Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Gempa kuat landa Sumatera tapi amaran tsunami ditarik balik

Mar 03, 2016 | 08:40 AM



JAKARTA: Sumatera digegarkan oleh gempa bumi sekuat 7.8 pada skala Richter pada Rabu (2 Mac) malam, dengan gegaran dirasai di Singapura dan juga ke utara di Malaysia.

Pusat gempa gempa itu, yang berlaku pada 7.49 malam (8.49 malam waktu Singapura), dikesan kira-kira 808km di luar pantai Padang, ibu kota wilayah Sumatera Barat, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Laporan awal tentang kematian akibat gempa itu disangkal oleh agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Barsanas.

Penilaian awal oleh agensi pengurusan bencana kebangsaan negara itu (BNPB) juga menunjukkan tsunami kemungkinan tidak akan berlaku.

Satu amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa itu melanda, membawa kepada kebimbangan berulangnya tsunami dengan ombak setinggi empat meter, menyusuli gempa sekuat 7.5, yang memusnahkan beratus-ratus rumah di Kepulauan Mentawai, tidak jauh dari wilayah Sumatera Barat, pada 2010.

Lebih 461 orang mati dalam bencana itu, yang berlaku tidak lama selepas gempa sekuat 7.6 di Padang pada 2009, yang mengorbankan lebih 1,100 orang.

Gempa semalam "bukan jenis yang akan menjana tsunami besar", kata Dr Sutopo Purwo Nugroho, ketua data dan maklumat di BNPB, kepada akhbar The Straits Times.

"Keadaan di Sumatera kekal selamat, tidak ada kematian tetapi kami akan terus cuba mengumpul maklumat lanjut dari lapangan."

Tetapi agensi itu menasihatkan orang ramai supaya menjauhkan diri dari pantai sebagai langkah berjaga-jaga.

Terdapat tanda-tanda awal panik, dengan penduduk di Padang berpindah ke kawasan tinggi apabila gempa itu dirasai. Waktu malam dan gangguan sementara ke atas telekomunikasi selepas itu bukan menghalang usaha menyelamat sahaja, bahkan menyukarkan pihak berkuasa menilai kerosakan yang disebabkan oleh gempa cetek tersebut.

Gegaran ringan dirasai sejauh Shah Alam, Subang dan Klang di Malaysia menambah kepada keadaan panik yang meluas.

Beberapa warga Singapura yang tinggal di Jurong dan Punggol juga merasai gegaran, yang berkata mereka berlaku beberapa saat.

Pakar geologi telah lama berkata bahawa bom masa geologi sedang berdetik di Indonesia, dan bandar Padang terletak berhampiran dengannya.

Sepanjang dekad lalu, lima gempa utama, termasuk yang disusuli tsunami besar pada 2004, melanda bandar itu.

Begitu juga, penemuan yang diterbitkan dua tahun lalu mendapati masyarakat pesisir seperti Padang, yang selama ini dipercayai dilindungi daripada gelombang besar oleh pulau-pulau luar pesisir, mungkin berisiko tinggi dilanda tsunami.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >