadi calon parti itu bagi pilihan raya presiden pada November.

Dengan 29 peratus undi di wilayah pulau tersebut telah dilaporkan, mantan setiausaha negara itu mendahului dengan 62.5 peratus undi, berbanding 37.1 peratus bagi Encik Sanders, menurut CNN.

Kemenangan di Puerto Rico membawa berita baik berganda bagi Cik Clinton hujung minggu lalu, dengan satu lagi wilayah, Kepulauan Virgin Amerika, memberi beliau kemenangan besar pada Sabtu.

Dua kemenangan itu menyediakan rangsangan bagi beliau menjelang pemilihan besar pada Selasa di New Jersey dan California.

Puerto Rico mempunyai 60 perwakilan dan Cik Clinton akan memenangi sekurang-kurangnya 31 daripadanya.

Ini akan membuat beliau, yang telah mengumpul 2,323 perwakilan sebelum di Puerto Rico, kekurangan hanya sedikit daripada 2,383 yang diperlukan bagi menjadi calon presiden Demokrat.

Kekurangan itu beliau pasti penuhi pada Selasa.

Namun, Encik Sanders telah berikrar akan berjuang hingga ke Konvensyen Nasional Demokrat pada Julai, dengan alasan beliau akan dapat memujuk banyak daripada beberapa ratus perwakilan 'super' yang menyokong Cik Clinton supaya mengubah pendirian dan menyokong beliau.

Perwakilan Super ialah tokoh parti itu yang tidak terikat pada sembarang calon atau keputusan undi di seluruh negara dan tidak membuang undi secara rasmi sehingga konvensyen tersebut. - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.