Erdogan: Turkey tahan dan usir penyerang Brussels pada 2015

ANKARA: Turkey berkata pada Rabu (23 Mac) ia menahan dan kemudian menghantar pulang Ibrahim El Bekraoui, salah seorang daripada dua pengebom dalam serangan di Begium Selasa (22 Mac) lalu, dan menuduh pihak berkuasa Belgium gagal mengesahkan kaitannya dengan pengganasan.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pihak berkuasa Turkey menahan Ibrahim El Bekraoui, seorang warga Belgium berusia 30 tahun, Jun tahun lalu di Gaziantep, berhampiran sempadan Syria, dan kemudian menghantar "pejuang pengganas asing" itu ke Belanda atas permintaannya.

Menteri Kehakiman Belgium, Encik Koen Geens, berkata beliau sedar Ibrahim dihantar ke Belanda dari Turkey, tetapi menafikan beliau digambarkan sebagai suspek pengganas.

Encik Erdogan, bagaimanapun, berkata pihak berkuasa Belgium gagal mengesahkan kaitannya dengan keganasan "walaupun kami telah memberi amaran" berikutan pengusirannya.

Beliau berkata pihak berkuasa konsular Belgium dimaklumkan secara rasmi mengenai pengusiran suspek itu pada 14 Julai 2015, sambil menambah dia kemudian dibebaskan oleh pihak berkuasa Belgium.

"Walaupun kami memberi amaran orang ini seorang pejuang pengganas asing, pihak berkuasa Belgium tidak dapat mengenal pasti kaitannya dengan pengganasan," kata Encik Erdogan kepada pemberita di Ankara.

Encik Geens memberitahu televisyen VRT Belgium bahawa pada waktu itu Ibrahim tidak diketahui ada kaitan dengan pengganasan. Sebaliknya, dia seorang penjenayah biasa yang mendapat parol.

Turkey sebelum ini mengadu negara Barat tidak mengendahkan amarannya mengenai bahaya yang dicetuskan pelampau yang ia usir balik ke Eropah selepas menahan mereka di sempadan Syria.

Turkey berkata ia memaklumkan Perancis dua kali bahawa salah seorang penyerang dalam serangan di Paris berpotensi menjadi ancaman, selepas dia pergi negara itu pada 2013, mungkin dalam perjalanan ke Syria.

Namun, para pegawai berkata mereka tidak pernah menerima respons dari Paris.

Dalam pengeboman di Belgium itu, Ibrahim dan adiknya, Khalid, 27 tahun, meletupkan diri mereka dalam serangan di Lapangan Terbang Brussels dan stesen kereta api metro Maalbeek. - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.