Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Dokumen ISIS tunjukkan semangat pejuang kian pudar

Feb 09, 2017 | 10:49 AM



IRBIL (Iraq): Dokumen dalam fail Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) membayangkan tanda-tanda pemberontakan dalam kalangan militan asing kumpulan pengganas itu.



Seorang militan Belgium mempunyai nota perubatan yang menyatakan dia mengalami sakit belakang dan tidak akan menyertai pertempuran.



Seorang pejuang dari Perancis pula mendakwa dia mahu meninggalkan Iraq untuk menjalankan serangan bunuh diri di rumah.



Beberapa militan pula meminta dipindahkan ke Syria, sementara beberapa yang lain semata-mata enggan berperang.



Dokumen-dokumen mengenai 14 pejuang "bermasalah" daripada batalion Tariq Bin Ziyad - sebahagian besarnya terdiri daripada warga asing - ditemui oleh tentera Iraq selepas mereka merampas semula pangkalan ISIS di sebuah kawasan kejiranan di Mosul bulan lalu, lapor akhbar The Washington Post.



Semasa di kemuncaknya, ISIS menarik ribuan rekrut setiap bulan dan menguasai kira-kira satu pertiga daripada wilayah Iraq, dengan militan asing daripada pelbagai negara disifatkan sebagai pejuang paling bermati-matian.



Tetapi kumpulan itu semakin kehilangan tanah dan tarikan.



Militan ISIS kini terkepung di bahagian barat Mosul. Bagaimanapun, kekalahan kumpulan itu mencetus kebimbangan di Eropah bahawa militan yang kecewa mungkin pulang ke negara masing-masing.



"Dia tidak mahu berjuang, mahu kembali ke Perancis," kata nota mengenai seorang militan berusia 24 tahun, yang disenaraikan sebagai penduduk Perancis berketurunan Algeria.



"Mendakwa hendak mati dalam syahid di Perancis. Mendakwa sakit tetapi tidak mempunyai laporan perubatan."



Dia salah seorang daripada lima pejuang dalam fail itu yang disenaraikan mempunyai kediaman di Perancis, atau asal Perancis.



Lebih ramai rakyat Perancis menyertai ISIS berbanding negara Eropah lain sejak 2011, namun pemerintah Perancis melaporkan bilangannya telah berkurangan pada separuh pertama 2016.



Namun, ia berkata hampir 700 masih kekal di sana, termasuk 275 wanita dan 17 kanak-kanak.



Agak mustahil untuk mengesahkan maklumat peribadi pada dokumen yang ditemui itu, tetapi para pegawai Iraq yang menemuinya berkata mereka percaya ia tulen.



Daripada lebih 4,000 pejuang asing yang telah meninggalkan negara-negara Kesatuan Eropah untuk ke Iraq dan Syria, kira-kira satu pertiga telah pulang, menurut laporan Pusat Antarabangsa bagi Membanteras Pengganasan, yang berpangkalan di The Hague.



Kira-kira 14 peratus disahkan mati, manakala selebihnya kekal di luar negara atau tempat mereka tidak diketahui.



"Orang berkata mereka kumpulan paling terdorong, tetapi ramai pejuang asing yang pergi mendapati pengalaman di ISIS tidak seperti yang mereka sangka. Mereka sangka ia akan menjadi satu pengalaman hebat," kata penganalisis Aymenn al-Timimi, yang telah menyusun pangkalan data dalam talian dokumen ISIS itu, yang menunjukkan isu semangat pudar dalam kalangan militan asing.



ISIS menyimpan rekod teliti, memberi petunjuk tentang keadaan dalamannya sedang pejuangnya diusir dari wilayah mereka.



Pasukan antipengganasan Iraq menemui dokumen itu di sebuah rumah di kejiranan al-Andalus di Mosul yang merupakan pangkalan pentadbiran bagi batalion Tariq Bin Ziyad.



Militan ISIS dilihat mengeluarkan dokumen dan komputer dari bangunan itu, menurut jiran-jiran, sebelum membakarnya sedang tentera Iraq mara untuk menguasai semula kawasan tersebut, kata Leftenan Kolonel Muhanad al-Tamimi, ketua unit yang menemui dokumen itu.



Leftenan Jeneral Abdul Ghani al-Assadi, komander pasukan antipengganasan Iraq, berkata terdapat banyak pejuang asing di Mosul, dan pengebom berani mati asing bertanggungjawab bagi banyak daripada 350 bom kereta yang dilancarkan ke arah pasukannya.



Dalam satu ibu pejabat ISIS dalam kejiranan Dhubat di Mosul, pasukannya menemui 16 pasport Rusia dan empat pasport Perancis. Terdapat juga 20 pasport Iraq kosong yang ditemui di jabatan pasport Mosul, kata beliau, sambil mengagak bahawa militan membuat pasport palasu itu untuk meninggalkan Iraq.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >