JAKARTA: Dua gempa bumi pada Khamis (16 Feb) menggegarkan lagi sebuah kawasan di wilayah Aceh yang dilanda gempa Disember lalu, merosakkan rumah dan menyebabkan kecederaan, lapor Associated Press.
Gempa yang diukur sekuat 5.1 dan 5.6 pada skala Richter oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) itu melanda berturut-turut sejurus selepas 3 pagi.
Dua rumah roboh di Pidie Jaya berhampiran pusat gempa dan sekurang-kurangnya sembilan orang cedera di daerah Trianggadeng, menurut AP, yang memetik Palang Merah Indonesia.
Agensi meteorologi dan geofizik Indonesia berkata tidak ada potensi tsunami daripada gempa itu.