Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Dua maut insiden tembak di pusat beli-belah Thai; suspek remaja ditahan

Oct 03, 2023 | 08:56 PM



BANGKOK: Sekurang-kurangnya dua orang dipercayai terbunuh (sehingga akhbar ini dicetak) dan beberapa individu dilaporkan cedera, selepas satu kejadian menembak di pusat beli-belah popular Siam Paragon di Bangkok pada Selasa petang.


Biro Siasatan Pusat (CIB) Thailand berkata dalam satu kenyataan di Facebook bahawa ia telah menangkap seorang penembak lelaki, seorang remaja, pada 5.07 petang waktu tempatan (6.07 petang waktu Singapura).

Menurut CIB, remaja tersebut berusia 14 tahun dan ditangkap polis di tingkat tiga Hotel Siam Kempinski, lapor The Straits Times.


Sekeping gambar yang dimuat naik di platform media sosial X, yang dulu dikenali sebagai Twitter, menunjukkan seorang lelaki, dipercayai penembak itu, disekat di atas lantai oleh seorang pegawai polis. Gambar serupa itu turut dimuat naik CIB Thailand di Facebook.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) penangkapan itu yang dimuat naik di media sosial dan dilihat berlaku di tempat yang sama seperti di gambar itu menunjukkan lelaki berkenaan menyerah diri kepada polis apabila dikepung.

Suspek penembak, yang kelihatan dalam gambar susulan, memakai baju hitam, topi serta seluar dan kasut ala tentera dan membawa sepucuk pistol.

Terlebih dahulu, beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan ratusan pengunjung pusat beli-belah itu melarikan diri selepas kedengaran beberapa das tembakan dilepaskan.

Video dan gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan ramai orang kelihatan bergegas keluar dari Siam Paragon selepas seorang “penembak aktif” dilaporkan berada di pusat beli-belah itu.

Media tempatan berkata pasukan gerak khas telah dikerah ke tempat kejadian dan orang ramai diberi amaran agar menjauhi kawasan sekitar.

Terdahulu pasukan kecemasan berkata sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan tiga yang lain tercedera dalam kejadian itu. Ia kemudian menjelaskan hanya seorang sahaja maut.

Namun Ketua Polis Negara Torsak Sukvimol memberitahu wartawan malam Selasa sekurang-kurangnya dua orang maut akibat serangan itu dan lima orang tercedera.

Sekeping gambar yang dimuat naik dalam X menunjukkan para pegawai memberi rawatan kepada seorang pegawai keselamatan yang dipercayai ditembak dari belakang.

Video di media sosial juga menunjukkan orang ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak, bergegas keluar dari pusat beli-belah tersebut dan ratusan lagi pengunjung di luar pusat beli-belah itu kelihatan melarikan diri di bawah hujan lebat.

Pengunjung yang tidak dapat meninggalkan pusat beli-belah itu kelihatan bersembunyi dalam kedai-kedai tertentu serta restoran.

Seorang pengguna X bernama Nong Jane (@janejanejuta) memuat naik satu video yang menunjukkan pengunjung pusat beli-belah itu mencari tempat untuk bersembunyi di sebuah medan selera dan di belakang meja dan kerusi.


Seorang lagi pengguna X bernama Shirley (@xiaxia00701) berkata: “Kami sedang memakan aiskrim apabila orang ramai tiba-tiba melarikan diri dalam ketakutan. Saya juga terdengar orang berkata ada beberapa (tembakan) dilepaskan.”


Susulan kejadian itu, sebuah stesen kereta api berdekatan turut ditutup dan orang awam dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada mendekati pusat beli-belah itu.


Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, memberitahu wartawan keadaan kian terkawal.

“Polis sedang meninggalkan tempat kejadian dan situasi semakin reda,” katanya.

Beliau juga telah meluahkan rasa simpati dan sokongan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan tercedera.


Keganasan melibatkan senjata api tidak asing di Thailand.


Pada 2022, seorang bekas pegawai polis membunuh seramai 22 kanak-kanak di sebuah tajaka dalam satu serangan melibatkan senjata api dan sepucuk pisau.


Pada 2020 pula, seorang anggota tentera telah menembak dan membunuh seramai 29 orang serta mencederakan 57 yang lain dalam satu serangan di empat lokasi berasingan di kota timur laut Nakhon Ratchasima.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >